Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

22 Mac 2015

Hadirnya Cinta Terindah 2

SEJAK melihat Azeem menyuarakan hasrat hatinya kepada Sabrina, Zara selalu berusaha menjauhi Azeem. Dia tidak mahu lagi mendekati Azeem. Dia sedar, dia yang bersalah kerana dia yang menyimpan perasaan terhadap Azeem biarpun dia tahu bahawa Azeem hanya menganggapnya sebagai adik, dan tidak lebih daripada itu.

Di minggu orientasi sewaktu Zara menjejakkan kaki ke Kolej STAR setahun yang lalu, Azeem yang banyak membantunya. Azeem yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah selalu sahaja membantu Zara menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah. Tetapi, tidak pernah sekali pun Azeem bercerita tentang perasaannya terhadap Sabrina. Sabrina adalah rakan sekuliah Zara dalam modul Sistem Elektrik. Dia hanya kenal Sabrina berdasarkan nama gadis itu memandangkan dia tidak rapat dengan Sabrina. Bertegur sapa juga tidak pernah.

“Hai, Zara. Kenapa termenung ni?” tanya Azeem. Beg sandangnya diletakkan ke meja, lalu dia duduk berhadapan dengan Zara.

Zara yang sedang menongkat dagu menurunkan tangannya. Dia mengukir senyum tawar buat Azeem. Baru tadi dia ingin lari daripada Azeem, kini Azeem datang untuk mendekatinya pula.

“Zara, okey tak?” tanya Azeem.

Senyuman di bibir Azeem kembali mengganggu fikiran Zara. Tanpa sedar, dia turut tersenyum pada Azeem.

Nama sebenar Azeem ialah Meor Muhammad Azeem Taufiq bin Meor Khusyairi. Azeem berada di tahun ketiga dalam kos Teknologi Maklumat di kolej itu. Azeem merupakan salah seorang pelajar terbaik di kolej itu dan dia adalah anak kepada salah seorang orang kanan Kolej STAR. Jika berlaku sesuatu, pasti pelajar-pelajar di kolej itu akan mencari Azeem untuk membantu menyelesaikan masalah sekiranya mereka tidak mahu pihak pengurusan kolej turun padang. Azeem memiliki susuk tubuh yang sasa dan tinggi. Azeem memang merupakan pelajar yang yang menjadi kegilaan ramai selain Ryan.

“Zara okey.”

“Hmm.. kalau okey, tak apalah. Tapi kenapa Zara dah lama tak contact Abang? Zara tak ada masalah ke dalam buat assignment?” soal Azeem lagi.

Zara hanya menggeleng untuk menjawab pertanyaan Azeem.

“Awak!”

Zara dan Azeem menoleh, merenung ke arah gadis yang berdiri betul-betul di sebelah meja yang diduduki mereka. Sabrina tersenyum memandang ke arah lelaki pujaan hatinya. Pandangan matanya beralih pula kepada Zara yang berseluar slack kuning. Baju kemejanya hari ini bercorak-corak polkadot warna merah dan hitam. Cermin mata besar berbingkai hitam seperti biasa melekat pada batang hidungnya yang mancung. Sebahagian wajah Zara tertutup dek kerana cermin mata yang dipakainya terlalu besar.

“Hai, Zara,” sapa Sabrina, cuba berbasa-basi. Dalam hati, dia ketawa melihat baju dan seluar yang dipakai Zara.

Zara hanya tersenyum memandang Sabrina.

“Zara, Abang nak keluar makan dengan Sabrina. Take care,” pesan Azeem sebelum berlalu.

Zara membuang pandang apabila bebola matanya menangkap pelukan erat pada lengan Azeem.

“Hannah Mentadak!”

Zara mengemas buka-buku dan pen yang berada di atas meja, lalu dimasukkan ke dalam beg galasnya. Dia ingin cepat-cepat meninggalkan kafe itu. Dia tahu siapa yang sedang berjalan menghampirinya.

“Dah nak balik ke, Hannah Mentadak?” tanya Ryan sambil mengukir senyum menggoda.

Zara berpura-pura tidak mendengar. Buku-buku yang berada di atas meja dicapai lalu didakap ke dadanya.

