Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

24 Ogos 2014

Semua Untukmu 5

GOOD morning, Abang!”

Sapaan Khairinna mematikan lamunan Nazhan. Dia tersenyum kemudiannya.

“Awal Erin bangun hari ni? Bukan ke selama hari ni Erin just akan bangun bangun bila matahari tegak atas kepala ke? Bukan sampai Mama Erin membebel baru Erin nak bangun?”

Khairinna mencebik.

“Mama ni.. suka malukan Erin. Suka cerita benda yang tak penting pada orang lain. Apa pun, hari ni Erin bangun awal sebab Abang ada dekat sini. Erin nak breakfast dengan Abang lagi!”

Nazhan tersenyum cuma. Pagi-pagi lagi dia sudah berdiri tegak menghadap laut, melihat burung-burung berterbangan di dada langit. Sesekali, beberapa ekor burung akan terbang rendah sebelum menjunamkan kepala mereka demi mendapatkan makanan.

“Abang, Erin ada bawak katalog yang Mama suruh tunjuk pada Abang. Kalau Abang free, bolehlah Erin tunjuk pada Abang.”

Nazhan menjungkit kening.

“Katalog?”

Khairinna sudah menjeling Nazhan dengan ekor matanya. Asyik-asyik lupa!

“Benda penting macam ni pun Abang boleh lupa? Majlis pertunangan kita!”

Nazhan menepuk dahi.

Sorry. Abang memang selalu macam ni. Hari ni Abang masuk shif petang. Lepas breakfast ni Erin ikut Abang balik, ya? Ibu Abang nak sangat jumpa dengan Erin.”

Khairinna mengangguk laju. Segera tangan kanannya diangkat, lalu ibu jari dan jari telunjuknya membentuk huruf ‘O’. Nazhan tersenyum lagi.



“OPAH, Lea nak pergi pantai. Opah nak pesan apa-apa tak?” soal Azzalea dari muka pintu.

Semangat benar dia pagi itu ingin mengikut jiran-jiran mereka ke laut, untuk mengutip kerang-kerangan. Setiap kali air surut, pasti paras air laut menurun. Dan kawasan-kawasan yang surut itu akan berselut dan berlumpur. Pasti banyak hidupan laut yang dapat ditangkap di kawasan berselut itu.

“Lea tolong hantar kain dekat rumah Mak Cik Ramlah boleh tak? Mintak jahitkan baju kurung Lea dengan Opah,” jawab Nek Limah yang sedang sibuk melipat cadar-cadar chalet.

Azzalea menggaru kening.

“Bolehlah, ya? Nazhan bukannya ada dekat rumah. Tentu-tentu dia sibuk dekat chalet.”

Pujukan Nek Limah berjaya juga melembutkan hati Azzalea.

“Tapi.. kalau Lea hantar lepas Lea balik dari pantai, boleh?”

Nek Limah mengangguk perlahan menjawab pertanyaan cucunya yang satu itu.

Azzalea segera menanggalkan selipar Jepun yang dipakainya sebelum masuk ke dalam rumah. Dia masuk ke dalam bilik neneknya sebelum keluar dengan membawa kain-kain pasang yang masih belum berjahit.

“Lea jangan lupa pulak pergi hantar kain-kain tu,” laung Nek Limah apabila Azzalea sudah mencapai basikalnya.

“Baik, Opah,” balas Azzalea sambil mengangkat tabik kepada neneknya.

Basikal dikayuh sedikit laju meninggalkan kawasan rumah. Tiba sahaja di persisiran pantai, Azzalea menyandarkan basikalnya ke sepohon pokok gajus yang tumbuh merendang. Kelihatan ada dalam sepuluh orang mak cik-mak cik sedang berjalan membawa baldi di sekitar pantai itu.

Azzalea menghayun langkah mendekati wanita-wanita yang agak berusia itu dengan senyuman.

“Assamualaikum!” sapa Azzalea ramah.

Salam Azzalea bersambut. Azzalea berjalan mendekati Suzana, rakan sebayanya.

“Dah mula ke?”

“Kami baru nak mula,” jawab Suzana.

“Nasib baik,” balas Azzalea, tersengih.

Suzana menjegilkan biji matanya ke arah Azzalea.

“Kau ingat kami nak kutip kerang ni semua sampai habis ke?”

Azzalea ketawa mendengar kata-kata Suzana. Tanpa mahu membuang masa, tangannya pantas memaut lengan Suzana. Kedua-dua gadis itu memulakan rutin mengutip siput-siput dan pelbagai jenis kerang seperti biasa.



“MACAM mana kerja dekat chalet tu, Lea?”

Azzalea meneguk air masak milik Suzana. Terasa hilang sedikit lelahnya apabila air mengalir di kerongkong.

“Macam biasalah, Zana. Penat. Kesian dekat opah aku,” balas Azzalea. Belakang tapak tangannya mula mengesat peluh yang merenik di dahi. Seteguk lagi air ditelan.

