Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

27 Ogos 2013

Di Sampingmu [4]

“JEALOUSNYA aku dengan si Sara tu! Dalam banyak-banyak student, Sara jugak yang dia pilih,” ujar Syakilla, mengetap gigi.

Kelihatan Adelia Qaisara, Hannah, Annur dan Nadhira sedang duduk semeja dengan Hadrami serta rakan-rakannya. Mereka berbual, sambil diselang-selikan dengan gelak ketawa. Zuhair tunduk dan meneruskan kerjanya yang tertangguh. Hatinya sakit.

“Betul apa kau cakap tu, Killa. Menyampah betullah,” tokok Natasha. Dia menjeling-jeling kelompok yang sedang rancak berbual itu.

“Apalah korang ni. Biarlah dia. Semua korang nak kacau. Aku tak nampak pun dia kacau korang,” Faizal yang tekun menulis mula menyampuk. Sakit telinganya mendengar kritikan demi kritikan tentang Adelia Qaisara. Walhal Adelia Qaisara langsung tidak mengganggu mereka. Mahu bercakap pun susah, inikan pula membuat mereka sakit hati.

Syakilla, Maria dan Natasha menjuih bibir.

“Kau cakap senanglah. Bukan kitorang je yang menyampah dengan dia. Semua orang pun sama. Tiba-tiba je rapat dengan si Hadrami tu. Puaslah orang lain cuba dekat-dekat dengan dia, langsung dia tak layan. Tup tup.. rapat dengan Sara. Sakit mata aku!” Maria menyimbah minyak ke api yang sudah pun marak.

“Mesti kau maksudkan diri kau sendiri, kan? Lagi kau cuba interfere, lagilah lelaki tak suka. Berhenti jelah,” celah Shafiz.

“Yang korang nak back up dia sangat tu kenapa?!” suara Syakilla sudah mula tinggi.

Semua yang berada di situ mengerling ke meja mereka, termasuklah Adelia Qaisara dan rakan-rakannya. Mereka kembali meneruskan perbualan setelah beberapa ketika.

“Bukan back up. Diorang cakap benda betul. Aku kawan korang, tapi pedih telinga aku dengar korang cakap benda bukan-bukan,” Azmin meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Dahlah! Jom Ria, Sha!” Syakilla bangun, meninggalkan meja tu.

“Hoii! Relakslah! Yang nak marah-marah sangat tu apasal?” Faizal melaung, memanggil mereka. Namun, sedikit pun tidak dihiraukan. Dia berpaling, memandang ke arah meja yang diduduki Adelia Qaisara.

“Kenapa dengan kawan awak tu?” tanya Hadrami, matanya mengikut langkah tiga sekawan itu.

Adelia Qaisara mengangkat bahu. Dia sudah dapat mengagak apa yang berlaku. Dia tunduk.

“Hmm.. nanti petang ni, lepas solat Jumaat, saya hantar awak ke terminal. Okay?” Hadrami yang dapat menebak apa yang terbuku di gadis itu mula menukar arah perbualan mereka. Wajah yang tadinya sedikit keruh kembali tersenyum.

“Tak payahlah. Saya boleh naik teksi je. Tak nak la menyusahkan awak,” jawab Adelia Qaisara, dengan senyuman.

“Sara ni malu. Hantar je, Hadif,” celah Hannah, tergelak. Wajah Adelia Qaisara yang sudah kemerah-merahan itu ditenung dengan sengihan. Laju sahaja tangan Adelia Qaisara singgah di lengan Hannah.

“Tak, tak apa. Saya boleh balik sendiri,” Adelia Qaisara menatap wajah lelaki yang tua dua tahun daripadanya itu.

“Alaa.. saya ikhlas. Lagi pun Hannah, Nadhira dengan Annur pun nak balik jugak. Boleh saya hantar. Saya memang nak balik minggu ni. Lagi bagus kalau awak balik dengan saya,” ujar Hadif tersengih. Bibirnya mengulum senyum.

“Eh.. saya dah beli tiket,” balas Adelia Qaisara. Balik berdua? Biar betul?

“Saya gurau jelah. Kelakarlah awak ni,” Hadrami tergelak.

