EMPAT TAHUN KEMUDIAN..
“ZARA!”
Panggilan itu membuatkan Zara segera berpaling. Terkocoh-kocoh lelaki itu berlari dan mendekatinya. Zara tersenyum. Lelaki itu turut sama tersenyum.
“Hey, panjangnya langkah! Penat saya kejar!”
Zara mencebik.
“Siapa suruh kejar?” soal Zara, sengaja mengusik.
Kini, giliran Zarif pula yang mencebik. Sudah tiga tahun dia kenal dengan gadis ini, namun, gadis ini masih seperti dulu. Langsung tidak mahu berubah. Pakaiannya masih sama, gayanya masih sama, begitu juga dengan sikapnya. Cuma, Zara sudah boleh tersenyum dan bergurau dengannya.
“Jom makan. Saya belanja,” ujar Zarif, mengajak Zara makan.
“Kalau nak ajak saya makan, saya tak layan tau, kedai-kedai tepi jalan,” balas Zara selamba.
Tawa Zarif pecah lagi. Ada-ada saja Zara. Zarif tahu, Zara tidak kisah makan di mana pun. Asalkan makanan dan kedainya bersih. Janji perut kenyang, sudah.
Setelah beberapa saat kaku di tempat mereka berdiri, mereka mula mengatur langkah meninggalkan bangunan sebelas tingkat Electro Holdings.
KENAPA pulak Encik Zarif makan dengan budak tu, ya?”
Soalan Adilla membuatkan Amani segera berpaling, turut mencari bayang Zarif dan ‘budak’ yang diperkatakan oleh Adilla sebentar tadi.
“Biarlah, Dilla. Dia tak kacau kita pun, kan? So, janganlah kacau dia,” ujar Amani kembali sambil menghulurkan sebiji pinggan kepada Adilla.
Adilla yang sedang bercekak pinggang segera mencapai pinggan yang disuakan oleh Amani.
“Memanglah dia tak kacau kita. Tapi, mata aku ni sakit tengok diorang tu. Dalam banyak-banyak orang, kenapalah budak tu jugak?”
Amani hanya menggelengkan kepala.
“Dahlah, Dilla. Tak baik mengumpat depan rezeki. Kalau mata kau sakit, jangan tengok.”
Adilla menjeling sahabat baiknya itu. Kenapalah Amani suka mempertahankan Zara?
“Aku tak mengumpat. Aku cakap je,” balas Adilla tidak mahu kalah.
Kedengaran bunyi decitan keluar dari mulut Amani.
“Dilla sayang.. kalau bercerita benda bohong, itu namanya fitnah. Kalau cerita betul, maknanya itu mengumpat. Dah, dah. Tak kenyang kalau asyik dengar kau mengumpat je.”
Adilla menjeling Amani buat kali kedua. Ada saja hujah Amani yang akan mematikan point yang sedang diperkatakannya. Lebih baik dia diam daripada memanjangkan debat dengan Amani. Sudah tentu dia akan kalah.
“Baru nak makan?”
Soalan yang diajukan dekat dengan telinganya membuatkan Amani agak tekejut. Hampir gugur jantungnya apabila melihat wajah kacak Zarif berada dekat dengannya. Inilah pertama kali Zarif menegurnya. Indah sungguh ciptaan Tuhan.
Zarif menjungkit kening, hairan dengan reaksi Amani.
“Oh.. haa? Ha’ah. Baru nak makan,” balas Amani, gugup.
Zarif tersenyum. Nyata, senyuman Zarif itu membunuh!
“Eh, kuah terkena baju,” seru Zarif sedikit kuat apabila senduk yang dipegang Amani senget dan mengenai baju kurung yang dipakainya.
Amani yang terkejut segera tunduk melihat ke bajunya. Alamak!
“Kau ni Amani.. kenapa sekarang?” bisik Amani sendirian.
“Pardon?”
Amani mengangkat wajah. Hampir lupa pula dia akan kehadiran Zarif. Laju dia menggelengkan kepalanya.
