Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

22 Mac 2015

Hadirnya Cinta Terindah 1

“MENGERTI akan hadirnya cinta terindah,
Saat kau peluk mesra tubuhku..
Banyak kata yang tak mampu kungkapkan,
Kepada dirimu..
Aku ingin engkau selalu,
Hadir dan temani aku,
Di setiap langkah,
Yang meyakiniku..
Kau tercipta untukku.. sepanjang hidupku..”


Tepukan gemuruh mengiringi perkataan terakhir dalam lagu yang dinyanyikan Azeem memenuhi setiap genap dewan besar itu. Kelihatan Azeem sedang tersenyum sambil memandang seorang gadis yang sedang berdiri tegak betul-betul menghadap pentas. Gadis itu terpana. Sepanjang dia berkenalan dengan lelaki yang bernama Azeem Taufiq itu, inilah kali pertama lelaki itu berbuat begitu padanya.

“Nurul Sabrina, I wanna ask you to go out with me this Saturday,” ujar Azeem dengan suara yang tenang.

Sabrina yang tadinya mematung mengukir senyum. Air mata mula jatuh dari tubir matanya dan mengalir ke pipi.

Accept! Accept! Accept!” jeritan pelajar-pelajar lelaki di dalam dewan itu sungguh gamat, hingga semua pelajar kolej yang berada di kawasan dewan itu boleh mendengar suara mereka.

Sabrina mengangguk perlahan. Anggukan itu disambut dengan jeritan gembira senior-senior yang berada di dalam dewan itu.

So lucky,” bisik salah seorang pelajar kepada rakan yang berada di sebelahnya.



Gadis yang tadinya hanya berdiri menyaksikan drama di antara senior dan junior itu terus berlalu meninggalkan dewan itu. Malas dia mahu berlama-lama menghabiskan masa melihat babak yang sungguh mengagumkan itu.

“Hannah Mentadak! Dari mana?”

Suara yang memanggil namanya itu cukup dikenali. Zara langsung tidak mempedulikan suara manusia yang sedang ketawa mengekek dengan dua orang lagi sahabatnya.

“Alahhh.. sombonglah Hannah Mentadak ni. Abang tanya ni, dari mana?” soal lelaki itu lagi.

Suara itu bagaikan pepijat yang mengganggu deria pendengaran Zara. Dia sudah penat diganggu oleh lelaki itu. Zara terus berjalan ke arah kafe yang terletak beberapa langkah daripadanya. Langkah Zara terhenti apabila lengannya dipaut erat oleh pelajar itu.

Let me go!” marah Zara.

Semua pelajar yang berada di kafe itu memerhatikan tingkah Zara dan tiga pelajar lelaki itu lagi.

“Wahh.. cakap orang putih,” ujar pelajar itu sambil ketawa. Kawannya yang berdua itu turut melakukan hal yang sama.

Zara sedaya-upaya menarik lengannya. Lengannya mula terasa kebas dek cengkaman yang kuat.

“Sudahlah, Ryan. Sakit,” ujar Zara, cuba meminta simpati.

Lelaki yang bernama Ryan Fahmi itu mencebik, mengejek Zara. Dia tersenyum sinis merenung Zara dari atas ke bawah.



Nur Zara Sofea binti Jamaluddin. Itu nama gadis yang berada di hadapannya sekarang ini. Ryan meneliti pakaian yang dikenakan oleh Zara. Zara mengenakan sepasang kemeja berwarna jingga terang yang dipadankan dengan sehelai skirt labuh berwarna hijau muda. Rambutnya yang perang agak berserabut ditocang dua. Gadis itu memakai beg galas berwarna merah jambu yang tersangkut di belakang badannya. Macam badut, getus Ryan dalam hati.

“Berapa inci tebal spec mata kau ni, hah?” tanya Ryan sambil mencuba menarik cermin mata yang terletak pada batang hidung Zara dengan tangan kirinya. Tangan kanannya masih mencengkam pergelangan tangan kiri Zara.

“Janganlah!” marah Zara. Tangan Ryan yang ingin menarik cermin matanya ditepis sekuat hati.

Ryan menyeringai kesakitan. Tidak disangkanya tenaga Zara sekuat itu.
 
