Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

10 Jun 2014

Cinta 8 Tingkat 1

Before anda semua scroll ke bawah untuk baca, read this synopsis dulu! :)



Keisha Hanna.. Hidupnya terasing, namun tidak pula dia mencari jalan keluar daripada keasingan itu. Dibiarkan dirinya terkurung di dalam sangkar emas ciptaannya sendiri. Saban hari, tugasnya sebagai seorang penulis serta pengarang langsung tidak membosankan. Adanya Izz Rayyan di depan mata membuatkan dia semakin bersemangat. Dia tidak pernah jemu memerhatikan lelaki itu.


Wan Muhammad Hazrill.. Si jiran yang sering menggelarkan Keisha Hanna sebagai Rapunzel. Biarpun dia jarang mendapat balasan daripada Rapunzel, dia tetap ingin menjadi putera yang bakal menyelamatkan Rapunzel daripada menara yang memisahkan sang puteri dengan dunia luar. Wan Hazrill dan teman-teman serumahnya Ammar Firdaus, Aizul Adami dan juga Syahmi sentiasa mencuba untuk mewarnai kehidupan Keisha Hanna biarpun seringkali mereka tidak diendahkan. 


Kehadiran Faliq Izham, Harith Hakim dan juga Amirul Zaffuan benar-benar menggugat kedudukan Wan Hazrill serta teman-temannya. Apatah lagi apabila tiga sahabat itu tinggal di sebelah kiri rumah yang diduduki Keisha Hanna. Rasa cemburu apabila jiran baru itu sering sahaja mencuri perhatian Keisha Hanna membuatkan Wan Hazrill dan rakan-rakannya sering bertikam lidah dengan mereka bertiga. Dan Keisha Hanna pula yang tersepit di tengah-tengah. 


Ibarat teh dengan kopi, kedua-dua rumah itu sering membaling bom ke arah masing-masing demi satu harapan, mendapatkan sekotak krim yang bakal menyempurnakan rasa secawan teh dan kopi. Hanya seorang pemenang sahaja yang akan mendapatkan krim itu.. Hanya seorang..







BAB 1


‘ADA kalanya kesepian yang mampu mengajar kita untuk lebih menghargai sesuatu. Namun, kesepian juga yang memisahkan seseorang itu dengan dunia. Tanpa mengetahui apa akhirnya, aku memilih untuk hidup dalam kesepian. Kesepian tidak mungkin mengkhianati seseorang.’ – K.


Komputer ribanya ditutup setelah luahan hatinya sudah disimpan di dalam folder rahsianya. Permukaan komputer riba itu digosok dengan jemarinya yang halus. Matanya melekat pada komputer riba yang sudah lama berkhidmat untuknya. Sejak zaman dia di universiti lagi dia sudah memiliki komputer itu. Itulah harta yang sangat disayanginya.


Keisha bangun dari duduknya sebelum meletakkan komputer ribanya ke meja. Dia berpeluk tubuh sambil berjalan mendekati beranda. Bola matanya bergerak-gerak, melihat ke arah langit biru yang dihiasi kepulan awan yang memutih.


Keisha Hanna.. hidupnya hanya di dalam sebuah apartment itu sahaja. Tiada rakan untuk diajak berbual, tiada keluarga menjadi tempat mengadu mahupun tempat meluahkan perasaan. Dia hidup sendiri di dunia ini. Dia lebih selesa begitu. Rasanya hidup terasing begini lebih selamat dan yang paling penting, dia tidak mengganggu sesiapa pun. Hidupnya adalah untuk dirinya.


Keisha bergerak ke belakang sedikit apabila terasa kakinya seolah-olah digeletek sesuatu. Dia tersenyum apabila Snowball kesayangan sedang menggesel-gesel tubuhnya ke kaki Keisha. Keisha membongkok sebelum mengangkat Snowball ke dalam dakapannya.


“Snow lapar ke?” soalnya apabila kucingnya itu mula mengiau.


