Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

03 Mei 2015

Hadirnya Cinta Terindah 17

GOOD morning!”

Dato’ Musa, Datin Marlia dan Julia menoleh ke arah Imran yang sedang tersenyum senang. Dia menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan ibunya.

“Kenapa mee goreng?” soal Imran. Dia yang baru sahaja ingin menyenduk sarapan ke dalam pinggan terhenti.

Imran sememangnya tidak sukakan mee goreng. Dia juga tidak mampu makan makanan yang pedas.

“Kak Tipah lupa agaknya nak bawakkan nasi goreng untuk Im. Kejap, Mama ambil,” ujar Datin Marlia. Dia bangun dan berlalu ke dapur.

“Im, senyum sampai ke telinga nampak?”

“Senyum? Tak adalah, Pa. Dulu Papa jugak yang cakap, mulakan hari dengan senyuman. Dekat TV pun cakap benda yang sama. So, Im ikut pesanan Papa dengan iklan tulah,” jawab Imran.

“Zaralah tu,” sampuk Datin Marlia yang baru sahaja masuk ke ruang makan itu.

Sepinggan nasi goreng Cina diletakkan di hadapan anak terunanya. Memang setiap kali Datin Marlia memasak mee goreng, pasti ada nasi goreng, nasi lemak mahupun bihun goreng untuk Imran. Jika tidak, Imran tidak akan bersarapan. Sejak kecil lagi dia tidak menyukai mee goreng. Hairan juga Datin Marlia dibuatnya.

“Taklah, Ma. Mama ni berkenan sangat dekat Zara kenapa, ya?” tanya Imran kepada ibunya. Pelik betul. Hari-hari pasti ada saja soalan yang ditanyakan berkaitan dengan Zara. Sehari tak sebut nama Zara, tak sah.

First time nampak dia, Mama dah berkenan. Mama pun tak tahu kenapa. Im suka dia kenapa?”

Imran hanya menggeleng-gelengkan kepalanya, tanda dia tidak tahu. Nasi goreng Cina yang belum berusik di sudu, lalu disuakan ke mulut.

“Mama, nanti ajaklah Kak Zara datang sini. Lama tak jumpa dia. Rindu pulak dekat dia. Haa.. Abang ada jumpa Kak Sya ke?”

Kunyahan Imran terhenti. Sudah lama dia tidak mendengar berita mengenai Rasya. Adakah peluangnya untuk bersahabat dengan Rasya masih terbuka? Semasa dia di Pennsylvania, dia langsung tidak menghubungi Rasya. Apabila terlintas sahaja nama Rasya di benak, dia mula diserbu rasa bersalah. Sudahlah dia ada hati pada Zara. Adakah Rasya akan menerima semua itu dengan hati yang terbuka? Apa pun yang terjadi, dia harus berterus-terang dengan Rasya.

“Ju.. cepat sikit. Kejap lagi Papa dah nak ke pejabat. Biar Papa hantar,” celah Datin Marlia. Dia tidak mahu isu Rasya dipanjangkan. Biarlah Imran sendiri yang menyelesaikan masalahnya.

“Baik boss!” balas Julia sambil menyambung kembali suapan yang terbantut sebentar tadi.




ZARA menyarung sepasang jeans merah yang dipadankan dengan sehelai t-shirt potongan leher V polos berwarna putih. Sepasang blazer hitam dikeluarkan dari dalam closet, lalu terus disarung. Rambutnya yang berwarna perang beralun dibiarkan bebas. Hari ini dia hanya mengenakan solekan tipis, seperti selalunya. Tas tangan dan kunci kereta dicapai sebelum dia berlari-lari anak menuruni tangga ke tingkat bawah.

“Zara!”

Zara mengurut dada apabila mendengar jeritan kedua-dua orang kakaknya. Dia menarik kerusi sebelum melabuhkan duduk di sebelah Durrani. Jam di pergelangan tangan kiri dikerling sekilas. Tepat lapan pagi. Waktu dia masuk bekerja adalah pada jam sembilan pagi. Masih awal lagi, fikirnya.

