Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

24 Ogos 2014

Kau Irama Di Jiwaku [15]

“YANA, nanti jemput Adli dengan family dia datang rumah kita Sabtu ni. Lepas Asar. Ibu nak buat makan-makan sikit. Kenduri doa selamat sekali. Abah dah jemput orang kawasan taman ni datang, taklah ramai sangat tapi saja biar Yana yang jemput Mak Cik Imah Yana tu,” ujar Datin Maznah. Seperti biasa, Datin Maznah menghabiskan masa yang terluang dengan menjahit.

Majalah di tangan diletakkan ke meja.

“Kenduri doa selamat? Kenduri apa?” Adriana yang tadinya berbaring sudah duduk menghadap ibunya. Bantal yang berada di situ dipeluknya.

Ruangan santai di bahagian kanan rumah yang terbuka menjadi tempat mereka sekeluarga duduk mengambil angin. Bahagian itu dihiasi dengan perabot ukiran yang diperbuat daripada kayu jati, bagi menyerlahkan gaya klasik kerana Datuk Abdul Aziz memang gemarkan gaya klasik. Walaupun begitu, dia masih membiarkan anak-anak mendekorasi bahagian dalam rumah. Adrian dan Adrianalah yang memilih gaya moden dan konsep untuk ruang tamu, bilik tetamu, bilik mereka sendiri dan ruang makan. Bahagian dapur dan landskap laman pula diuruskan oleh isterinya sendiri. Rumah itu telah dibeli selepas Adriana habis sekolah menengah. Rumah lama mereka tidak jauh dari rumah yang sekarang, tetapi sudah dijual.

“Laa.. kenduri untuk Yanalah. Dah lama balik ke sini, mestilah nak buat kenduri. Nak bagitau kawan-kawan Abah, Yana dah balik,” jawab Datin Maznah. Dia kembali menjahit manik di pergelangan tangan baju kurung anak bongsunya itu.

“Ha’ahlah Ibu. Yana nak ajak kawan-kawan Yana masa Yana belajar kat Korea tu, boleh?”

“Apa pulak tak bolehnya? Ajaklah sekali kawan-kawan Adli. Kalau ada boyfriend pun, ajak.”

Adriana tergelak. Boyfriend?

“Alaa.. mana adalah, bu. Yana takde boyfriend. Okay, okay. Nanti Yana ajak. Ibu, kawan Yana nak bertunang hujung bulan ni, hari Sabtu. Dia ada jemput. Kita datang eh? Yana nak ajak Hanis beli hadiah untuk dia minggu depan.”

“Dia bertunang, minggu lagi satulah, kan? Sekarang tengah bulan,” ujar ibunya.

Adriana mengangguk.

“Diorang tu kawan baik Yana masa dekat Korea tu. Alaa.. Laila dengan Darius. Ibu tak ingat ke?”

“Yana tak cakap, mana Ibu nak tahu. Kalau Laila dengan Darius, Ibu kenallah. Hiroshi dengan Ji Seo pun Ibu ingat lagi,” jawab ibunya bangga.

“Fuiyoooo! Dahsyatlah Ibu ni. Ingat lagi eh dekat diorang?”

Datin Maznah senyum bangga. Adriana menjuihkan bibir.

“Tak sabar nak jumpa diorang. Rindu! Tapi, Hiroshi dengan Ji Seo masing-masing dah kerja. Mungkin diorang tak dapat datang.”

“Ibu pun dah lama tak jumpa diorang. Haa.. Laila dengan Darius berjodoh dengan orang sana, belajar sekali. Yana tak ada ke kenal orang kat Korea tu?” usik Datin Maznah.

“Mana ada, Bu. Setakat kawan-kawan biasa tu, ramailah. Siapalah nak kat Yana ni?” Adriana berbohong. Wajah Razin dengan Melissa segera menyapa fikirannya.

“Itulah. Tak payah cari jauh-jauh. Adlikan ada. Secocok je Ibu tengok dia dengan Yana. Nak kata tak handsome, handsome. Baik pun baik. Rajin tolong mak dia cari duit. Kesian kat dia. Banyak betul pengorbanan dia untuk orang lain. Rugilah kalau orang lain yang dapat bermenantukan dia,” Datin Maznah menjeling anak bongsunya.