“Saya nak cuci sikit baju saya ni. Saya pergi dulu, ya,” ujar Amani sebelum berlalu. Semakin lama dia dekat dengan Zarif, semakin berdebar jantungnya.
“Enjoy your meal. Next time, hati-hati,” pesan Zarif dalam senyuman.
Amani, jangan cair dekat sini!
“ZARIF, saya ada soalan nak tanya dekat awak ni.”
“Apa dia?” soal Zarif bersahaja. Dia masih leka menyuap nasi putih dengan masak lemak ayam nanas di pinggannya.
“Hmm.. awak.. err.. tak malu ke kawan dengan saya? Orang semua tak suka saya. Awak je yang baik dengan saya,” ujar Zara perlahan. Pinggan yang sudah kosong ditatap dengan rasa kosong juga. Dia hanya makan roti bakar sahaja memandangkan dia sudah bersarapan nasi lemak di rumah.
“Kenapa? Entahlah. I’m wondering about it though. Maybe sebab saya selesa dengan awak? Kalau awak nak tunggu orang berhenti mengata awak, tak tahulah bila. Awak tak payah kisah dengan apa pun kata orang. Kita just berkawan, bukannya buat benda tak elok pun.”
Zara mengangguk perlahan. Benar juga apa yang diperkatakan oleh Zarif. Terdetik dalam hatinya akan rasa kasihan dan rasa bersalah kerana sudah bertahun-tahun dia membohongi Zarif. Apabila dia terserempak dengan Zarif di luar, seboleh-bolehnya dia akan menyembunyikan diri. Dia tidak mahu dilihat oleh Zarif dengan imej Feana itu. Dia tidak mahu menipu secara terus-terusan. Mungkin juga Zarif sudah lupa akan Feana, kerana perjumpaan kali terakhir di antara mereka terjadi tiga tahun yang lalu, sewaktu mereka menemani ibu dan bapa mereka membeli-belah.
“Eh, baru saya teringat. Dah lama betul saya tak jumpa Feana.”
Jus tembikai yang baru masuk ke dalam mulut segera ditelan. Namun, dia masih tersedak-sedak perlahan. Matanya terasa berair. Macam mana Zarif boleh ingat?
“Sorry, sorry. Ya Allah, saya tak sengaja. Awak okey tak?” soal Zarif kehairanan. Bimbang pula dia apabila melihat wajah dan mata Zara yang sudah merah.
“Saya okey,” balas Zara sambil mengesat bibirnya dengan tisu. Mujurlah air di dalam mulutnya tidak tersembur. Jika tersembur, sudah pasti akan tepat mengenai wajah Zarif. Zara tersenyum lucu. Dapat dia membayangkan apa akan terjadi kepada Zarif sekiranya air yang diminumnya terkena lelaki itu.
“Awak ni kenapa pulak ni? Sengih sorang-sorang. Nak saya daftarkan?”
“Daftarkan? Ke mana?” keningnya dijungkit sedikit.
“Tanjung Rambutan,” balas Zarif bersahaja.
Zara mencebik. Zarif pula tersenyum menahan tawa yang ingin terhambur. Kelakar melihat wajah Zara yang sudah cemberut itu.
“Zarif.. kalaulah Feana tu orang yang awak kenal, apa awak akan buat?”
Soalan yang tiba-tiba meluncur daripada mulut Zara membuatkan Zarif segera memanggung kepala, merenung ke arah Zara.
“Maksud?”
Zara tersenyum sumbing. Macam manalah dia boleh bertanyakan soalan itu kepada lelaki itu?
“Maksud saya.. kalaulah kan.. Feana tu saya. Hah, macam mana?”
Wajah Zarif berubah semakin serius. Wajah Zara ditatap. Lama. Zara pula berpura-pura tenang, walhal degupan jantungnya semakin laju apabila mata Zarif tetap menghala ke arahnya.