“Berani kau?” soal Ryan bengang.

Zara mengambil kesempatan melepaskan diri apabila Ryan mula melepaskan pegangannya. Dia berlari secepat yang mungkin meninggalkan kawasan kolej itu.

Tiba sahaja di pondok menunggu bas, Zara duduk sambil menarik nafas panjang. Nafasnya terputus-putus akibat terlalu laju berlari. Pelajar-pelajar lain yang berada di pondok perhentian bas itu tersenyum sinis merenung ke arah Zara.

Zara tidak mahu ambil pusing dengan pandangan yang dilemparkan terhadapnya. Sekarang, dia hanya ingin pulang ke rumah. Dia tidak mahu lagi berhadapan dengan Ryan dan dua pengikutnya itu. Setiap kali dia terserempak dengan Ryan, pasti Ryan akan mengusiknya dan menyakitinya. Dia sendiri tidak tahu apa salahnya pada Ryan sehinggakan Ryan selalu memalukannya di hadapan pelajar-pelajar lain. Mungkin kerana dia tidak seperti pelajar perempuan lain yang pandai bergaya.

Sebuah bas berhenti di hadapan pondok itu. Segera wang untuk membayar tambang bas dikeluarkan dari saku skirt labuhnya. Dia berbaris menunggu giliran sebelum masuk ke dalam bas itu.



“TAK guna punya badut!” bentak Ryan kasar. Kerusi-kerusi yang berada di kafe itu disepak menggunakan kakinya. Beg sandangnya dihempaskan ke meja. Pelajar-pelajar di kafe itu terdiam buat beberapa saat apabila terdengar Ryan melampiaskan kemarahannya.

“Relakslah, bro. Esok masih ada. Kau kenakanlah dia esok,” ujar Nazril, salah seorang daripada dua sahabatnya.

Ryan menggenggam penumbuk.

“Aku dah tak boleh sabar sampai esok. Nak je aku pergi cari rumah dia sekarang ni, belasah dia cukup-cukup. Dia malukan aku, wei! Belum pernah ada orang malukan aku depan orang ramai,” balas Ryan. Giginya diketap-ketap, menahan amarah.

“Sabarlah. Kalau nak kenakan budak macam tu, kita kena ambil masa. Dia tu lembab,” celah Aiman pula.

Ryan menarik nafas panjang. Benar juga apa yang diperkatakan oleh Aiman itu. Ryan menguntum senyum sinis.

“Sebenarnya, aku nak tahu kenapa kau dendam sangat dengan dia. Apa salah dia? Tadi pun dia cuma tepis tangan kau pun. Bukannya dia gigit tangan kau ke, lempang kau.. tak ada pun,” soal Nazril kehairanan.

Sebenarnya, sejak hari pertama Zara berada di kampus itu, Ryan sudah mula mengusiknya. Pada mulanya Zara menangis apabila diusik oleh Ryan dan rakan-rakannya, tetapi kini dia tidak lagi menangis. Mungkin kerana dia sudah lali dengan usikan-usikan dan kejian Ryan.

“Entah. Aku suka tengok dia menangis. Rasa macam puas hati. Dahlah kuno. Aku tak tahulah dia datang dari zaman mana. Kau tengoklah baju-baju dia. Macam badut!” kutuk Ryan.

Nazril hanya menggeleng mendengar kata-kata Ryan. Sejujurnya, ada rasa kasihan yang tumbuh untuk Zara. Walaupun Zara tidak cantik, tidak tahu bergaya dan tiada kawan, dia masih seorang manusia. Dia bukannya tunggul mati mahupun batu sungai. Dia punya perasaan. Pasti Zara sedih walaupun dia tidak menangis.

“Itulah. Aku pun perasan. Kesian dia, kan? Tak ada kawan,” sahut Aiman.

Ryan dan Aiman ketawa besar.

“Kau ingat ada ke orang nak kawan dengan dia? Dia tu dah la macam badut. Nama pun Hannah Mentadak,” semakin lama, semakin galak pula mereka berdua mengutuk Zara. Ketawa mereka berdua pecah lagi.

“Kau kenapa, Nazril? Kau kesian dekat dia? Kalau kau kesian dekat dia, kau pergilah pujuk dia. Mesti dia tengah menangis,” ejek Aiman.

