Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

24 Ogos 2014

Semua Untukmu 2

EMIR melangkah keluar daripada Bentley Continental GTC hitamnya. Pintu kereta kesayangan ditutup perlahan. Entah mengapa, langkahnya terasa berat pula hari ini, tidak seperti selalunya. Lemah benar rasanya apabila mendengar perkataan ‘kerja’. Bagasi hitam diambil dari tempat duduk belakang. Tiga bulan dia akan berada di BaySide Chalet. Semoga hati ini sabar, doa Emir dalam hati.

Bagasinya ditarik perlahan, seiring dengan langkahnya. Memandangkan dia akan mendalami selok-belok perniagaan berasaskan pelancongan milik keluarganya ini, dia telah diarahkan untuk menetap di chalet itu selama tiga bulan. Pada mulanya tiga bulan itu bagaikan tiga tahun pada fikiran Emir. Tetapi apabila difikir-fikir semula, tiga bulan hanya sekejap sahaja. Tanpa berfikir panjang, diterima juga arahan bapanya itu.

Tiba sahaja di hadapan sebuah bangunan setingkat yang menyerupai gazebo bersaiz besar, terus dihalakan kakinya ke arah gazebo itu. Gazebo yang menempatkan bahagian menyambut tetamu. Beberapa orang pekerja lelaki yang lengkap berkemeja putih dan seluar hitam nampaknya sedang sibuk berbual dengan tiga orang pekerja perempuan yang sedang menjaga kaunter. Ulat bulu dah naik daun!

Kehadirannya bagaikan tidak disedari oleh mereka. Mereka hanya sibuk berbual dan asyik bergelak ketawa sahaja. Dalam hati, Emir mula mengutuk akan tindakan pekerja-pekerja bapanya. Mungkin begini agaknya keadaan chalet yang jauh dari pandangan Datuk Jamaluddin dan Irman. Pantang benar Emir melihat pekerja-pekerjanya bersikap sambil lewa seperti ini. Mereka memang perlu diajar!

“Ehem!” Emir berdehem cuba mencuri perhatian para pekerjanya.

Pekerja yang berenam itu menoleh ke arah Emir tanpa perasaan. Beberapa saat kemudian, mereka menyambung semula perbualan yang tergendala sebentar tadi.

Emir mengerut dahi melihat tindakan mereka semua. Beginikah keadaannya apabila pelanggan datang untuk menginap di sini? Mereka tidak menghiraukan pelanggan nampaknya. Kalau terus macam ni, lingkuplah business bapak aku, marah Emir dalam hati.

Hello! Ada orang tak?”

Sekali lagi, Emir mencuba. Kali ini, nada suaranya agak tinggi. Kaca mata hitam yang dipakainya dibetulkan letaknya.

“Ya?”

Mendengar sahaja suara pengurus mereka, pekerja-pekerja yang sedang berbual tadi segera berdiri tegak, berpura-pura sedang bekerja.

Melihatkan keadaan itu, bibir Emir mula mengukir senyum sinis.

“Ya, Encik? Apa yang boleh saya bantu?”

Seorang lelaki memakai tanda nama Nazhan datang mendekati Emir yang sedang berdiri bercekak pinggang.

Emir melangkah ke arah kaunter tanpa menjawab soalan yang diajukan oleh Nazhan kepadanya. Jari telunjuk kanannya diangkat di hadapan muka seorang pekerja lelaki yang bertanda nama Ahmad.

“Saya nak awak pecat mereka semua,” ujar Emir bongkak. Satu demi satu wajah ditunjuknya menggunakan jari telunjuknya. Satu demi satu wajah apabila dia menyebut satu demi satu perkataan.

Keenam-enam pekerja itu nyata terkejut. Begitu juga Nazhan. Siapa yang berani memberi arahan sebegini?

“Encik, kenapa pulak nak pecat kami?” soal Syazana, tidak puas hati.

Emir tersenyum sinis. Kelakar betul budak-budak ni! Diaorang belum kenal siapa aku.

“Ya, Encik. Kenapa saya kena pecat mereka, ya?” tanya Nazhan pula. Dia perlu berhati-hati dengan pelanggan seperti ini. Siapa dia untuk memecat pekerja-pekerjanya? Dia juga tahu mereka datang bekerja kerana ingin mencari rezeki.

“Awak tahu berapa lama saya dah berdiri dekat sini? Pekerja-pekerja chalet ni memang macam ni, ya? Apa agaknya akan jadi kalau Datuk Jamaluddin tahu pekerja-pekerja dekat sini pemalas?”