Keisha ketawa kecil apabila Snowball menghidu-hidu baju yang dipakainya. Segera dia berjalan masuk ke dalam rumah dan meletakkan Snowball ke lantai. Kemudian, makanan Snowball dituang ke dalam bekas makanan Snowball. Sempat bulu gebu Snowball diusap perlahan.


“Makan banyak-banyak, tahu?”


Keisha kembali ke beranda. Anak matanya berhenti pada sesusuk tubuh yang berada di apartment bertentangan dengan miliknya. Lelaki itu sentiasa kemas dengan kemeja yang dilipat sehingga ke paras siku. Itulah satu-satunya manusia yang dia ingin kenali, Izz Rayyan. Namun dia sedar, impiannya itu tidak ubah seperti pungguk rindukan bulan. Dia tidak akan mampu mendekati Izz Rayyan tidak kira betapa dia ingin mengenali lelaki itu.


Dua tahun. Dua tahun adalah tempoh yang lama bagi Keisha. Dua tahun itu adalah tempoh dia sudah mengenali Izz Rayyan. Selepas terpandangkan Izz Rayyan yang tinggal berhadapan dengan rumahnya, Keisha sudah jatuh hati. Tanpa diduga, Izz adalah doktor haiwan tempat dia selalu menghantar Snowball untuk mendapatkan vaccination. Dan sejak itu, dia sering memerhatikan Izz Rayyan. Tetapi dia tahu Izz Rayyan langsung tidak mengenalinya. Walaupun begitu, bagi Keisha, ini semua merupakan satu kebetulan yang sungguh indah.





Bunyi deringan telefon bimbitnya mematikan lamunan Keisha. Dia masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan telefonnya. Memandangkan Izz Rayyan sudah keluar ke beranda, Keisha berdiri di tepi tingkap sambil mencuri-curi pandang ke arah Izz Rayyan. Dia memerhatikan Izz Rayyan dari sebalik langsir.


“Waalaikumussalam. Ya, Nek.”


“Keisha dah lama tak datang rumah Nenek. Keisha tak sihat ke?” soal seseorang di hujung talian.


Keisha menggaru kepala. Alasan apa lagi yang ingin diberi kepada Dato’ Maryam? Sudah banyak kali dia menolak untuk berjumpa dengan keluarga Dato’ Maryam. Tumpuan Keisha masih lagi terarah pada Izz Rayyan yang sedang berdiri bercekak pinggang. Kacaknya dia.


“Keisha sihat, Nek. Cuma.. Keisha busy. Err.. Keisha kena siapkan buku Keisha dulu, Nek. Company dah tanya dah tu. Sebab dah lama Keisha tak publish apa-apa buku,” balas Keisha, cuba menghindar daripada keluar rumah. Sebenarnya memang benar syarikat penerbitannya sudah bertanya akan karya terbarunya.


“Oh.. Nenek ingat ada apa-apa jadi pada Keisha tadi. Kalau Keisha ada masa, datanglah ke rumah Nenek. Dah lama sangat Keisha tak datang sini. Auntie Lina, Auntie Ima, Sufyan, Uncle Norman semua tanyakan Keisha. Kalau Keisha tak datang sini lepas buku Keisha siap, Nenek yang datang sana,” ujar Dato’ Maryam.


Keisha menggaru-garu kepalanya.


“Okey, Nek. Kalau Keisha dah siapkan buku tu, Keisha janji Keisha datang sana,” putus Keisha.


“Keisha jaga diri baik-baik. Kalau ada apa-apa, cepat-cepat call Nenek, ya?”


“Baik, Nek,” balas Keisha.


Talian sudah dimatikan. Itulah Dato’ Mariam. Seseorang yang sudah menganggapnya sebagai cucu sendiri biarpun tiada talian darah di antara mereka. Budi baik Dato’ Mariam sungguh dia tidak akan lupakan sepanjang hayatnya.


Keisha keluar ke beranda apabila menyedari Izz Rayyan sudah tiada. Keluhan dilepaskan apabila menyedari Izz Rayyan sudah kembali ke klinik. Ya, lampu rumahnya akan dipadamkan setiap kali dia tiada di rumah. Keisha kembali merenung langit. Alangkah indahnya cuaca hari ini, getusnya sendirian.





IZZ RAYYAN menolak daun pintu apabila menyedari dia terlupa membawa kunci keretanya. Salahnya juga apabila meninggalkan kunci itu di atas mejanya tadi. Setelah mendapatkan kuncinya, Izz Rayyan segera berpaling.


Baru sahaja beberapa langkah diatur, dia menoleh. Anak matanya menyorot bayangan seorang gadis yang sedang berdiri di beranda, di sebuah rumah yang betul-betul menghadap rumahnya.


Gadis itu sibuk dengan pokok-pokok bunganya. Daun-daun pokok ditilik sebelum air disiram ke permukaan tanah dalam pasu.


Izz Rayyan tersenyum sendiri. Tidak disangka ada juga sekuntum bunga yang mekar berdekatan dengan rumahnya. Tanpa disedari, dia kaku di hadapan kaca tingkap rumahnya.





KEISHA masuk ke dalam rumah sebelum duduk kembali di meja kerjanya. Hidupnya adalah untuk kerja, kerja dan kerja. Workaholic? Mungkin juga. Dia lebih senang begitu. Dengan hanya duduk di rumah dan menaip, itu sudah lebih daripada memadai bagi Keisha. Dia tidak suka berada di luar rumah. Duduk di dalam rumahnya sekarang ini lebih seronok baginya. Dia tidak perlu memikirkan apa-apa mahupun sesiapa.


Tiga helai kertas diambil dari printer. Jurnal yang baru sahaja disiapkannya. Maldives. Sebuah pulau yang terletak di Lautan Hindi. Pulau yang dia langsung tidak pernah sampai, namun dia mampu menyiapkan jurnal berkaitan dengan pulau itu. Tempat-tempat untuk dikunjungi ketika berada di sana juga turut disertakan. Dek kerana keinginannya yang ingin melancong terlalu kuat, dia mengambil tahu akan tempat tempat yang ingin dikunjunginya. Namun, apartment yang didudukinya sekarang ini seolah-olah penjara yang menjarakkan dia dengan dunia luar. Penjara yang diciptanya sendiri.


Andai saja suatu hari nanti dia mampu menyentuh sendiri pasir pantai di pulau itu mahupun merasai oksigen di situ. Keisha tersenyum. Mana mungkin dia akan sampai ke sana. Dirinya ibarat burung yang terkurung di dalam sangkar. Tidak tahu ke mana dia harus terbang, mencari jalan keluar daripada sangkar itu.


Jurnal tentang Pulau Maldives itu dimasukkan ke dalam sampul surat bersaiz A3. Sebatang pen dicapai. Setelah dia selesai menulis alamat sampul surat itu untuk dihantar, dia bersiap-siap ingin ke pejabat pos.


Keisha bukan sahaja penulis novel, malah dia juga seorang editor dan turut menulis artikel-artikel untuk media cetak tempatan. Sekiranya dia hanya menulis novel tanpa melakukan kerja-kerja lain, bagaimana dia ingin meneruskan hidup? Jadi, dia memilih untuk menerima tawaran menjadi pengarang oleh syarikat-syarikat penerbitan. Maka, bayaran yang diterimanya saban bulan lebih daripada cukup untuk menampung perbelanjaan bulanannya.


Keisha mencapai sampul surat sebelum mengambil kunci rumahnya.

27 Mei 2014

Kau Irama Di Jiwaku [11]

ADLI SYAFIQ mula dihujani dengan rasa rindu terhadap Adriana. Rindukah dia? Setiap hari, itulah rutin hariannya. Rindukan Adriana sendirian. Adakah Adriana juga rindukan dia? Adli berbaring di sofa panjang di ruang tamu rumahnya. Deringan telefon bimbitnya membuatkan dia bingkas bangun. Adriana?

“Assalamualaikum..” kedengaran suara Adriana di hujung talian.

“Waalaikumussalam,” jawab Adli.

“Kau ada kat mana tu? Tengah buat apa?” soal Adriana.

“Aku kat rumahlah. Hari ni takde rehearsal, practice. Esok malam baru ada performance. Kau nak datang?”

“Kat rumah? Bagus la tu. Kejap lagi aku nak datang rumah kau, nak jumpa mak kau. Lama dah tak berborak dengan mak kau. Ibu aku ikut sekali.”

“Oh.. mak aku ada je kat rumah ni. Datanglah. Takde siapa pun kat rumah. Ada aku, Syahmi dengan mak aku je. Abang aku dengan kakak ipar aku bawak anak diorang jalan-jalan. Bercuti kat Sabah pulak,” tutur Adli ramah.

“Kau dah makan ke?” tanya Adriana tiba-tiba.

“Makan? Dah la. Ni dah masuk pukul tiga dah,” jawab Adli ketawa.

“ Aku ada buat rainbow cake kesukaan kau. Kejap lagi aku datang, aku bawak sekali. Pesan kat mak cik, tak payah siap apa-apa. Ibu aku pun ada buat karipap. Okay la Adli! Assalamualaikum.”

Talian terus diputuskan setelah Adli menjawab salam Adriana. Kek pelangi? Adli tersenyum. 

Adriana masih ingat akan kek kesukaannya. Nampaknya Adriana tidak lupa akan dirinya. Adakah Adriana masih ingat akan kek red velvet yang juga kesukaan Adli? Adli bangun dan menuju ke dapur.

“Mak, Yana dengan ibu dia nak datang. Yana pesan, tak payah susah-susah nak hidang apa-apa. Sebab dia nak bawak kek, ibu dia pulak bawak karipap. Rasanya mak kena buat air jela kot,” sapa Adli sambil duduk di kerusi meja makan. Ibunya berada di luar rumah. Menanam anak mangga yang sudah setinggi lutut pemberian adiknya.

“Yeke? Bila diorang nak datang?” tanya Puan Halimah langsung tidak menoleh ke arah anak keduanya itu. Dia sibuk dengan pasu-pasunya.

“Kejap lagi, sampailah kot,” Adli menyuap pisang goreng ke mulut. “Mak, sambal kicap takde ke nak makan dengan pisang goreng ni?”

“Ada. Tapi Syahmi dah habiskan tadi.” Puan Halimah masuk ke dalam rumah. Sempat dia tersenyum ke arah Adli. Sarung tangan getahnya ditanggalkan da diletakkan ke meja kecil yang terdapat di tepi pintu.

Adli mengangguk, “Adli naik dulu, mak!”

Adli berlari-lari kecil menaiki anak tangga. Puan Halimah cuma menggeleng. Dia mengelap meja dan berlalu ke sinki. Diambilnya cerek elektrik dan dia mula menjerang air.



“Syahmi, kau buat apa?” Adli duduk di katilnya.

“Aku tengah buat homework, tak nampak?” jawab Syahmi kasar sambil matanya tetap terarah pada buku Matematik Tambahan.

“Kejap lagi Kak Yana kau nak datang.” Adli mencapai gitar kesayangannya, memetik tali-tali gitar itu.

Syahmi terus berhenti menulis. 

“Yeke? Aku nak mintak dia ajar Add Math la,” Syahmi berasa gembira mendegar khabar yang dibawa abangnya.

“Aku ada, kau tak nak tanya pun.”

“Kau lain sikit. Major kau medic, Kak Yana engineering. Dia mesti terror daripada kau,” gurau Syahmi.

“Mana boleh samakan tahap IQ dengan orang yang lain bidang dengan kita,” bantah Adli geram.

“Aku rasakan, kau dengan Kak Yana dah tertukar kos. Sepatutnya dia yang ambil medic, kau ambil engineering. Tak pelik ke?” Syahmi bersuara setelah tawanya reda. Dia gembira melihat Adli marah.

“Laa.. apa nak pelik? Kau tengok jela sekarang, nurse pun dah ramai lelaki. Makeup artist, lelaki jugak yang ramai. Fashion designer. Perempuan pulak, ramai yang nak jadi army, pilot, engineer. Biasalah tu. Kau dah fikir nak ambil kos apa after SPM ni?”

“Aku pun belum fikir lagi fasal tu. Tak tahulah nak ambil kos apa. Aku rasa macam nak ambil lawyer. Tapi minat medic dengan sains.”

“Kalau nak ambil lawyer, baik ambil kelas sastera dulu. Apalahhh.. ni ambil pure science pulak,” bebel Adli.

“Kalau result SPM aku awesome macam kau dulu, bolehlah aku apply medic. Sebelah kiri macam nak engineering, kanan pulak nak medic.”

“Kau buat la istikharah nanti. Suka hati engkaulah nak pilih apa. Kat rumah ni dah ada bakal doktor, ada cikgu and ada engineer. Mana-mana yang kau pilih pun, okay.”

Suara Puan Halimah yang memanggil nama mereka berdua menghentikan perbualan mereka.

“Kak Yana dah sampai kot,” ujar Syahmi. Buku Matematik Tambahannya ditutup dan dia mendahului abangnya untuk turun ke bawah. 

Adli meletakkan gitar ke atas katil. Dia ikut bangun dan mengekori langkah Syahmi. Kelihatan Adriana dan Datin Maznah sudah berada di ruang tamu. Mereka bersalaman.

“Dah lama ke mak cik sampai?” tanya Adli.

“Tak adalah lama sangat. Baru je,” Adriana pula yang menjawab bagi pihak ibunya.

“Aikkk? Sejak bila kau jadi mak cik ni?” tanya Adli.

Adriana tergelak kecil. Kalau gelak kuat-kuat nanti, habislah jatuh saham.

“Jomlah duduk luar. Makan dekat luar. Ni mak kau punya kek,” Adriana bangun. 

Adli dan Syahmi turut mengikuti langkah Adriana.

Adriana ke dapur dan memotong kek pelangi yang berbentuk empat segi itu. Syahmi terlebih dahulu menunggu di luar rumah.

“Besarnya kek!” Adli tersengih.

“Kan kau suka kek ni, mesti la aku buat lebih. Lain kali aku buat red velvet pulak,” jawab Adriana. Tangannya masih ligat memotong kek tersebut.

Nampaknya Adriana benar-benar ingat tentang kesukaan Adli. Adli tersenyum bangga.

“Adli, tolong bawak dulang air ni boleh tak? Tak cukup tanganlah,” suara Adriana membuatkan Adli tersedar.

Lekas-lekas dia membantu Adriana. Dibawanya milo sejuk yang berais itu keluar. Adriana berjalan seiringan dengan Adli. Adriana meletakkan pinggan yang berisi kek itu ke meja, dan dia berjalan menuju ke keretanya. Syahmi menuruti langkah Adriana. Adli hanya memerhati.

“Akak nak ambil apa?”

“Akak baru balik dari rumah kawan akak. Parents dia bekalkan ni semua.”

Adriana mengeluarkan dua plastik besar dari dalam boot kereta ibunya. Syahmi turut membantu Adriana. Mereka membawa beg-beg plastik itu kepada Adli.

“Ada rambutanlah!” jerit Syahmi gembira. Laju sahaja dia membuka kulit rambutan itu.

“Hanis bagi ke ni?” Adli membuka kulit manggis yang sudah masak ranum itu.

“Ha’ah. Seronok gila kampung dia. Aku sendiri yang petik ni semua tau.”

Adriana memasukkan sepotong kek ke dalam pinggan. Pinggan itu disuakan kepada Adli. Syahmi pula masih sibuk dengan rambutan dan manggis. Sepotong kek dimasukkan ke dalam mulut.

“Sedapnyaaaa!” Adli memuji kek Adriana.

Adriana tersenyum bangga.

“Aku tahu,” jawab Adriana dalam tawa.

Adli dan Syahmi mencebik serentak. Wajah kedua beradik itu membuat tawa Adriana semakin kuat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...