“Tunggulah dulu. Nak kemana kelam-kabut sangat ni?”

Ryan duduk di sebelah kerusi Zara. Zara yang ingin bangun dari duduknya ditarik agar dia kembali duduk. Zara menarik nafas panjang.

“Kau nak apa, hah?” tanya Zara geram. Sudahlah dia sakit hati melihat sikap dan tingkah laku Sabrina dan Azeem, kini Ryan pula yang datang mengganggu.

“Aku nak ajak kau berbual. Betul tak Aiman, Nazril?”

Aiman dan Nazril mengangguk, lalu mereka duduk di kerusi yang masih kosong. Kelihatan beberapa orang pelajar datang ke kafe itu dan duduk mengambil tempat di meja-meja yang agak jauh daripada mereka.

“Dahlah. Jangan kacau aku!” bentak Zara.

Dengan pantas, Zara bangun berdiri. Ryan ikut bangun dan dengan tidak sengaja, dia terlanggar buku-buku yang berada di tangan Zara. Buku-buku itu jatuh berselerakan.

“Oppss..” ujar Ryan sambil mengangkat kedua-dua belah tangannya.

Zara mengetap gigi. Wajah Ryan ditenung lama sebelum dia tunduk mengutip buku-bukunya. Zara terus meninggalkan Ryan dan rakan-rakannya.

Ryan duduk kembali di tempatnya. Bibirnya mengukir senyum mengejek. Semakin lama, semakin seronok pula dia mengejek Zara. Tiada siapa pun yang pernah menghalang Ryan apabila Ryan membuli Zara. Maka, Ryan bermaharajalela cuba untuk mengusik dan mencerca Zara.

Mata Ryan menangkap sehelai kertas putih yang berada di bawah kerusi yang diduduki Zara sebentar tadi. Adakah itu kertas milik Zara? Dia membongkok untuk mencapai kertas itu. Tertulis ayat, ‘I love you, MMATMK. Thanks for everything. Love, NZSJ.’ Kertas itu diterbalikkan. Ryan tersenyum kemenangan.

“Jagalah kau, budak nerd!” gumamnya perlahan sebelum gambar itu dimasukkan ke dalam begnya.



“APA?!” jeritan yang sungguh kuat itu sudah cukup untuk memenuhi segenap ruang dalaman villa dua tingkat itu.

“Betul, Zarif. Papa nak Zarif masuk ke STAR College. Papa dah uruskan semuanya. Tinggal Zarif masuk kelas je,” ujar Tan Sri Khalid, memberitahu anak tunggalnya itu.

“Papa suruh Zarif balik ke sini, tak habiskan study sebab Papa nak Zarif belajar dekat kolej tu? Papa, come onlah. Kolej apa tu?” tanya Zarif dalam nada yang sudah diperlahankan. Sebentar tadi dia terlalu terkejut, jadi dengan tidak sengaja dia menjerit.

Tan Sri Khalid mengangguk, menandakan apa yang dimintanya adalah benar.

“Kolej tu kolej baru, tapi tak adalah baru sangat. Adalah dalam lapan tahun beroperasi. Setakat ni, semua lepasan diploma dan ijazah dari STAR Colloge tu adalah antara tenaga pekerja yang baik. Daripada Papa habiskan duit hantar Zarif ke luar negara, baik Papa suruh Zarif belajar dekat sini.”

Zarif terdiam. Rupanya inilah perkara penting yang ingin disampaikan oleh bapanya. Zarif keliru. Pelajarannya masih belum ditamatkan, bapanya pula ingin dia menyambung pelajaran di sini?

“Tapikan, Pa.. maknanya Zarif kena belajar dari semester satulah? Tahun satu?” tanya Zarif.

Tan Sri Khalid menggeleng.

“Papa dah minta pihak kolej masukkan Zarif ke semester tiga. Samalah tu dengan apa yang Zarif dah belajar..”

Zarif menarik nafas panjang. Sejujurnya dia sudah tidak mahu belajar dan ingin bekerja sahaja, membantu Tan Sri Khalid di pejabat. Umurnya sudah menjangkau dua puluh tiga tahun. Bapanya berdegil menyuruh Zarif melanjutkan pelajaran. Apabila usianya dua puluh satu tahun, barulah dia mengambil kelas persediaan sebelum terbang ke Jepun, melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Komputer.