Nazhan merenung muka pekerja bawahannya satu demi satu. Nampaknya memang mereka yang salah. Apabila mereka melakukan kesalahan, masing-masing tunduk merenung lantai.

“Saya mintak maaf bagi pihak anak-anak buah saya,” pohon Nazhan setelah beberapa saat berlalu.

Terkejut mereka semua apabila mendengar Nazhan meminta maaf kepada lelaki yang berada di hadapan mereka sekarang ni. Sombong!

“Lain kali, ajar diaorang betul-betul. Jangan lepas tangan. Awak ingat ada ke dalam dunia ni orang bukak business sebab nak hancur? Tak ada, kan? Jadi, cari pekerja-pekerja yang berkualiti, yang boleh hormat pelanggan. Customers are always right, and of course your customer is your king. And one more thing, saya tak suka kalau ada orang mintak maaf pada saya kalau bukan salah dia,” kata Emir panjang lebar.

Memang patut dia berkata begitu. Kalau tidak, sampai bila-bilalah pekerja-pekerja BaySide Chalet ini tidak akan menghormati pelanggan.

Nazhan menelan air liur. Belum pernah ada pelanggan sesinis lelaki yang sedang berdiri tidak jauh daripadanya. Nampak gaya macam angkuh sahaja. Tiada langsung senyum yang terukir di bibirnya, melainkan senyum sinis. Dasar anak orang kaya yang sombong!

“Baik, Encik. Err.. apa kata Encik pilih bilik dulu?” ujar Nazhan, cuba menukar topik perbualan.

Emir mencapai sebuah buku yang terletak elok di meja kaunter itu. Kaca mata hitamnya ditanggalkan lalu disangkut pada kolar kemeja yang dipakainya. Satu demi satu helaian diselak, mencari bilik yang sesuai.

Syazana, Elly dan juga Maisarah ternganga melihat wajah kacak yang terselindung di balik kaca mata hitam itu. Matanya redup dan benar-benar menggoda hati mereka. Ulas bibirnya merah, alisnya lebat manakala bentuk wajahnya agak bersegi. Kacak sungguh lelaki yang berada di hadapan mereka ini!

Tiba-tiba sahaja tawa Emir meledak. Terkejut mereka dibuatnya. Gila ke apa mamat ni?

“Keli? Kaloi? Sepat? Pari? Tak ada nama lain ke?”

Emir memegang perutnya yang sudah terasa sakit akibat terlalu banyak ketawa. Tak komersial langsung nama!

“Macam mana bilik Pari ni? Macam ikan pari tak?” soal Emir, masih lagi ketawa.

“Err.. bilik biasa je. Bilik besar. Satu bangunan, tapi ada lima buah bilik. Kalau nak yang selesa, ada privacy, Keli dah okey dah. Keli tu chalet besar. Terpulang pada Encik nak bilik mana,” sahut Nazhan. Sebenarnya dia juga ingin ketawa mendengar soalan lelaki itu. Tetapi ditahan juga tawanya daripada meledak.

Sekeping brochure dihulurkan kepada Emir. Emir mengesat air yang membasahi matanya. Brochure itu dibukanya. Chalet yang dinamakan sebagai Keli itu cantik dan menghadap laut. Dia memang sukakan laut, jadi rasanya Keli itu sesuai. Hiasan dalamannya juga cantik dan nampak selesa.

“Saya nak yang ini. Saya tak boleh nak sebut,” ujar Emir sambil jari telunjuknya mengetuk-ngetuk brochure untuk Keli Room.

Pekerja-pekerja itu mengangguk sebelum memeriksa mana satu bilik Keli yang masih kosong.



“AWAK tolong pasangkan cadar dekat bilik tu boleh tak? Saya dah call budak-budak saya, masing-masing busy. Saya memang tak boleh tinggalkan bilik ni.”

Athirah menggaru kepalanya.

“Macam mana ni, Encik Khalish? Saya kena tunggu Cik Mardiana ni. Katanya dia ada kerja nak suruh saya buat,” balas Athirah.

Rasa bersalah pula apabila melihatkan Khalish yang nampak seperti ada masalah besar itu. Tetapi dia sudah berjanji dengan Mardiana untuk menanda bilangan bilangan cadar, sarung bantal, selimut dan juga tuala yang masih ada di dalam bilik servis itu. Jika dia membantu Khalish, nanti pasti dia akan dimarahi oleh Mardiana.

“Tak apa, biar saya buat.”