Zara terkejut apabila kedengaran Zarif ketawa besar.
“Awak Feana? Awak tahu tak, Feana tu macam bidadari,” balas Zarif sebelum menyambung tawanya.
“Oh, kiranya awak nak kata saya tak mampu jadi cantik macam Feanalah?” soal Zara. Wajahnya berubah sedikit tegang.
Menyedari akan keterlanjuran kata-katanya, Zarif berhenti ketawa.
“Eh, bukan macam tu maksud saya. Saya tak berniat nak buat awak kecil hati. Cuma.. awak dengan Feana tu dua orang yang berbeza. Bagi saya, awak lain, dia lain. Bukan je soal appearance, tapi banyak hal yang berbeza,” terang Zarif. Bimbang juga dia sekiranya Zara berkecil hati.
Zara tersenyum. Tawar, tiada langsung manisnya.
“Tapi.. kalau awak Feana, rasanya saya tak boleh terima.”
Senyum Zara mati.
“Maksudnya?”
“Yalah.. awak tu kawan saya. Boleh saya katakan kawan baik. Saya paling tak suka orang tipu saya. Kalau saya dapat tahu ada orang tipu saya, takkan ada second chance. Biarlah orang panggil saya kejam sekali pun, saya tak kisah.”
Zara tunduk merenung meja. Niatnya yang ingin memberitahu hal sebenar mati begitu sahaja. Ya Zarif, memang kejam. Bagaimana agaknya jika suatu hari nanti perkara yang sebenar diketahui oleh Zarif? Sebesar mana pun dunia ini, jika ditakdirkan rahsia siapa Feana yang sebenarnya akan pecah, pasti dia dan Zarif akan dipertemukan semula. Tidak kira sejauh mana dia berlari, demi menjauhi Zarif. Kebenaran pasti akan terbuka suatu hari nanti.
“Hey, kenapa awak ni? Tiba-tiba je diam? What’s wrong?”
Zara segera mengukir senyum demi menutup kegusaran yang sudah melekat di dinding hatinya.
“Tak ada apa-apa. Eh, cepatlah makan. Kita belum solat lagi ni,” ujar Zara sengaja mengubah topik.
Zarif tersenyum sebelum menyambung semula suapan.
IMRAN berbaring di atas katil dan memejamkan matanya. Lengan kanannya diletakkan ke dahi. Dia termenung bersendirian. Sunyi sepi setelah Nizam dan penghuni-penghuni lain rumah bujang itu keluar untuk menghadiri kelas masing-masing.
Buat kesekian kalinya, Imran menukar kedudukan. Matanya masih terpejam rapat. Sudah lebih tiga tahun dia di bumi asing ini. Bukannya dia tidak mahu pulang ke Malaysia, tetapi keluarganya yang selalu datang ke Pennsylvania dan menghabiskan cuti di sini sahaja. Semuanya kerana Julia, adik bongsunya. Dan keluarganyalah yang selalu menjadi penyampai berita tentang semua kisah di tanah air, termasuklah cerita Zara. Kata mereka, Zara sudah bekerja di salah satu syarikat swasta. Rindunya dia pada Zara, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Dia pernah menghubungi Zara, tetapi Zara langsung tidak menghiraukannya. Sudahnya, hampir empat tahun berlalu tanpa ada berita yang keluar daripada mulut gadis itu sendiri. Dia tahu, dirinya tidak ubah seperti orang gila bayang. Setiap masa dan ketika, dia merindui Zara. Namun, dia tahu Zara tidak begitu.
Imran berkalih kedudukan. Dari tadinya dia sedang mengiring ke kanan, dia menelentang pula. Hatinya gundah. Dua minggu lagi. Ya, dua minggu lagi dia akan pulang ke Malaysia memandangkan pengajiannya sudah tamat. Dia akan pulang dan menjadi pakar ortopedik di salah sebuah hospital di Malaysia. Tetapi dia masih belum menentukan di mana dia bakal mengerahkan khidmatnya sebagai doktor terlatih.
