Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

20 Julai 2014

Cinta 8 Tingkat 2


BAB 2


“GOOD morning, Rapunzel!”

Keisha yang sedang menyidai pakaian di ampaian segera menoleh. Kelihatan seorang jejaka sedang berdiri tegak di beranda rumah yang terletak di sebelah kanannya. Jejaka itu tersenyum lebar.

Keisha hanya menganggukkan kepala sambil menghadiahkan senyuman kecil buat lelaki itu. Kemudian, dia segera menyambung kerjanya. Baju T di tangan dikibas-kibas sebelum disangkut ke penyangkut baju.

Di sebelah sana pula, Wan Muhammad Hazrill sedang berdiri memerhatikan Rapunzel pujaan hati. Seorang gadis terkurung di dalam menara itu tidak ubah seperti Rapunzel fikirnya. Dan sudah pasti sang puteri sedang menunggu putera idaman datang menyelamatkannya. Dia yakin dia yang bakal menjadi putera idaman Keisha.

“Dah breakfast?” cuba Wan Hazrill lagi.

Keisha hanya menganggukkan kepalanya. Langsung tidak melihat ke arah jirannya itu.

Wan Hazrill tersenyum sendiri. Biarpun bibir Keisha langsung tidak mengukir senyum, wajah itu tetap nampak manis di matanya.

Pergerakan Keisha diperhatikan dengan penuh minat. Kalaulah ibunya melihat Keisha, pasti ibunya menyukai Keisha. Keisha rajin, cantik dan juga pandai melakukan kerja-kerja rumah. Seperti mana Keisha memerhatikan Izz Rayyan, begitu jugalah Wan Hazrill memerhatikan Keisha. Kali pertama dia terpandangkan Keisha adalah tiga tahun yang lalu. Namun, Keisha bukanlah cinta pandang pertamanya. Perasaannya mula berputik terhadap Keisha bermula apabila Keisha membantunya untuk memasak makanan sempena potluck yang dilakukan di pejabatnya. Nampak ringkas, namun itulah kali pertama dia mula belajar menyukai Keisha.

“Wan! Ada orang call!”

Panggilan Koya atau pun nama sebenarnya Ammar Firdaus membuatkan babak yang baru sahaja bermula dipotong begitu sahaja. Wan Hazrill mendengus kasar.

“Siapa?” soalnya apabila Ammar Firdaus sudah turut muncul di beranda itu.

Ammar Firdaus menjungkit bahu.

“Assalamualaikum, Rapunzel. Busynya pagi-pagi ni,” tegur Ammar Firdaus sambil berjalan mendekati penghadang beranda.

Keisha menjawab salam Ammar Firdaus dengan suara yang perlahan. Dia kemudiannya mengangguk lagi.

“Hari-hari dok mengangguk. Nak jugak dengar suara tuan puteri,” usik Ammar Firdaus.

Keisha tertunduk malu.

“Err.. ha’ah. Tak kerja?” soal Keisha.

Ammar Firdaus tersenyum bangga sambil mengangkat dagu ke arah Wan Hazrill. Menunjuk-nunjuk apabila Keisha menjawab pertanyaannya. Wan Hazrill pula sudah mengetap gigi. Nasib baiklah si Koya ni kawan aku. Kalau tidak, dah lama aku debik, kutuknya dalam hati.

“Finally. Dengar jugak suara. Patutlah tak banyak bercakap, rupanya suara kalah buluh perindu. Taklah. Kan hari ni Sabtu. Macam mana nak kerja?”

Semakin merah padam wajah Keisha. Setiap kali Ammar Firdaus bersuara, pasti ada sahaja ayat mengusik yang diselitkan.

“Wan! Ada call!”

“Siapa?” soal Wan Hazrill bengang.

Fokus Wan Hazrill beralih kembali kepada Keisha dan Ammar Firdaus. Wajah Keisha masih lagi merah padam, akibat penangan gurauan Ammar Firdaus.

“Wan!"

“Apa?!”

Jeritan Wan Hazrill nyata mematikan senyuman di bibir Ammar Firdaus. Keisha pula terkejut besar mendengar suara Wan Hazrill.

“Biasalah.. dia jealous saya bercakap dengan awak,” ujar Ammar Firdaus setelah Wan Hazrill sudah masuk ke dalam rumah.

Keisha hanya tersenyum.

“Err.. saya masuk dulu. Ada lagi kerja nak kena siapkan dekat dalam,” mohon Keisha setelah hampir seminit dia dan Ammar Firdaus hanya diam tanpa sebarang ayat.

Ammar Firdaus mengangguk sebelum menghantar langkah Keisha dengan pandangan matanya sahaja.



AKU pernah menutup pintu itu
Rapat..
Akankah pintu itu terbuka semula?
Adakah aku sendiri yang akan membukanya?
Andai sahaja aku mudah memberikan kemaafan..
Namun, aku bukan siapa-siapa..
Hanya seorang manusia..

Kerdil dan tidak sempurna
Menanti agar lembutnya hati menghulur kemaafan.


Telefon bimbit berdering, menandakan ada pesanan yang masuk. Keisha mencapai Sony Ericsson Arc S miliknya. Tertera nama Cik Azlinda di skrin. Ibu jarinya menyentuh ikon sampul surat.


‘Salam, Keisha. Saya dah emailkan satu draf untuk awak. Kali ni awak kena tulis buku kanak-kanak. Hujung bulan due date. Slowly. 30 muka je.’