Athirah dan Khalish segera berpaling. Kelihatan Azzalea sedang berdiri di belakang mereka. Bibirnya mengukir senyum manis.

“Eh, tak apa. Saya cari budak-budak lain,” tahan Khalish apabila Azzalea ingin mengambil keperluan yang perlu diletakkan ke dalam bilik seperti yang diminta oleh Nazhan. Dia tidak mahu menyusahkan Azzalea.

“Tak apa. Saya boleh buat. Saya memang pakar bab-bab nak pasang cadar ni,” ujar Azzalea. Fabrik-fabrik putih dan kelabu itu segera bertukar tangan.

I owe you,” kata Khalish dalam senyuman.

Azzalea hanya tersenyum kecil. Dia kemudiannya berlalu dan mencari bilik yang disebut oleh Khalish sebentar tadi.



“PETANG esok awak mintak semua workers berkumpul dekat dewan sayap barat.”

Nazhan mengerut dahi.

“Datuk tak beritahu ke saya nak ke sini? Tak cakap ke saya kena tinggal dekat sini, pantau awak semua selama tiga bulan? Tak ada?” satu demi satu soalan ditanya kepada pengurus yang mempunyai tinggi kurang dua inci daripadanya itu.

Datuk? Pantau? Tiga bulan? Siapa pula lelaki ini? Bukankah dia hanya pelanggan biasa?

“Err.. tak ada. Encik ni siapa?” tanya Nazhan.

Emir mengeluh. Nampak sangat tiada seorang pun pekerja yang mengenalinya, berbeza dengan Irman. Ke mana sahaja abangnya itu pergi, semua orang mengenalinya. Nampaknya dia kena berusaha dengan lebih keras lagi.

Sampai sahaja di hadapan sebuah chalet yang bersaiz agak besar, Emir dan Nazhan berhenti.

“Saya anak Datuk Jamaluddin, Emir Dani.”

Hampir gugur jantung Nazhan apabila mendengar nama Datuk Jamaluddin disebut. Rasanya tidak pernah pula Datuk Jamaluddin memaklumkan bahawa anaknya akan menginap di chalet itu selama tiga bulan. Dia hanya mengenali Irman sahaja.

“Ayah saya tu memang. Dia bukannya nak cerita fasal saya dekat awak semua. Asyik-asyik Irman, asyik Irman. Saya ni lagi handsome daripada Irman tu, tahu? Sabar jelah,” rungut Emir Dani. Cemburu benar dia dengan abangnya.

Emir Dani naik dan memanjat anak tangga dan berhenti di depan pintu suite yang dipilihnya. Dia kemudiannya memandang Nazhan.

“Apa lagi? Bukaklah pintu. Awak nampak saya ada pegang kunci ke? Tak ada, kan? So?”

Nazhan terkocoh-kocoh memijak anak tangga dan membukakan pintu untuk Emir Dani.

Enjoy your time while you’re here,” ujar Nazhan setelah bagasi Emir Dani diletakkan di tepi pintu. Dia kemudiannya berlalu dan meninggalkkan Emir Dani yang sedang asyik menilik ruang dalaman bilik itu.



AZZALEA memanjat anak tangga satu-persatu. Pintu kediaman mewah itu diketuk. Sekali, tiada jawapan. Dua kali, masih tiada jawapan. Setahu dia, suite ini sudah ada tetamu. Jadi, dia perlu meminta kebenaran untuk masuk. Takkanlah dia mahu redah tanpa meminta izin?

“Siapa dekat dalam? Housekeeping!”

Sekali lagi pintu diketuk. Tetapi kali ini ketukan itu lebih kuat, sama seperti jeritannya. Masih lagi tiada jawapan.

“Tarik nafas.. lepas.. fuh!”

Azzalea memulas tombol pintu dan membolos masuk ke dalam suite yang diberi nama Keli itu. Ada sebuah bagasi yang terletak di atas katil. Di sebelah pintu masuk ada sepasang sneakers. Lelaki? Azzalea menelan air liur. Menyesal pula dia menawarkan diri untuk membantu Khalish dan Athirah sebentar tadi.

Setelah hampir seminit membatu, Azzalea membuat keputusan untuk meneruskan kerjanya. Lagi cepat siap, lagi bagus. Segera selimut, cadar dan sarung bantal berwarna kelabu diletakkan ke katil. Azzalea mengalihkan bantal-bantal yang berada di atas katil sebelum meletakkan bantal-bantal itu ke sofa. Baru sahaja dia ingin mengalihkan bagasi milik tetamu di bilik itu, telinganya menangkap bunyi pancuran air dari dalam bilik air. Semoga dia tidak akan dihadapkan dengan pemandangan yang tidak elok.