“Kenapa kau tak kerja je dekat chalet tu? Lagi senang. Tak payahlah opah kau susah-susah buat kerja berat-berat lagi.”

Azzalea mengangguk, mengenang keadaan neneknya. Tutup botol dipusing sebelum botol diletakkan di sisi.

Selain Sarah, Suzana merupakan sahabat baik kepada Azzalea. Sama seperti Azzalea, Suzana juga perlu mengorbankan peluang untuk menyambung pelajaran. Bagaimana dia mahu menyambung pelajaran sedangkan hidupnya tidak ubah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang? Dia tidaklah sebijak Azzalea yang mendapat tajaan biasiswa. Suzana bekerja sebagai tukang masak di salah sebuah kedai di pekan. Mujurlah dia pandai memasak. Mudahlah mendapat kerja.

“Tapi kalau aku kerja dekat chalet tu, time aku balik tak tentu, Zana. Kesian dekat Opah. Bukannya larat sangat. Aku risaulah. Takkan nak harapkan jiran aku je, Acik Minah? Acik Minah pun ada anak-anak nak kena jaga. Nak hantar anak-anak pergi sekolah lagi. Lagipun aku takutlah nak balik sorang-sorang. Tambah-tambah kalau aku balik malam.”

Suzana menarik nafas dalam-dalam.

“Fasal opah kau, aku boleh mintak emak aku tolong tengok-tengokkan. Aku balik kerja, aku boleh singgah kejap. Kalau kau takut nak balik malam, Abang Nazhankan ada? Kau tumpanglah dia. Kan senang.”

Mendengar sahaja nama Nazhan disebut, Azzalea menepuk dahi.

“Eh, Zana! Nantilah kita sambung lagi. Aku terlupa something. Opah suruh aku hantar baju dekat rumah Abang Nazhan. Aku pergi dulu!"

Azzalea bingkas bangun dan berlari mendekati pohon gajus tempat dia meninggalkan basikalnya tadi. Suzana hanya menggelengkan kepalanya. Semoga hidup sahabatnya itu dipermudahkan, doa Suzana dalam hati.



“CANTIKNYA Erin. Bertuah Nazhan dapat bakal isteri macam Erin ni,” puji Mak Cik Ramlah sambil mengusap rambut Khairinna.

Khairinna hanya tersenyum senang. Bangga apabila dipuji oleh bakal mertuanya.

“Erin makan dekat sini, ya? Nak tidur sini pun boleh,” pelawa Mak Cik Ramlah lagi.

Khairinna menganggukkan kepalanya.

“Mestilah, Mak. Dah lama tak rasa masakan Mak,” balas Khairinna.

Mak Cik Ramlah tersenyum kecil.

“Belajarlah masak daripada Mak.”

Entah dari mana datangnya Nazhan, Mak Cik Ramlah dan Khairinna langsung tidak perasan. Nazhan melabuhkan duduk di salah sebuah sofa yang kosong. Khairinna mencebik.

“Erin belajar masak bila kita dah kahwin nanti. Tak pun kita duduk dengan Emak.”

Akhbar yang ingin dibaca ditutup semula.

“Amboi.. karang tak nak kahwin karang, baru tahu!” ugut Nazhan.

Khairinna hanya menjelirkan lidahnya ke arah Nazhan.

“Assalamualaikum!”

Mak Cik Ramlah segera menjawab salam tetamunya sebelum bergerak ke pintu. Dia tersenyum apabila senyuman manis Azzalea menyapa pandangannya.

“Lea! Naiklah!” pelawa Mak Cik Ramlah.

“Tak apalah, Mak Cik. Lea baru balik dari laut ni. Kotor. Lea nak hantar kain, Opah pesan,” balas gadis itu. Pada mulanya dia ingin juga masuk ke dalam, namun kehadiran Toyota Hilux hitam milik Nazhan mematikan hasratnya.

“Bukannya tak boleh cuci kalau kotor. Naiklah,” pelawa Mak Cik Ramlah.

Biarpun dia tidak ingin bertemu dengan Nazhan, dia tetap mahu melihat wajah Nazhan. Rindulah katakan. Dengan perasaan yang bercampur-baur, dia melangkah satu persatu anak tangga lalu masuk ke dalam rumah Mak Cik Ramlah.

“Lea, duduk dulu. Mak Cik buatkan air.”

Belum sempat Azzalea menahan Mak Cik Ramlah, wanita separuh abad itu terus menuju ke dapur. Tinggallah Azzalea, Nazhan dan juga gadis yang tidak dikenali itu di ruang tamu.

Apabila masuk sahaja ke dalam rumah sebentar tadi, wajah ceria Nazhan dan gadis yang duduk di sisinya diperhatikan. Namun, dia masih menahan dirinya daripada diserang rasa sedih. Mungkin juga gadis itu saudara-mara Mak Cik Ramlah.