“Kalau macam tu, tengoklah nanti,” balas Zarif perlahan.

“Apa pulak tengoknya? Zarif kenalah habiskan belajar cepat-cepat. Mama dan Papa cuma ada Zarif je. Zarif tak ada abang, kakak atau adik yang nak tolong Papa dekat pejabat,” sampuk Puan Sri Aisyah.

Zarif menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Papa tak sekat belanja Zarif, Zarif boleh bawak kereta semula, asalkan Zarif nak sambung belajar,” usul Tan Sri Khalid, cuba memancing anak bujangnya itu.

Sebenarnya, Tan Sri Khalid terpaksa menarik kemudahan Zarif demi memaksa Zarif menyambung pelajaran. Zarif selalu berbelanja dengan boros. Dia seorang lelaki yang mementingkan penampilan, jadi duitnya selalu habis ke arah pakaian dan kelengkapan lain sebagai seorang lelaki. Dia menjadi kegilaan ramai gadis sejak di bangku sekolah lagi memandangkan dia memiliki wajah yang kacak. Keningnya agak tebal, matanya tidak terlalu kecil dan tidak terlalu besar, berkulit cerah dan tinggi lampai. Ke mana sahaja dia melangkah, dia pasti akan menjadi buruan.

Mendengar sahaja umpan bapanya, Zarif tersengih.

“Okey, Papa! Zarif setuju,” jawab Zarif sambil mengukir senyum lebar.

Tan Sri Khalid tersenyum. Begitu juga dengan Puan Sri Aisyah. Tidak susah untuk memujuk Zarif. Dia memang anak yang mendengar kata. Mendengar kata bila bersyarat dan syarat itu haruslah memberi keuntungan kepada pihaknya sendiri.



ZARA mengerling jam di pergelangan tangan kanannya. Sudah lebih setengah jam dia menunggu Rasya, tetapi kelibat kakaknya masih belum jua muncul. Waktu rehat tadi Rasya ada menghubunginya. Kata Rasya, dia akan menjemput Zara pulang ke rumah. Jadi, tidak perlulah Zara menunggu bas.

“Baik tunggu bas daripada tunggu Kakak,” getus Zara sendirian.

Zara menunggu Rasya di tempat menunggu bas untuk memudahkan Rasya untuk menjemputnya. Tidak perlulah Rasya tercari-cari akan adik kesayangannya itu.

Nampaknya pagar kolej sudah ditutup separuh. Maknanya waktu pengajaran dan pembelajaran akan tamat sebentar lagi. Zara menanggalkan kaca matanya yang agak kabur disebabkan asap kereta yang lalu-lalang. Zara mengelap cermin matanya dengan lengan baju, lalu dengan tidak sengaja ada seseorang yang melanggarnya. Cermin mata yang berada di tangan terlepas.

“Awak siapa?” tanya Zara apabila dia dapat merasa ada seseorang yang berdiri di hadapannya. Dia tidak mampu mengecam pemilik wajah itu. Dia tidak kenal lelaki itu. Matanya yang kabur digosok-gosok. Kelihatan seorang lelaki berdiri dan melihat ke arahnya. Mungkin pelajar di kolej, bisik hati Zara.

“Cermin mata saya!” ujar Zara separuh menjerit. Dia tunduk lalu tangannya meraba-raba mencari cermin matanya.

Zarif hanya melihat perlakuan gadis itu yang sedang mencangkung di lantai dan mencari sesuatu. Zarif merasakan kakinya terpijak sesuatu ketika dia ingin berlalu meninggalkan gadis itu sendirian. Zarif terdiam. Alamak!

“Awak.. awak pijak cermin mata saya?” tanya Zara.

Telinganya dapat menangkap bunyi derapan kaki seseorang yang memijak sesuatu. Dia pasti itu adalah kaca matanya. Zara mencapai kaca mata itu. Walaupun pandangan begitu kabur, dia masih dapat melihat apa yang ada di hadapan matanya.

“Awak..? Berani awak?” marah Zara. Dia berdiri merenung lelaki di hadapannya. Kaca mata yang hanya tinggal bingkai patah itu disuakan pada muka lelaki itu.

“Saya minta maaf. Saya tak sengaja. Saya nak cepat ni. Ada hal. Nanti jumpa lagi, saya ganti. Promise!” ujar Zarif.

“Saya takkan jumpa awak lagi! Kalau saya jumpa awak, siaplah! Saya akan ingat muka awak!” marah Zara.

Zarif kaku. Garangnya! Tetapi dia harus cepat. Dia ingin mendaftarkan diri di bahagian Hal Ehwal Pelajar. Zarif terus melangkah meninggalkan Zara.

Zara mengetap gigi.

“Zara!”

Zara berpaling melihat ke arah pemilik suara yang memanggil namanya. Kelihatan Rasya yang berseluar denim biru dan t-shirt putih tanpa kolar sedang berdiri merenungnya. Sebuah senyuman melekat pada bibirnya.

“Apa tengok-tengok?” soal Zara sambil mendahului kakaknya masuk ke dalam kereta.

“Kenapa Zara pakai baju ni?” tanya Rasya sambil ketawa besar. Dia duduk di tempat pemandu dan menghidupkan kembali enjin keretanya.

Zara tersengih mendengar soalan kakaknya. Sehelai tisu muka ditarik dari dalam kotak lalu pemerah pipi, pembayang mata yang berwarna terang itu dilap tanpa melihat ke arah cermin. Rambutnya yang bertocang dua seperti selalu dibebaskan semula. Kemeja berwarna merah bersaiz besar itu ditanggalkan dari tubuh. Mujurlah dia ada memakai t-shirt hitam di dalam baju besar itu tadi. Jeans merahnya masih melekat di kaki seperti tadi.

“Macam biasalah Akak,” balas Zara. Tangannya masih ligat mengesat pemerah pipi yang masih berbaki di pipinya.

“Macam clown,” balas Rasya selamba.

Zara tergelak kecil.

“Akak nak tahu, tadi ada budak sorang ni langgar Zara. Habis tercampak spec mata Zara. Dah tu, dia pijak pulak,” adu Zara sambil mengangkat cermin matanya yang sudah pun pecah.

Rasya tersengih.

“Zara ada banyak spec mata tu, kan? Pakai jelah mana-mana pun.”

Zara tersenyum kecil. Terasa lega apabila tiada lagi contengan-contengan dan calitan pada wajahnya.

“Zara.. kenapa Akak tengok Zara selalu macam ni? Dari sekolah menengah lagi. Apa salahnya kalau Zara pakai apa yang Zara pakai sekarang ni? Zara cantiklah.”

Zara tergelak kecil mendengar soalan jujur kakaknya.

“Akak.. Zara nak belajarlah. Zara ke kolej bukannya sebab Zara nak bergaya. Biarlah. Pakai baju macam tu pun dah kira okey apa. Akak tengoklah, tak ada sesiapa pun yang ajak Zara keluar. Sebab apa? Sebab orang ingat Zara ni pelik. Jadi, boleh la Zara tumpu study. Tak adalah ikut kawan-kawan Zara pergi melencong ke tempat lain tu,” jawab Zara.

Sebenarnya, Zara sedikit pun tidak berniat untuk membohongi orang di sekelilingnya. Dia ada sebab mengapa dia sanggup berpakaian pelik serta tidak bergaul dengan orang lain. Hanya Azeem sahaja yang selalu mendekatinya. Dia ingin sekali menunjukkan diri sebenarnya di hadapan rakan-rakan lain, tetapi disebabkan kebanyakan pelajar di Kolej STAR itu cukup sombong dan selalu mengejeknya, biarlah. Dia sudah malas untuk mempedulikan mereka.

Jika hendak dibandingkan dengan Sabrina, sudah pasti dialah yang lebih cantik. Tetapi, Azeem tetap memilih Sabrina. Mungkin kerana Azeem masih belum mengenali Zara dengan sepenuhnya.