“Beratnya beg dia! Letak batu ke apa?” rungut Azzalea apabila di gagal mengangkat bagasi hitam itu.

Akhirnya bagasi itu diseret perlahan. Apabila bagasi itu sudah mendekati bucu katil, bagasi itu jatuh menghempas lantai. Azzalea ternganga. Isi perut bagasi itu terburai di depan mata. Dia mula memarahi dirinya sendiri kerana terlalu cuai.

Dengan berat hati, dia mencangkung di lantai. Wajahnya digosok-gosok kasar dengan tapak tangan. Bagasi hitam yang terlangkup di lantai ditelentangkan. Baju-baju yang bersepah di lantai masih elok terlipat. Mudahlah kerjanya ingin menyusun kembali pakaian-pakaian yang terkeluar daripada bagasi. Satu demi satu pakaian disusun kembali ke tempatnya.

“Awak buat apa tu?”

Sergahan itu membuatkan Azzalea terduduk di lantai.

Bulat mata Emir apabila boxernya sudah bertaburan di atas lantai. Dengan rasa marah, seluar-seluar pendeknya dikutip sebelum disumbat ke dalam bagasinya semula. Bagasinya ditarik ke tepi sebelum dia berdiri di hadapan Azzalea.

“Awak.. awak buat apa dekat sini?” soal Emir sambil bercekak pinggang.

Kebisuan gadis di hadapannya membuatkan Emir mengecilkan matanya.

“Awak nak curi boxer saya?”

Tuduhan melulu penghuni bilik itu nyata membuatkan Azzalea menelan air liur. Dasar orang gila! Hoi, tak hinginlah aku nak curi underwear kau yang bercorak entah apa-apa tu! Namun, kata-kata itu hanya berlegar di fikirannya sahaja memandangkan dia bukannya sesiapa di chalet itu. Hanya seorang tukang cuci sahaja di situ. Tidak mungkin dia sanggup menjatuhkan reputasi chalet tersebut.

“Tak, Encik.. Err.. sa.. saya.. err.. nak pasangkan cadar je.. dalam bilik.. ni,” balas Azzalea dengan suara yang tersekat-sekat.

Emir berpeluk tubuh. Ada senyum sinis di bibirnya.

“Kau ingat aku nak percaya? Huh! Perempuan zaman sekarang ni banyak yang gatal. Contohnya, kau!”

Hilang sudah bahasa awak dan saya dari mulut Emir. Kau dan aku pula yang digunanya.

Azzalea pula mati kutu. Dia mencangkung sambil menekur lantai. Perasan betul la mangkuk ayun ni. Nak je aku humban dalam laut.

“Kau kenapa? Dah macam kura-kura je aku tengok.”

Tawa Emir pecah juga akhirnya. Kelakar melihat keadaan si gadis yang berada di hadapannya duduk mencangkung dari tadi.

Azzalea bingkas berdiri dan bercekak pinggang. Ini sudah lebih! Berani dia samakan aku dengan kura-kura?

“Kelakar ke? Aku tak rasa kelakar pun! Oh, ya! Kau ambil ni, pasang sendiri! Kau ingat aku nak curi boxer kau? Dah la corak heart shape. Kau tahu tak itu jambu?” balas Azzalea. Kali ini dia pula yang ketawa. Bukan main besar tawanya.

Emir menggenggam buku lima. Nasib baik perempuan!

“Nah! Kau pasang sendiri. You know what, aku tak kerja dekat sini tahu? So, aku punya sukalah aku tak nak tolong siapkan tempat tidur kau ni. Buat sendiri!”

Selimut dan cadar yang terlipat elok dicampak ke arah lelaki itu. Kini dia pula yang berpeluk tubuh apabila selimut dan cadar itu selamat mendarat di muka si katak puru. Huh!

Emir terkejut apabila melihat kelakuan si gadis itu.

Hello! Siapkan kerja kau ni dulu sebelum kau berambus!” jerit Emir apabila Azzalea sudah pun melangkah ke muka pintu.

“Ada aku kisah?” balas Azzalea selamba.

Emir bercekak pinggang. Terasa ada api yang sudah keluar dari lubang hidungnya.

“Kura-kura gila!” jerit Emir sekali lagi apabila kedengaran Azzalea ketawa dari luar. Sakit benar hatinya saat ini. Siaplah kau, budak kura-kura!

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...