“Lea datang.. nak hantar.. err kain? Nak suruh Mak jahit?”

Azzalea mengangkat muka. Dia mengangguk perlahan. Bila pula Nazhan berada di sebelahnya? Hairan.

Nazhan menarik kerusi sebelum duduk di sebelah Azzalea. Azzalea cuba mengawal degupan jantungnya.

“Lea dari mana?” soal Nazhan, cuba membuka bicara.

“Dari pantai. Ikut Suzana kutip kerang,” balas Azzalea. Kepalanya masih ditundukkan, menekur permukaan meja makan kayu yang beralas plastik jernih.

Nazhan senyap. Azzalea juga begitu.

“Tak nak kenalkan Erin?”

Serta-merta Azzalea mendongak. Kelihatan gadis yang membahasakan dirinya sebagai Erin berdiri di sisi Nazhan.

Nazhan tersenyum pahit. Dia sendiri juga tidak tahu mengapa dia berkelakuan begitu.

“Itulah Erin, Lea. Bakal isteri Abang Nazhan,” sampuk Mak Cik Ramlah yang sedang menatang dulang berisi teh panas.

Hampir sahaja Azzalea menangis di situ. Air liur ditelan. Terasa kesat dan pahit. Kelopak matanya dikelip-kelipkan beberapa kali, mengelakkan air mata yang sudah bertakung di tubir mata daripada menitis. Jadi, inilah Erin yang menelefon Nazhan beberapa hari yang lalu.

“Mak Cik.. Opah mintak jahitkan baju ni. Bila-bila siap pun tak apa. Bukan nak cepat sangat. Lepas tu guna ukuran lama tu, ya?”

Azzalea bangkit setelah menyampaikan pesanan Nek Limah.

“Lea balik dulu ya, Mak Cik? Risau pulak tinggal Opah dekat rumah sorang-sorang,” bohong Azzalea.

“Tak nak minum dulu ke?”

Azzalea segera menggeleng. Setelah bersalaman dengan Mak Cik Ramlah, Azzalea segera meninggalkan rumah Nazhan. Tidak betah rasanya berlama-lama di situ. Air matanya mengalir laju sebaik sahaja basikal uzurnya dikayuh laju. Dia menangis semahu-mahunya apabila mengingatkan kata-kata Mak Cik Ramlah.

“Bakal isteri? Kenapa tak pernah cakap?!” jerit Azzalea sendirian.

Air mata semakin laju mengalir, membasahi pipi mulusnya. Tersedu-sedu dia di atas basikalnya. Air mata yang bertakung di kolam mata mengaburkan pandangan. Namun dia tidak peduli. Sampai hati Nazhan!



EMIR berdiri sambil bercekak pinggang.

“Maafkan kami, Tuan. Kami.. err..”

“Apa kami, kami? Mana tukang masak lain? Mana?” jerkah Emir.

Pelayan lelaki itu segera berlari masuk ke dapur sebelum memanggil tukang masak di cafe itu.

“Kenapa dia nak jumpa dengan aku?” soal tukang masak itu kehairanan. Terdengar juga dia bunyi bising-bising sewaktu di dapur tadi. Tidak pula disangka suara yang membingitkan telinga itu rupa-rupanya adalah milik anak pemilik BaySide Chalet.

Pelayan itu menjungkit bahu. Panas hatinya apabila ditengking-tengking begitu.

“Tuan.. ada apa-apa masalah ke?” sapa tukang masak itu sopan. Bimbang pula Emir semakin naik angin.

Emir yang sedang bercekak pinggang berdiri membelakangi mereka berdua. Dia kemudiannya berpaling apabila terdengar suara tukang masak itu.

“Awak tukang masak dekat sini, kan? Ada lagi yang lain?”

Tukang masak itu segera menggeleng.

“Yang lain cuma pembantu saya. Sayalah yang masak,” jawab tukang masak.

Anak mata Emir mencerun memandang ke anak mata si tukang masak yang bernama Megat itu.

“Kenapa rasa nasi lemak sambal sotong awak hari ni rasa lain macam?”

Megat memandang pelayan yang berdiri tegak di sebelahnya. Kemudian, mereka sama-sama menggelengkan kepala.

“Sama je, Tuan. Bahan-bahan sama, resepi sama. Dan jugak cara masak pun sama. Kami dah rasa. Memang sama je rasa nasi lemak sambal sotong tu, Tuan,” balas Megat yakin.

Emir mengerut dahi.

“Awak yakin? Kenapa hari tu..”

Emir tidak jadi meneruskan kata-kata.

“Tak apa, sambung kerja!” arahnya sebelum berlalu meninggalkan pekerja-pekerjanya terkulat-kulat.

Sekali lagi, Megat dan rakan sekerjanya berpandangan sebelum mengangkat bahu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...