“Ibu ni, asyik-asyik puji dia. Jemu Yana dengar. Lepas tu, Abah dengan Abang pun sama. Balik-balik Adli. Tapi kan.. pengorbanan apa, Bu?” soal Adriana ingin tahu.

Ibunya mencebik. Sedang dua beranak itu sibuk berbual, sebuah Mercedes Benz jenis S400 Hybrid berwarna hitam berkilat masuk ke dalam perkarangan banglo dua tingkat itu. Adrian keluar dari kereta bapanya. Datuk Abdul Aziz keluar sebelum sempat pemandunya membukakan pintu untuknya.

“Tak apa Majid. Lain kali tak payah bukakan pintu pintu untuk saya,” Datuk Abdul Aziz bersuara dalam senyuman.

“Sayakan pekerja Datuk. Saya buat kerja yang memang saya buat,” balas Pak Majid, turut tersenyum.

“Awak dah macam abang saya. Lain kali, tak payah bukakan pintu.”

Datuk Abdul Aziz menepuk bahu Pak Majid. Dia tersenyum lagi. Pak Majid mengangguk. Datuk Abdul Aziz memang baik dengan pekerja-pekerjanya. Tidak hairanlah mengapa dia begitu disayangi.

Adrian dan bapanya berjalan ke arah Adriana dan Datin Maznah. Adriana kembali berbaring sambil matanya menatap majalah yang tadinya masih belum habis dibaca. Adrian yang melihat kelakuan adiknya tersenyum nakal. Pantas sahaja dia duduk di atas kaki Adriana. Adriana yang terkejut menjerit kesakitan.

“Abanggggg! Sakitlah! Bangun! Ingat ringan ke?” marah Adriana.

Adrian ketawa terbahak-bahak melihat wajah Adriana yang masam. Adriana menjegil bengang. Adrian menolak kaki adiknya yang dilunjurkan. Segera dia duduk di hujung kaki Adriana.

“Abah, Ibu! Tengok Abang ni,” adu Adriana.

Majalah yang berada di tangan digulung dan dipukulnya bahu Adrian berkali-kali menggunakan majalah itu. Adrian merampas majalah dari tangan Adriana dan diletakkan ke dalam briefcasenya. Adriana geram. Bibirnya digigit perlahan. Lengan abangnya pula yang menjadi mangsa. Dicubitnya lengan itu semahunya.

“Aduhhhhh!” Adrian terjerit kuat.

Kini giliran Adriana pula yang ketawa terbahak- bahak. Ibu dan bapa kepada dua anak itu cuma menggeleng dengan telatah anak mereka. Adrian memang suka mengusik Adriana. Setiap hari, setiap ketika.

“Awak dah uruskan pasal menu kenduri tu nanti? Yang datang mungkin dalam seratus lima puluh orang. Saya jemput orang-orang surau je. Lagi lima puluh orang, budak-budak dari Rumah Anak Yatim Al Ihsan,” ujar Datuk Abdul Aziz.

“Saya nak buat pulut kuning dengan rendang. Nasi tu saya tak pastilah. Nak buat nasi lemak ke, nasi berlauk,” balas Datin Maznah.

“Aikkk? Seratus lima puluh? Macam ramai je. Muat ke rumah?” Adriana bertanya hairan.

“Muatlah. Nanti, bukalah sliding door ni. Kan ruang ni bersambung dengan ruang tamu nombor dua tu. Kerusi, meja kat ruang tamu tu boleh letak kat tepi-tepi ni je. Kalau tak muat jugak, boleh hidang kat tempat kita selalu karaoke tu. Abang rasa muat,” sahut Adrian.

“Betul Adrian. Abah rasa muat,” tokok Datuk Abdul Aziz.

Datin Maznah dan Adriana mengangguk. Pembantu rumah mereka datang dengan menatang sirap sejuk bersama sedikit snek untuk minum petang.



DATIN MAZNAH sibuk membantu jiran tetangga menyedok kuah dari dalam periuk. Nasi disenduk ke dalam mangkuk-mangkuk besar. Adriana juga turut berada di dapur. Membantu memotong buah tembikai untuk dijadikan pencuci mulut. Masih belum ramai tetamu yang hadir. Cuma ada jiran tetangga perempuan yang turut membantu. Adriana menghabiskan kepingan tembikai terakhir untuk dipotong dan dimasukkan ke dalam pinggan. Puan Halimah membantu Datin Maznah. Hari itu juga, Adriana membuat kek cawan untuk dijadikan buah tangan buat tetamu yang hadir.

“Ibu, Yana naik dulu. Nak siap,” Adriana menegur ibunya.

“Cepat sikit. Kejap lagi dah ramailah kot,” balas ibunya, sambil tangannya masih ligat menyenduk sambal sotong.

“Nanti kalau Hanis dah sampai, Ibu tolong suruh dia tunggu.”

Datin Maznah mengangguk. Adriana berlalu sambil menunduk sopan melalui orang-orang yang lebih tua daripadanya. Dia berlari menaiki anak tangga. Pintu almari pakaiannya dibuka. Dipilihnya satu persatu baju kurung di dalam almarinya. Tangannya berhenti pada baju kurung berwarna merah hati. Baju yang sudah bergosok itu diletakkan ke atas katil. Tuala dicapai dan dia berlalu ke bilik air.

Tidak lama kemudian, dia keluar semula. Dia mula bersiap-siap. Dia memakai baju kurung tadi dengan selendang pashmina berwarna hitam. Pantas sahaja dia bersiap dan dia turun ke tingkat bawah dengan segera. Langkah kakinya dihalakan dengan ke dapur. Kelihatan Hanis sibuk meletakkan pinggan yang berisi buah tembikai, sayur campur, sambal sotong, kari daging, pulut kuning dan rendang ayam ke dalam dulang untuk dihantar ke bahagian depan di mana tempat untuk para tetamu makan. Tetamu lelaki yang rata-ratanya lelaki muda silih berganti mengambil dan menghantar dulang. Kelihatan kelibat Adli dan rakan-rakannya yang lain menghantar dulang-dulang yang sudah kosong.

Adli tiba-tiba kaku. ‘Cantiknya,’ desis hati Adli. Adriana yang manis bertudung membuatkan Adli jatuh hati buat sekian kalinya. Tepukan lembut di bahunya membuatkan dia tersedar.

“Ni dulang yang last sekali,” Datin Maznah bersuara lembut.

Adli mengambil dulang terakhir itu dan dia membawa dulang itu ke ruang tamu.

Setelah semua tetamu sampai, majlis bacaan doa selamat dimulakan. Kepulangan Adriana ke tanah air membuatkan semua jiran tetangga lega kerana Adriana berjaya menghabiskan pengajiannya di peringkat ijazah. Tamat sahaja bacaan doa, Adrian menjemput para tetamu untuk makan. Adriana meminta pertolongan kanak-kanak yang ada berhampiran dengannya untuk memberi kotak-kotak yang berisi kek cawan kepada para tetamu.



“MALAM ni, tidurlah dekat sini,” pelawa Adrian sambil dia membetulkan kedudukan sofa yang baru sahaja dibawa masuk kembali setelah habis kenduri itu tadi.

“Seganlah. Lama tak tidur sini,” balas Adli segan.

“Laaa.. apa nak disegankan? Kau kenal family aku. Ajaklah Adam, Danny, Alif dengan Rayyan temankan. Ada bilik kosong. Besar jugak bilik tu. Lebih daripada muat untuk kita. Bilik tu untuk sepupu-sepupu aku, kalau diorang balik sini,” tambah Adrian.

“Nanti menyusahkan family kau pulak,” Adli duduk di sebelah Adrian.

Family aku tak kisah. Asalkan aku tak bawak balik perempuan, tidur dengan perempuan. That’s all. Korang tidurlah sini malam ni,” pelawa Adrian lagi. Mereka saling berpandangan.

Datuk Abdul Aziz dan Datin Maznah datang dengan dulang dan kek cawan yang dibuat Adriana tengah hari tadi. Datin Maznah meletakkan dulang itu ke atas meja. Dituangnya coklat panas ke dalam cawan-cawan. Adrian membantu ibunya.

“Terima kasihlah Adli, Adam, Danial, Alif, Rayyan, sebab tolong mak cik dengan pak cik hari ni,” ujar Datuk Abdul Aziz setelah pembantu rumahnya menghantar satu mug yang berisi air kopi o panas.

“Tak apa Datuk, Datin. Yana tu kawan kami jugak,” Adam berbahasa sopan.

“Tak payahlah nak berdatuk, berdatin. Panggil je pak cik dengan mak cik. Kalau kawan-kawan Yana, memang dah biasa panggil kitorang pak cik dengan mak cik je,” celah Datin Maznah.

Adam tersenyum.

“Okey pak cik, mak cik,” janggal benar kedengaran panggilannya. Mereka yang berada di situ ketawa. Termasuklah Adam sendiri.

“Amboiii! Seronok nampak?” tiba-tiba Adriana masuk dan memegang sebungkus plastik yang sederhana besar. Dia duduk di sebelah abangnya.

“Dah hantar Hanis balik ke?” tanya ibunya.

“Dah. Hantar kat pagar depan tu je. Hanis datang naik kereta sendiri,” jawab Adriana.

Sebiji kek cawan diambil dari dalam pinggan.

“Makanlah! Takkan nak tengok Yana je yang makan?” tanya Adriana hairan. Kawan-kawannya itu tidak menyentuh sedikit pun kek cawannya.

Mendengarkan kata-kata Adriana, laju sahaja Danial mengambil sebiji kek cawan itu.

“Yana yang suruh,” ujar Danial selamba kepada kawan-kawannya. Mereka ketawa lagi.

Adriana mengeluarkan bungkusan yang baru sahaja diterima daripada Hanis tadi. Ada kain pasang di dalamnya.

“Mana Yana dapat pulak tu?” tanya Datuk Abdul Aziz hairan.

“Hanis bagi. Hari tu dia outstation kat China. Tu yang dia belikan silk ni. Dia suruh bagi Ibu sehelai. Ibu pilihlah. Sepasang lagi Yana nak bagi kat Mak Cik Imah,” balas Adriana menyuakan bungkusan itu kepada Datin Maznah. Dia tersenyum pada Adli. Dia tidak pernah melupakan ibu Adli yang dianggapnya seperti ibu sendiri itu.

“Abang, tak ajak ke artis-artis ni tidur sini? Takkanlah Adam nak balik. Penatlah. Nak ride superbike lagi,” gurau Adriana. Mereka tersengih-sengih.

“Abang dah ajak, Yana. Diorang yang tak nak,” jawab Adrian. Jam di dinding dikerling. Sudah lepas jam sembilan. Mujurlah mereka sudah menunaikan solat Isyak. Bimbang keletihan itu membuatkan dia tertidur mati.

“Tidurlah sini. Adli ni, macam tak biasa pulak. Ajaklah kawan-kawan ni tidur kat sini. Jauh kan, rumah Adam?” pelawa Adriana bersungguh-sungguh.

Adam dan yang lain mengangguk.

“Segan,” Adli bersuara setelah diam sebentar.

“Tidur jelah dekat sini. Tak apa. Bilik ada. Baju-baju Adrian pun banyak. Tak payah risau. Call parents kamu semua, takut diorang risau,” sampuk Datuk Abdul Aziz yang asyik diam dari tadi.

Dek kerana keluarga itu beria-ia mengajak mereka tidur di situ, akhirnya mereka akur. Mereka menuruti langkah Adrian.

“Sinilah bilik tu,” Adrian membuka pintu bilik itu dan dia masuk dahulu.

Mereka meneliti keadaan bilik itu. Kelihatan ada dua katil double decker yang siap pasang di bahagian kiri dan kanan dinding bilik itu. Bilik itu agak besar. Ada bilik air di dalamnya. Di situ jugak ada dua desktop yang diletakkan di atas meja. Bilik itu berkemasan kayu.

“Korang pilihlah mana-mana tempat korang nak tidur. Tapi sorang kenalah tidur bawah dengan aku. Luas sikit katil,” kata Adrian.

“Aku tidur dengan kau,” Adli mencadangkan diri.

Adrian keluar sebentar. Mereka memuji-muji akan kebaikan keluarga itu. Patutlah keluarga ini disegani. Adrian kembali dengan beberapa helai baju, seluar, kain pelikat dan tuala.

“Mandilah dulu. Ni ada baju, seluar, kain pelikat. Aku tak tahu korang suka pakai apa time tidur,” Adrian ketawa.

“Alaaa.. tak apa,” jawab Alif. “Pakai apa pun boleh,” sambungnya lagi.

Adam mencapai sehelai tuala lalu dia berjalan menuju ke bilik air.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...