Adelia Qaisara mengecilkan sedikit biji matanya. Dia ikut tersenyum.

HON kereta yang menjerit-jerit membuatkan Adelia Qaisara berlari-lari anak menuju keluar. Dia hanya membawa beg tangan dan beg sandang sahaja. Annur dan Nadhirah masih berada di dalam. Hannah yang sudah siap duduk di dalam rumah, menunggu Annur dan Nadhira.

“Sekejap, ye? Kawan-kawan saya tengah bersiap,” sapa Adelia Qaisara setelah dia sampai ke Toyota Vios milik Hadrami. Hadrami membuka kaca mata hitamnya.

“Tak apa. Bas awak pukul berapa?” tanya Hadrami lembut.

“Pukul tiga. Kawan-kawan pukul tiga setengah,” jawab Adelia Qaisara. Dia nampak cantik dengan tudung bawalnya yang berwarna ungu gelap.

“Masuklah. Tak panas ke?” Hadrami menatap wajah gadis itu yang sudah merah dibakar mentari.

“Tak apalah. Tak manis pulak. Nanti apa jiran-jiran kata. Saya tunggu kawan-kawan saya,” Adelia Qaisara tersenyum.

Hadrami mengangguk.

“Balik nanti siapa jemput awak? Kawan-kawan semua sama terminal dengan awak, kan?”

“Abah saya ambil nanti. Awak janganlah risau,” Adelia Qaisara tersenyum.

“Ha’ah. Sekali. Tempat je lain-lain.”

Beberapa saat kemudian, kelihatan ketiga-tiga gadis itu keluar. Annur mengunci pintu rumah.

“Sorry lambat,” Annur bersuara setelah memboloskan diri ke dalam Toyota Vios kepunyaan Hadrami.

“It’s okay,” jawab Hadrami sambil tersengih. Enjin keretanya berderum meninggalkan kawasan perumahan itu.



“ASSALAMUALAIKUM, abah, Pak Hassan!” sapa Adelia Qaisara gembira. Tangan bapanya disalam penuh hormat. Begitu juga dengan pemandu keluarganya, Pak Hassan.

“Kurusnya anak abah ni!” tegur Tan Sri Salleh setelah menjawab salam anaknya yang satu itu.

Adelia Qaisara tersengih. Dia memboloskan diri ke dalam kereta. Begitu juga dengan bapanya dan Pak Hassan. Mercedes Benz S-Class yang berwarna hitam itu bergerak meninggalkan kawasan terminal itu.

Tanpa disedari, Zuhair juga turut berada di situ. Terkejut melihat Adelia Qaisara yang baru sahaja menaiki kereta mewah itu. Dia berjalan perlahan menuju ke kawasan menunggu bas. Dia termangu-mangu. Memikirkan kemungkinan yang berlaku. Tadi, dia mendengar Adelia Qaisara memanggil lelaki yang berusia dalam lingkungan separuh abad itu dengan panggilan ‘abah’. Bermakna itu bapanya. Tetapi menurut Adelia Qaisara, ibu dan bapanya sudah meninggal dunia. Zuhair mengeluh. Adakah peluang untuknya lagi?



“MAK!!” jerit Adelia Qaisara sebaik sahaja kakinya menjejaki kawasan dalam rumah itu. Dia berlari ke dapur. Ibunya ada di situ. Tubuh ibunya didakap erat. “Rindunya Sara kat mak. Mak sihat?”

“Emak sihatlah. Anak mak? Dah makan?” soal Puan Sri Fatimah setelah pelukan dileraikan.

“Sihat jugak. Tengah hari tadi je makan. Lapar ni. Abah cakap Emak dah masak, sebab tu Abah tak singgah mana-mana,” jawab anak daranya itu.

“Ha’ah, Imah. Awak pesan suruh bawak anak awak ni balik terus. Tu yang saya bawak dia balik tu,” ujar Tan Sri Salleh. Beg plastik yang berisi buah tembikai dan mangga diletakkan ke meja makan. “Ni, saya beli sebelum jemput Qaisara tadi.”

Mak Jah mencapai beg plastik dan diletakkan ke kabinet. Adelia Qaisara bersalam dengan Mak Jah.