Bingkai gambar yang terletak elok di meja sisi katilnya dicapai. Wajah gadis yang sedang tersenyum ditatapnya. Perlahan-lahan, ibu jarinya menyentuh gambar itu. Wajah gadis itu diusap dengan jari telunjuk. Gambar Zara itu diambilnya dari facebook Zara sendiri. Dengan adanya gambar Zara di sisi, dia lebih bersemangat untuk belajar. Semuanya demi mengubat rindunya pada Zara.
“Hoi! Menung apa? Aku balik pun kau tak sedar!”
Imran segera menoleh ke arah katil Nizam. Kelihatan Nizam sedang duduk di katilnya sambil melipat lengan baju. Hendak menunaikan solat Asar agaknya. Mujurlah Imran duduk di rumah sahaja. Jadi, masanya diluangkan untuk melaksanakan solat di awal waktu sementara melakukan thesis.
Gambar Zara diletakkan ke tempat asalnya dengan berhati-hati. Muka Nizam yang putih kemerahan itu sudah merah seperti dipanggang. Kaca matanya diletakkan ke katil. Sudahlah matanya sepet, muka pula seperti orang Cina. Memang dia selalu disalah anggap sebagai orang China ataupun Korea oleh pelajar-pelajar lain.
“Awal kau balik?” soal Imran.
Dia duduk bersila di katilnya.
Nizam tersengih.
“Kelas postpone. Aduh, tak larat. Orang lain muntah hijau, aku ni dah tahap muntah biru, muntah ungu, muntah pink, semua ada,” rungut Nizam.
“Rugilah kalau tak buat kelas ganti. Karang, aku grad dulu, kau kena extend. Haa.. macam mana? Sanggup?” soal Imran, sengaja mengusik Nizam. Niatnya hanya ingin Nizam selamat menamatkan pelajaran bersamanya.
“Eh, ada ke kau cakap macam tu. Aku tak nak extend!” jerit Nizam.
Berderai tawa Imran apabila junior mereka, Iqram sudah terpacak di muka pintu.
“Apa hal ni, Abang Nizam? Terkejut saya dengar Abang jerit tadi.”
Nizam ikut ketawa apabila melihat wajah pucat Iqram yang hanya kaku di muka pintu.
“Apalah kau ni.. dengar aku jerit macam ni pun kau dah terkejut, macam mana nak jadi doktor ni?” sakat Nizam.
Iqram mengurut dada.
“Apalah. Saya ingatkan ada masalah apa tadi,” ujar Iqram sebelum berlalu.
Sekali lagi, Imran dan Nizam sama-sama ketawa. Dalam hati, Imran bersyukur. Sejak mengenali Nizam, dia sudah banyak tersenyum dan ketawa. Tidak seperti dulu. Dahulu, dia jarang tersenyum dan ketawa. Dan dengan tersenyum dan ketawa, dia dapat menenangkan fikiran acap kali dia harus menyiapkan tugasan yang berat.
“Haa.. tak nak solat ke?”
Soalan Imran membuatkan Nizam bingkas bangun dan berlari ke pintu bilik air. Kaki seluarnya dilipat hingga ke paras betis sebelum masuk ke dalam bilik air untuk mengambil wudhu’.
Imran kembali berbaring. Kepalanya digelengkan beberapa kali.
MESEJ itu dibaca berkali-kali.
‘Zara, I missed you so much.’
Kepalanya diletakkan ke bantal. Seharian bekerja, badannya mula letih. Namun, kehadiran pesanan itu agak membantu. Meja sisinya dibuka perlahan-lahan, bimbang Rasya akan terjaga. Sebuah kotak kecil dikeluarkan. Bibirnya mengukir senyum apabila kotak itu masih mengandungi sesuatu yang sangat dijaganya itu.
Setelah kotak itu disimpan kembali, Zara memejamkan mata, berharap agar tidur malamnya lena, ditemani mimpi indah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan