Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

22 Mac 2015

Hadirnya Cinta Terindah 7

ZARA duduk berteleku di mejanya. Tiba-tiba sahaja pensyarah Programmingnya, Encik Rahimi ingin membuat kuiz secara mengejut. Kesemua pelajar yang menghadiri kelasnya mati kutu. Sempat juga mereka menelaah sebelum masuknya Encik Rahimi. Ada juga yang mencipta nota kecil yang dipanggil ‘toyol’ di kalangan mereka. Apabila tiada yang melihat, nota itu akan dikeluarkan. Kalau nota dan soalan kena, memang mereka bernasib baik. Jika tidak, mereka akan bertukar-tukar giliran untuk menyalin jawapan daripada nota itu.

Mereka semua kenal dengan pensyarah yang bernama Encik Rahimi itu. Tidak pernah kertas soalan yang diberikan kepada pelajar-pelajarnya mengandungi soalan yang mudah. Walaupun kuiz, pelajar-pelajarnya harus berhempas pulas menjawab soalan-soalan yang diberikan. Dalam menanda kertas jawapan juga, tiada belas kasihan untuk mereka.

Zara hanya memerhatikan pasangan yang sedang duduk di hadapannya. Afrina dan Danish. Sejak di semester satu lagi, Afrina dan Danish sudah bercinta. Satu kolej tahu akan hal itu. Beruntung Afrina kerana memiliki lelaki sebaik Danish. Zara mula merasa rendah diri. Sebagai seorang remaja yang normal, dia juga mengharapkan agar dia dapat merasai saat cinta monyet. Tetapi, sekali pun dia tidak pernah merasakannya.

Bunyi bising dari pintu masuk di sebelah kiri dan kanan belakang dewan mengganggu menungan Zara. Tetapi dia langsung tidak ambil peduli. Dia hanya leka merenung jari jemarinya sendiri. Zara tidak menelaah buku mahupun menyediakan nota. Dia sudah pun mengulangkaji modul Programming itu malam semalam. Zara tidak akan mengulangkaji apabila masa singkat sebelum ujian atau pun peperiksaan dijalankan. Itu sudah menjadi prinsipnya.

Ketukan pada mejanya membuatkan Zara mendongak. Terukir senyuman di bibir lelaki yang sedang berdiri melepasi mejanya. Sebuah kerusi yang sebaris dengan Zara didudukinya bersama dengan seorang teman. Tanpa sedar, Zara turut membalas senyuman itu.

Ya Allah. Zara, kau dekat kolej. Kalau dekat kolej, kau kena jadi Zara yang sombong, fikir Zara dalam hati. Segera senyumannya dimatikan. Matanya juga merenung ke arah lain.

“Assalamualaikum, selamat sejahtera pelajar semua,” suara Encik Rahimi membuatkan seluruh dewan kuliah itu sunyi sepi.

“Sekarang ni, saya gabungkan dua kelas sebab lecturer senior awak ni, Encik Adnan tak ada dekat sini, dia ada hal, jadi saya akan jalankan kuiz untuk dua kelas sekali,” jelas Encik Adnan.

Pelajar-pelajar semester dua yang kehairanan mula mengangguk tanda faham. Cuma Zara sahaja yang kaku seperti patung cendana. Hanya matanya sahaja berkelip menunggu kertas soalan diedarkan. Encik Rahimi menghulurkan kertas soalan kepada pelajar-pelajar yang duduk di barisan paling depan untuk mengedarkan kertas-kertas soalan itu kebelakang. Setelah semua pelajar mendapat kertas soalan masing-masing, kuiz yang dijalankan selama setengah jam bermula.



“RIMASLAH! Hari tu cakap tak nak kacau saya lagi, kan? Lupa ke?” marah Zara sambil memeluk modul Baikpulihnya. Jalannya diatur laju, menuju ke kafe.

Zarif tersenyum mendengar rungutan Zara. Ya, dia masih ingat. Dia pernah menuturkan ayat itu kepada Zara. Tetapi sengaja ingatan itu diusir jauh-jauh. Manalah tahu kalau-kalau dia mampu mendekati Zara. Mungkin hatinya lebih suci daripada mana-mana manusia yang pernah dikenali Zarif.

“Saya tak ingat pun. Bila masa saya cakap macam tu?” soal Zarif, cuba menyembunyikan senyum.

Zara mencebik.

“Kesian. Muda-muda lagi dah menghidap alzheimer,” sindir Zara.