“Hari ni siapa masak? Mak ke Mak Jah?” soal Adelia Qaisara senang.

“Hari ni Mak Sara yang masak. Tak dibaginya Mak Jah sentuh apa pun tadi,” sambut Mak Jah tersenyum. Senang hatinya melihat Adelia Qaisara sudah pulang. Pasti rumah ini tidak sunyi seperti hari-hari sebelumnya. Adelia Qaisara dan Puan Sri Fatimah turut sama tesenyum.
 
“Qaisara, pergi solat dulu. Lepas solat kita makan,” tegur bapanya.

Adelia Qaisara mengangguk. Kakinya dihayun menuju ke tingkat atas. Pintu biliknya dibuka. Biliknya masih seperti biasa. Cuma cadarnya sudah bertukar rupa. Kali terakhir dia pulang, cadarnya berwarna putih dan berbunga-bunga kecil berwarna merah jambu. Kini, sudah bertukar ke warna merah hati bercorak hitam dan putih. Begnya diletakkan ke katil. Sungguh dia rindu akan keluarganya.

Dia berjalan ke bilik air. Tuala kecil yang tergantung di bidai yang berada di sebelah bilik air dicapai.

Usai sahaja menunaikan solat, Adelia Qaisara turun ke tingkat bawah. Dia terhenti di pintu. Telefon bimbitnya diambil dari dalam beg tangannya. Ada pesanan ringkas dan panggilan tidak dijawab. Dia tersenyum. Laju sahaja dia menekan-nekan punat di badan telefon bimbitnya.

“Sedapnya bau. Laparnya Sara!” Adelia Qaisara duduk bertentangan dengan ibunya. Ibu dan bapanya sudah menunggu. “Mak, tak ajak Pak Hassan dengan Mak Jah ke?”

“Dah. Kejap lagi adalah tu,” jawab ibunya. Adelia Qaisara tidak pernah melupakan Pak Hassan dan Mak Jah.

Mereka mula makan setelah Pak Hassan dan Mak Jah mengambil tempat masing-masing.

Di Sampingmu [3]

“ABANG, minggu depan Qaisara balik. Tak sabar rasanya nak jumpa anak kita tu, bang,” ujar Puan Sri Fatimah. Dulang yang berisi teh dan sedikit kuih diletakkan ke meja.

“Berapa lama Qaisara cuti? Abang pun tak sabar jugak. Lama tak jumpa dia. Awak ada telefon dia?”

“Dia cuti empat hari je. Ada. Semalam saya ada telefon dia. Saya tanya, nak kita ambil dia ke tak? Katanya, tak payah. Dia naik bas je. Tiket dah beli. Dia nak abang ambil dia dekat Jalan Duta,” jawab Puan Sri Fatimah.

Tan Sri Salleh mengangguk. Cawan yang berisi the panas diangkat, lalu disuakan ke mulut. Perlahan-lahan teh itu masuk melalui kerongkongnya. Dia tahu benar akan sikap anak saudaranya itu. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa.

“Abang jangan lupa pulak jemput Qaisara. Nanti, merajuk pulak budak tu,” tokok Puan Sri Fatimah.

“Yalah. Takkanlah lupa. Anak sorang je,” gurau Tan Sri Salleh. Cawan diletakkan kembali ke meja. Buku mengenai peniagaan ditangannya kembali ditatap.

“Haa.. abang ingat tak Datin Hafizah kata nak balik ke sini?”

“Ingat. Kenapa?”

“Katanya nak datang melawat Teratak An-Nur. Nak bagi sumbangan sikit. Tapi tak tahulah bila,” terang Puan Sri Fatimah.

Buku yang berada di tangan diletakkan ke meja. Tan Sri Salleh membetulkan cermin matanya.

“Eh, baguslah! Dah lama abang tak jumpa diorang sekeluarga. Bila Datuk Hisyam balik ke semenanjung?” tanya Tan Sri Salleh.

“Entahlah, bang. Saya pun, si Hanis yang telefon saya petang tadi. Dia yang bagitahu pasal Datin Hafizah. Hanis cakap, dia cari saya. Tapi memandangkan saya tak ada, dia mintak Hanislah yang sampaikan,” jelas Puan Sri Fatimah.

“Kalau dia telefon lagi, bagitahu dia, suruh dia sekeluarga datang rumah kita. Abang teringin sangat nak berbual dengan Dato’ Hisyam. Lama betul tak jumpa dia. Dalam sepuluh tahun, ye tak?” Tan Sri Salleh seolah-olah berminat untuk bercerita mengenai rakan perniagaannya puluhan tahun lalu.

Ahmad Hisyam Lee ataupun nama asalnya Lee Byung Hun merupakan seorang lelaki berbangsa Korea, tetapi menatap di Malaysia. Di awal perkenalan Dato’ Hisyam Lee dan Tan Sri Salleh, Dato’ Hisyam masih menggunakan nama asalnya, Lee Byung Hun. Masa itu, dia masih belum memeluk agama Islam. Mereka pada ketika itu hanya berusia awal dua puluhan. Mereka berjumpa ketika Tan Sri Salleh mengikuti arwah bapanya ke Korea, kerana ada urusan syarikat. Disebabkan Tan Sri Salleh merupakan anak yang patuh pada arahan ibu bapa, dia akhirnya mengikut jejak langkah bapanya. Di sana, dia diperkenalkan dengan ramai usahawan dari Korea dan Jepun. Bapanya merupakan kawan baik kepada bapa Lee Byung Hun.

Dan melalui perjumpaan itu, sebuah persahabatan terbina kukuh. Setelah bapa Tan Sri Salleh meninggal dunia, Lee Byung Hun terbang ke Malaysia semata-mata ingin memberi semangat buat sahabatnya itu. Sejak itu, Lee Byung Hun tertarik dengan cara hidup Tan Sri Salleh yang bersederhana. Sepanjang lebih sebulan tinggal di rumah Tan Sri Salleh, Tan Sri Salleh banyak menghabiskan masa di pejabat dan masjid. Di waktu petang, dia suka keluar bersenam. Kadang-kadang dia akan bermain bola bersama rakan-rakannya. Sewaktu pulang ke Korea, hati Lee Byung Hun sentiasa resah. Demi mengubat keresahan itu, dia kembali bertemu dengan Tan Sri Salleh. Akhirnya dia memeluk agama Islam dan syarikat serta cawangannya dibuka di merata tempat, namun dia menjadikan Kuala Lumpur sebagai kawasan syarikat induknya.

Tidak lama kemudian, dia yang menukar namanya kepada Hisyam Lee, jatuh cinta kepada seorang anak kepada pembancuh kopi di pejabatnya. Persahabatannya dengan Tan Sri Salleh langsung tidak terputus. Setelah Dato’ Hisyam dan isteri mempunyai anak kedua, mereka berpindah ke Sabah. Dan menurut Puan Sri Fatimah, mereka sekeluarga sudah kembali berpindah ke semenanjung. Rindunya pada Dato’ Hisyam seperti rindu terhadap adik sendiri.



ADELIA QAISARA dan rakan-rakannya berjalan kaki di sisi jalan. Kenderaan-kenderaan yang lalu lalang di sebelahnya langsung tidak dihiraukan. Maklum sajalah, waktu pagi begini pasti ramai pelajar yang bergerak ke kelas. Ada juga yang pergi bekerja. Jam sudah menunjukkan angka tujuh empat puluh lima pagi. Kelas akan bermula lima belas minit lagi. Hari ini mereka agak terlewat. Sangka mereka, kelas ditangguhkan kerana ketiadaan pensyarah. Tetapi, tiba-tiba sahaja Nadhira mendapat pesanan daripada wakil kelas mereka, Firdhaus. Hendak tak hendak, terpaksalah mereka bergegas ke kelas. Laju sahaja langkah mereka diatur menuju ke kampus. Mujurlah kelas kali ini berjalan di ground floor. Tidak perlulah mereka berlari-lari menaiki anak tangga. Waktu sampai di depan bilk kuliah itu, kelihatan masih ada pelajar di dalamnya.

“Lagi lima minit,” ujar Adelia Qaisara kepada teman-temannya. Dia duduk di kerusi di kawasan ruang legar itu, berhampiran dengan mesin jualan air tin. Yang lain cuma mengikut. Firdhaus dan rakan-rakannya duduk di kerusi yang berada jauh di luar bangunan itu, namun masih boleh melihat bilik kuliah tersebut. Rakan-rakan sekelas yang lain masih belum sampai.

Kelas di situ tidak seperti universiti yang memerlukan pelajar untuk memilih kelas mereka sendiri. Di kampus itu, mereka ditetapkan mengikut kelas, berpandukan bidang yang diambil. Contohnya, mereka mengambil jurusan Kejuruteraan Komputer, maka mereka akan dimasukkan ke dalam sebuah kelas. Jika ada ramai pelajar dari jurusan yang sama, mereka akan dibahagikan kepada dua ataupun tiga kelas. Pelajar dari jurusan yang sama dengan Adelia Qaisara cuma ada tujuh puluh orang, jadi mereka dibahagikan kepada dua kelas, iaitu kelas A dan B. Adelia Qaisara berada di kelas B. Kelas ini dibahagikan bukan kerana keputusan peperiksaan SPM atau STPM mereka, sebaliknya mengikut nombor pendaftaran ketika mendaftar. Politeknik Premier Ungku Omar menawarkan diploma dan sijil dalam bidang kejuruteraan. Contohnya kejuruteraan elektronik, elektrik, mekanikal, awam, seni bina dan perkapalan. Kursus lain termasuklah pengurusan perniagaan, pemasaran, perbankan dan sebagainya.

Tiba-tiba rakan-rakan sekelas Adelia Qaisara sudah memenuhi ruang legar itu. Mata-mata nakal rakan-rakan sekelas mereka yang memerhatikan Adelia, Hannah, Annur dan Nadhira itu langsung tidak dihiraukan. Sudah berada di semester tiga pun masih belum habis dengan sikap mereka itu. Walhal mereka sudah terlalu rapat. Tetapi akhir-akhir ini Adelia Qaisara dan rakan-rakannya sudah tidak rapat dengan mereka, sejak peristiwa perbalahan dia dan Zuhair tidak bertegur sapa. Tidak lama kemudian, kelihatan senior-senior yang sudah berada di semester lima keluar dari bilik kuliah itu. Mereka bingkas bangun. Ingin masuk ke dalam kelas itu, demi menyejukkan tubuh dengan penyaman udara.

Sewaktu Adelia Qaisara dan rakan-rakannya menanti untuk masuk, seorang pelajar lelaki yang baru keluar dari kelas itu datang menghampiri Adelia Qaisara. Tubuhnya tinggi lampai dan berkulit sederhana cerah. Dia yang segak dengan kemeja putih berbelang-belang hitam itu datang dengan sebuah senyuman. Matanya seolah-olah milik Syed Hussain, bekas vokalis kepada kumpulan Ruffedge. Rambutnya disisir tegak.

“Nama saya Hadif Hadrami. Err.. senior awak. Sem lima,” Hadrami menyapa Adelia Qaisara. Jam di tangan kirinya dibelek-belek, sesekali jemarinya itu melurut-lurut rambutnya yang hitam pekat.

“Saya tahu,” balas Adelia Qaisara dengan senyuman.

Mana mungkin dia tidak mengenali lelaki itu. Boleh dikatakan antara pelajar yang terkenal di seantero pusat pengajian itu. Masakan tidak. Wajahnya yang kacak itu selalu menjadi santapan pelajar-pelajar perempuan. Namanya tidak pernah sunyi untuk dijadikan topik perbualan gadis-gadis, termasuklah Adelia Qaisara dan rakan-rakannya.

“Oh.. dah tahu ke? Macam mana boleh tahu?” tanya Hadrami dengan senyuman nakal.

Adelia Qaisara tidak menjawab, sebaliknya menjungkit bahu. Ada senyum yang hinggap di bibirnya. Inilah kali pertama jejaka idaman Malaya ini menegurnya. Adelia Qaisara menggelarnya sebagai Jejaka Idaman Malaya kerana jejaka ini sangat terkenal. Belum pernah Hadrami dilihat dengan mana-mana gadis, termasuklah rakan sekelasnya sendiri. Melainkan dengan kawan-kawan lelakinya yang tidak kurang hebatnya. Lelaki itu juga turut sama tersenyum.