“Tak adalah. Aku tengah fikir, malam ni aku nak kerja or tak. Kitakan ada kelas sampai tujuh petang,” bohong Nazril.

Ryan menepuk dahi. Hampir pula dia terlupa. Mereka ada kuliah sehingga jam tujuh petang memandangkan pensyarah Matematik Kejuruteraan mereka ingin menggantikan kelas yang ditunda sepanjang minggu lalu. Walaupun Ryan nakal, dia tidak pernah sekalipun ponteng kelas.

“Jom makan!” ajak Nazril. Dia bangun mendahului rakan-rakannya. Ryan dan Aiman bangun, mengikut langkah Nazril.



ZARA menolak pintu pagar rumah teres semi D dua tingkat itu.

“Assalamualaikum,” laungnya setelah pintu pagar ditutup.

Dia melangkah masuk ke dalam rumah apabila ada suara seorang wanita yang menjawab salamnya. Zara meletakkan kasut sukan berwarna putihnya ke rak kasut yang berada di bahagian sebelah kiri pintu.

“Mama!” sapa Zara sambil duduk di meja makan.

Ibunya, Puan Saidah sedang sibuk menyenduk lauk-pauk ke dalam mangkuk. Zara bangun dan membantu ibunya. Terasa kasihan pula apabila melihat ibunya bersendirian melakukan kerja-kerja rumah.

“Macam mana kelas hari ni?” tanya Puan Saidah sambil tersenyum memandang anak bongsunya.

Zara mencebik.

Puan Saidah tahu, pasti ada sesuatu yang tidak kena, sama seperti selalunya. Dia tahu apa yang terjadi kepada anaknya itu memandangkan Zara selalu mengadu semua hal kepadanya.

“Zara sabarlah, ya? Lagi setahun setengah aja. Lepas tu Zara dah tak jumpa dengan budak tu,” ujar Puan Saidah, cuba memujuk Zara. Rambut perang Zara diusap perlahan.

Zara yang sedang menyenduk masak lemak cili api ikan kembung ke dalam mangkuk mengukir senyum paksa. Dia tidak mahu ibunya bimbang memikirkan dirinya.

“Tak apalah, Mama. Zara dah biasa. Mama janganlah risau,” balas Zara sambil meletakkan mangkuk ke meja makan.

Puan Saidah yang sudah pun duduk di meja makan tersenyum. Sungguh, dia begitu menyayangi Zara. Zara adalah anak bongsunya hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Encik Jamaluddin. Kakak sulung Zara, Durrani bekerja sebagai seorang arkitek di Johor Bharu. Anak keduanya pula, Rasya bekerja di sebuah syarikat perabot dan menetap dengan mereka. Tempat kerja Rasya tidaklah begitu jauh dengan rumah. Jika jalan tidak sesak, Rasya akan sampai di pejabat dalam masa dua puluh minit dengan memandu kereta.

Antara ketiga-tiga anaknya, Zara agak berbeza daripada kakak-kakaknya. Kedua-dua kakaknya berkulit sederhana cerah dan memiliki wajah Melayu. Zara pula terarah kepada pan-Asian, mengikut bapanya. Encik Jamaluddin adalah kacukan Melayu dan British, jadi rupa pan-Asian itu turun kepada anak bongsu mereka.

Walaupun begitu, Zara selalu dikutuk dan diperkecilkan kerana dia tidak tahu bergaya dan mengenakan pakaian yang sesuai dengan dirinya. Keluarga itu begitu menyayangi Zara biarpun orang di sekeliling memanggil Zara sebagai alien dek kerana sikapnya yang tidak pandai bergaul. Apa yang pasti, mereka anak beranak kenal dengan diri sebenar Zara.

“Mama, Papa mana?” tanya Zara. Dia mengambil pinggan dari dalam kabinet lalu diletakkan ke meja.

“Ada dekat luar tu. Pergilah panggil Papa, ajak makan sama,” ujar Puan Saidah.

Zara mengangguk, lalu beg sandangnya yang berada di salah satu kerusi dicapai. Zara berlalu ke ruang tamu. Langkah kaki Zara dipandang sepi oleh Puan Saidah.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...