Keisha merenung kalendar yang tergantung di dinding. Hari ini baru sahaja 8 Mac 2012. Masih panjang lagi masa untuk dia menyiapkan buku itu. Mujurlah buku itu hanya memerlukan tiga puluh muka surat sahaja.

Tetikus digerakkan dengan tangan kanan. Cursor dibawa ke peti masuk emailnya. Email daripada syarikat penerbitannya diklik. Draf yang dihantar dibaca sepintas lalu. Dia harus menulis semula cerita-cerita dongeng dahulu kala. Mudahlah sedikit kerjanya.


‘Waalaikumussalam, Cik. Saya dah baca draf tu. 
Saya just perlu olahkan ayat-ayat je, kan?’


Butang send disentuh dengan ibu jari. Keisha sabar menanti balasan Cik Azlinda sambil mencari koleksi kisah-kisah dongeng yang disimpannya. Memandangkan dia adalah seorang editor dan juga penulis, dia harus menyimpan buku-buku seperti itu. Manalah tahu kalau tiba-tiba sahaja dia diminta menulis semula karya-karya itu semua, seperti sekarang.

Sebuah kotak besar ditarik dari tepi meja komputernya. Buku-buku yang mengandungi kisah-kisah dongeng kanak-kanak tersusun elok. Terbatuk sedikit Keisha apabila habuk-habuk dari dalam kotak itu berterbangan keluar. Dia sebuah buku yang agak tebal. Dibukanya buku itu. Isi kandungan buku itu lengkap dengan pelbagai jenis kisah dongeng. Namun ada sesuatu yang menarik perhatian Keisha. Tiada langsung gambar di mana-mana muka surat dalam buku itu.

Keisha mencapai sebatang pen dan kertas. Dia mencatat sesuatu. Kanak-kanak mudah bosan sekiranya mereka perlu membaca. Demi menarik minat kanak-kanak membaca buku, gambar-gambar perlu disertakan. Pasti mereka akan seronok membaca nanti. Itu baru satu point. Dia menyelak lagi helaian demi helaian buku itu. Point demi point di catatkan, bagi menambahkan elemen-elemen yang mampu menarik minat kanak-kanak untuk membacanya.

Setelah selesai menulis apa yang perlu, buku tebal yang berada di tangan ditutup. Rapat. Dia kemudiannya bangkit sebelum bergerak ke arah beranda. Rumah Izz Rayyan yang kosong dipandang sepi. Rumah itu gelap seperti biasa. Tugas Izz Rayyan sebagai doktor sering membawanya keluar dari rumah. Adakalanya berhari-hari Izz Rayyan akan tidur di klinik.

Keisha menarik nafas panjang lalu mendekati barisan pokok bunga yang ditanam di dalam pasu. Satu keluhan kecil terbit dari bibirnya. Dia duduk mencangkung sambil tangannya gatal ingin menyentuh kelopak bunga yang berwarna-warni. Buat beberapa saat, dia hanyut dalam angannya sendiri.



“WOI, Kim!”

Harith Hakim yang sedang berjalan sambil menarik bagasi mematikan langkah. Kaca mata hitam ditanggalkan, lalu disangkut ke ke baju. Keningnya diangkat.

“Tunggulah Que kalau ya pun,” ujar Amirul Zaffuan.

Harith Hakim mengangguk. Hampir terlupa pula dia dengan sahabat baik mereka itu, Faliq Izham.

Kemudian, mereka berdua mencari kerusi yang masih kosong berdekatan dengan tempat mereka berdiri tadi. Buat seketika, kedua-dua jejaka itu sibuk berbalas pesanan kepada keluarga dan juga teman-teman rapat. Kepulangan mereka ke tanah air sungguh dinantikan. Namun, mereka sengaja pulang pada hari ini, lebih awal daripada jangkaan.

“Que ni.. tak habis-habis kena tahan,” bebel Harith Hakim.

“Biasa, bro! Bukan kau tak kenal budak tu. Cara dia pandang orang pun dah lain macam. Memang kenalah!” balas Amirul Zaffuan.

Harith Hakim menganggukkan kepala. Mengiakan kata-kata sahabatnya itu. Nak buat macam mana, memang itu sikap sebenar Faliq Izham. Renungannya tajam, seolah-olah menjemput orang lain menumbuknya. Suaranya apabila bercakap sentiasa sinis, manakala sikapnya dingin. Sedingin ketulan ais. Namun, hanya Harith Hakim serta Amirul Zaffuan sahaja yang mengenali sikap sebenar Faliq Izham. Selain Harith Hakim dan Amirul Zaffuan, layanan yang baik hanya diberikan kepada neneknya serta bapanya sahaja. Baginya, dia hanya punyai bapa dan neneknya sahaja di dunia ini.

“Miyul! Kim! Jom!”

Pandangan Harith Hakim dan Amirul Zaffuan jatuh pada Faliq Izham yang sedang berdiri di hadapan mereka. Seperti biasa, tubuhnya dibaluti dengan pakaian berwarna hitam dari hujung kaki ke hujung kepala. Kaca mata Ray Ban hitam melekat elok di batang hidung.

Akhirnya, ketiga-tiga jejakai itu bergerak meninggalkan lapangan terbang itu. Masing-masing melangkah dengan harapan agar kepulangan mereka ke tanah air ini bakal melengkapkan kekurangan yang selama ini dirasakan. Agar kepulangan mereka kali ini akan membawa seribu makna, terutamanya buat Faliq Fahmi.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...