“Akak rasa, baik Zara tak payah berlakon macam ni. Zara pakai macam tu semua, orang sibuk nak mengata. Ryan tu, kan? Selalu nak buli Zara. Sudahlah. Eh?” pujuk Rasya. Sejak dahulu lagi dia tidak suka apabila orang mengutuk adik kesayangannya. Mujurlah dia bukan Durrani. Durrani lebih lantang dan garang. Jika ada orang yang cuba melakukan sesuatu yang buruk terhadap adik-adiknya, Durrani tidak akan segan-segan mencari siapakah orang tu. Maklum sajalah, dia pemegang tali pinggang hitam dalam taekwondo.

“Nantilah, Akak. Dah tak ada sebab untuk Zara buang semua baju-baju ni,” ujar Zara perlahan.

“Maksud Zara?”

Rasya mengerling adiknya yang duduk di sebelahnya. Kelihatan Zara sedang asyik merenung ke luar tingkap. Zara tidak bersuara.

“Oh, Azeem dah ada orang lain?”

Zara menoleh ke kanan, melihat ke wajah kakaknya.

“Mana Akak tahu?” tanya Zara seakan-akan tidak percaya.

“Baru kejap tadi, Akak nampak Azeem dengan sorang budak perempuan ni. Bukan main rapat lagi. So, Akak assume Azeem dah ada girlfriend la,” jelas Rasya.

Kasihan Zara. Dia tahu, adiknya pasti sedih. Sepanjang dua puluh satu tahun gadis itu hidup, dia hanya pernah menyukai seorang lelaki sahaja, iaitu Meor Muhammad Azeem Taufiq bin Meor Khusyairi. Tapi nampaknya Azeem sukakan orang lain, bukannya Zara. Disebabkan itulah dia ingin Zara bersikap normal. Jika dia berpakaian seperti biasa, pasti ramai pilihan yang menanti.

Sudah berkali-kali keluarga mereka berusaha memujuk Zara agar tidak berpakaian pelik-pelik seperti itu lagi. Tetapi dia masih berdegil. Kononnya dia tidak mahu mereka menyukainya kerana rupa. Zara.. Zara..



“NAMA awak siapa?”

“Err.. Muhammad Zarif Ihsan bin Khalid,” jawab Zarif apabila ditanya oleh kerani yang hanya berbaju kemeja T tanpa kolar. Lagaknya tidak nampak seperti seseorang yang bekerja di sebuah kolej ternama.

Betul ke Papa ni? Betul ke kolej ni berprestij tinggi? Tapi kenapa pekerja kolej yang sorang ni just pakai t-shirt? Segala macam soalan mula bermain di benak Zarif.

Lelaki itu bangun dan menuju ke mesin fotostat di belakangnya. Zarif hanya menjadi pemerhati.

“Esok awak dah boleh mula masuk kolej.  Awak dah tentukan senarai modul yang awak akan ambil, jadi awak bukak website yang ada pada kertas ni, pilih mana satu kelas yang awak boleh masuk. Terpulanglah pada awak ni pilih kuliah mana satu pun,” ujar lelaki itu bersahaja.

Zarif mengangguk perlahan.

“Terima kasih banyak, ya Encik,” ucap Zarif sebelum berlalu.

Zarif mengangkat bahu. Lantas fikirannya teringatkan gadis yang dilanggarnya tadi. Zarif berlari keluar menuju ke arah pondok tempat menunggu bas. Kelihatan sudah ramai pelajar yang memenuhi setiap sudut pondok itu. Wajah yang dicari tidak dijumpai. Akhirnya Zarif menuju ke arah Mercedes Benz SLR silvernya yang diletakkan di seberang jalan.

Zarif menghidupkan enjin keretanya.

“Ke manalah budak tu hilang? Aku nak bagi duit ganti rugi ni,” ujar Zarif sendirian.

Dia akhirnya bergerak meninggalkan kawasan kolej yang nampak seperti hanya untuk anak-anak orang berada sahaja. Dalam perjalanan, Zarif mula berasa tidak sedap hati untuk datang ke kelas esok. Dia tidak tahu mengapa, mungkin kerana hatinya benar-benar tidak mahu meneruskan pelajaran di kolej itu. Zarif menarik nafas panjang. Mungkin lama-lama nanti dia akan berasa lebih selesa selepas menyesuaikan diri.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...