“Awak kenal saya?” soal Adelia Qaisara setelah berpaling kiri dan kanan, bimbang pensyarahnya sudah tiba.

“Kenal,” jawab Hadrami sepatah. Bibirnya masih mengukir senyum.

“Awak ni asyik senyum je. Dah berjangkit kat saya,” ujar Adelia Qaisara tanpa melihat wajah Hadrami.

Hadrami tergelak. Kelakar jugak budak ni.

“Eh, lecturer awak. Kan? Saya gerak dulu. Saya pun ada kelas ni,” Hadrami mula mengundur diri. “Oh, ya! Ini untuk awak,” sehelai kertas bertukar tangan. Hadrami melangkah dan mengambil beg yang diberikan kepada salah seorang rakannya. Dia sempat menghadiahkan senyuman buat Adelia Qaisara.

Adelia Qaisara yang sedar akan dia sudah tinggal sendirian masuk ke dalam bilik kuliah itu. Kertas di tangan diperhatikan tanpa menoleh ke arah rakan-rakan lain. Lagi pula dia malas bertentang mata dengan mereka. Hatinya panas. Dia duduk di kerusi yang tersedia, di antara Annur dan Hannah.

“Kenapa dengan Jejaka Idaman Malaya tu? First time nampak dia tegur kau?” belum sempat Adelia Qaisara bernafas, Annur sudah mula bertanya. Adelia Qaisara menggeleng, tanda dia tidak tahu.

“Sara, jangan cakap kau ada apa-apa dengan Jejaka Idaman Malaya,” soalan itu sudah cukup membuat Zuhair dan rakan-rakannya yang duduk di belakang mereka mula tidak senang duduk.

Adelia Qaisara tergelak dan menggeleng. Perlahan-lahan kertas bergaris itu dibukanya. Annur, Hannah dan Nadhira cepat-cepat mengelilingi Adelia Qaisara.

“Kenapa dengan korang ni?” Adelia Qaisara mengerut dahi. Kertas tadi kembali dilipat. Ada senyum yang mekar di bibir merah jambunya.

“Cepatlah, Sara! Sir Azmirul dah on the way tu,” gesa Nadhira.

“Sabarlah. Sir pergi punch card kejap,” balas Adelia Qaisara. Dia tersenyum-senyum melihat teman baiknya merengus.

Dibukanya lipatan kertas itu.

‘Jangan bagi kawan awak bertiga tu baca. Kalau nak bagi jugak, bagi la. Hahahaha..
Adelia Qaisara binti Ahmad Aminuddin..
Nama saya Hadif. Awak nak panggil saya Hadrami pun boleh, since nama saya Hadif and Hadrami. Hehehe.. I knew you since you’re in you first semester. You might not looking at me. Tapi, saya tengok awak. Hehehe^^ Saya tak tahu nak bermadah pujangga, sebab saya tak dilahirkan untuk bermadah. Saya bukan penyair, bukan juga pelukis *penyanyi tu, yelaa..*. Saya peminat awak, cik Adelia Qaisara yang cantik, comel dan kelakar. Boleh jadi kawan saya? Kalau tak boleh, please la bolehkan. Boleh, boleh la ye? I will wait for your ‘salam persahabatan’. Take care cik Adelia Qaisara binti Ahmad Aminuddin yang manja, kecik dan lawa. Hehehehe :P
 Muhammad Hadif Hadrami bin Abdul Karim’

Adelia Qaisara mendongak, mencari wajah rakan-rakannya. Mereka sama-sama tersenyum. Sewaktu Adelia Qaisara membuang pandang ke luar kelas, matanya bertaut dengan mata Hadrami. Dia tersenyum dan mengangguk, tanda dia sudah membaca suratnya itu, bersetuju menjadi rakan Hadrami. Encik Azmirul melangkah masuk dan memulakan kelas. Ada sahaja mata yang tidak berpuas hati memandang Adelia Qaisara, namun langsung tidak dihiraukan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...