Melambak tawa Zarif mendengar rungutan dan kutukan terhadap dirinya. Pedas juga lidah Zara ni!

That’s why I wanted to be your friend sejak first time saya nampak awak dalam kelas saya. I need you to remind me when did I said that I don’t want to bother you,” ujar Zarif.

Zara mematikan langkah. Keningnya hampir bertaut mendengar gurauan Zarif. Semua orang ingin menjauhi Zara, tetapi tidak lelaki ini. Mengapa ya? Matanya merenung ke arah lelaki yang sudah beberapa langkah di hadapannya. Kedua-dua belah tangannya menyeluk poket seluar.

Zara kembali ke alam nyata apabila merasakan ada sesuatu yang menyentuh dahi di antara sepasang kening miliknya. Rupanya Zarif meletakkan pen pada dahinya. Segera pen itu ditepisnya. Matanya membulat merenung ke arah Zarif.

“Janganlah marah. Saya nak elak daripada kening awak tu bersambung. Pelik sangat ke saya ni?” tanya Zarif. Ada ketawa yang mengakhiri kata-katanya.

Zara terus berjalan meninggalkan Zarif. Zarif pula mengejar Zara, menyaingi langkah panjang gadis itu. Malas Zara hendak melayan Zarif. Macam orang tak cukup umur pun ada!

Dari jauh kelihatan Azeem sedang berjalan dari arah bertentangan. Degupan jantung yang dulunya milik lelaki yang sedang berjalan menghampirinya itu, kini tidak lagi seperti dulu. Jantung Zara berdegup dengan normal, tidak lagi berdegup kencang seperti selalunya. Jarak mereka semakin dekat, dekat dan dekat. Tanpa diduga, Zara terus berjalan melepasi lelaki itu. Tidak seperti selalunya. Biasanya Zara akan berhenti apabila melihat lelaki itu. Tetapi, tidak lagi kini. Dalam diam, Zara lega kerana dia sudah berjaya mengawal perasaannya.



AZEEM memakukan langkahnya. Tubuhnya juga dipusingkan menghadap dua orang insan yang baru sahaja lalu di sebelahnya. Terukir senyuman di bibir si lelaki apabila melihat ke arah si gadis. Dan si gadis pula seperti biasa, masih dingin membeku.

Azeem mengeluh. Sejak peristiwa itu, Zara langsung tidak mahu menegurnya. Malah, bertentang mata pun langsung tidak. Ingin sekali dia ingin bertegur sapa dengan Zara. Tetapi, sebagai seorang lelaki, dia tidak akan mudah mengalah. Dia tahu, pasti Zara akan menegurnya semula. Tetapi mungkin bukan sekarang. Biarlah hati Zara sejuk dahulu.

“Awak!”

Azeem merenung wajah insan yang berada di hadapannya. Dahulu, gadis ini yang dimahukannya. Sehingga sanggup dia membuat persembahan secara langsung untuk memenangi hati Sabrina. Namun, hari ini dia merasakan kekosongan dalam hatinya. Adakah dia sudah jemu dengan Sabrina?

“Awak, kenapa?”

Azeem tersenyum mendengar soalan Sabrina. Segera dia berjalan mendekati Sabrina. Tetapi, fikirannya masih terarah pada Zara.



RYAN tersenyum mengejek melihat Zarif yang tidak henti-henti mendekati Zara. Walaupun dihalau sepuluh kali, lelaki itu masih berkeras untuk mendekatinya.

“Ryan, kau apahal senyum sorang-sorang? Gila ke?” pertanyaan Nazril itu membuatkan senyum Ryan pudar.

“Saja. Kenapa? Tak boleh?” soal Ryan kembali.

Nazril menggeleng-gelengkan kepala. Sudahlah Ryan. Jika benar suka, janganlah disakitkan hati Zara. Apa yang membuatkan dia ingin mengganggu hidup Zara? Sepatutnya, kalau dah suka, Ryan sebagai lelaki haruslah mempertahankan Zara. Bukannya menyakitkan hati Zara.

“Yang kau pulak menung ni kenapa?”

Nazril menjungkit kening ke arah Ryan. Malas dia mahu berdebat dengan Ryan. Karang kalau Ryan tahu apa yang sedang difikirkannya, masak. Buku Matematik Kejuruteraannya kembali ditatap, bagi mengelakkan Ryan terus bertanya.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...