“Zara, mana Clown?” soal Rasya apabila Zara sudah pun mula mengunyah nasi lemak air tangan Puan Saidah. Zara hanya menjungkit bahu. Nasi lemak Mama lagi best daripada soalan Akak tu, ujar Zara dalam hati.

“Yalah, Zara. Apa mimpi pakai macam ni? Nak bocorkan rahsialah ni?” soal Durrani pula.

Apabila soalannya tidak berjawab, Durrani menarik pinggan Zara sebelum meninggikan tangannya ke udara.

“Along! Zara nak makan ni,” rengek Zara sambil menampar paha Durrani.

“Jawab soalan Along dulu,” ugut Durrani.

Zara berdecit sekali sebelum sepotong timun diambil dan dimasukkan ke dalam mulut.

“Zara dah tak nak tipu orang dah. It’ll only makes the situation become worse. Puas hati? Bagi balik pinggan Zara,” jawab Zara.

Durrani kembali meletakkan pinggan si adik bongsu ke meja.

“Kan senang. Jawab jelah,” sampuk Rasya.

Zara tidak menjawab, sebaliknya hanya menjelirkan lidah. Dia kembali menyambung aktivitinya dengan menyuapkan nasi ke mulut.

“Baguslah, Zara. Orang dah takkan cakap benda buruk fasal Zara,” puji Puan Saidah.

Zara mengangguk-anggukkan kepalanya. Ya, dia tidak mahu digelar penipu lagi. Biarlah dia menjadi diri sendiri, itu lebih baik.

“Sya, cuba tengok jam tu dah pukul berapa.”

Rasya menyinsing sedikit lengan bajunya.

“Papa! Kenapa baru sekarang sedarkan Sya? Sya dah lambat ni!” rungut Rasya apabila menyedari dia sudah hampir terlewat ke tempat kerja.

“Sya yang asyik berborak,” balas Encik Jamaluddin. Dia tersenyum kecil melihat telatah anak-anaknya. Sudah dewasa, namun masih bersikap keanak-anakan.

“Sya pergi dulu, Pa,” ujar Rasya sambil bersalam dengan bapanya. Pipi bapanya dicium. Sudah menjadi kebiasaan anak-anak Encik Jamaluddin mencium pipi ibu dan bapa mereka sebelum keluar rumah.

“Baik-baik bawak kereta tu,” pesan Puan Saidah.

Rasya mengangkat tangan kanannya dan jari jemarinya membentuk huruf ‘O’.




ZARA melangkah masuk ke dalam pejabat sambil menghadiahkan senyuman buat semua pekerja lain. Sesekali, dia menundukkan kepalanya.

“Siapa tu?” soal Adilla sambil merapati Amani yang juga sedang memanjangkan leher, cuba mengenalpasti siapakah gerangan gadis cantik yang sedang berjalan mendekati mereka.

Good morning, Amani, Adilla. Encik Zarif dah masuk ke?” sapa Zara apabila dia sudah berada di hadapan meja Amani.

“Cik Zara?!” soal Amani dan Adilla serentak. Kedua-dua mereka terjerit kecil apabila mengetahui gadis yang cantik itu adalah Zara. Zara Sofea yang nerd dan selekeh.

Amani dan Adilla meneliti pakaian Zara dari atas ke bawah. Stiletto merah melekat pada kakinya. Dia benar-benar sudah berubah.

“Amani? Adilla?”

Teguran Zara mematikan lamunan kedua-dua gadis itu.

“Ya, ya, Cik.. Cik Zara. Ada. Eh, belum lagi. Kejap lagi masuklah tu. Cik Zara nak hot chocolate?”

“Boleh juga,” ujar Zara dalam senyuman, turut membalas senyuman Amani. Dia kemudiannya berlalu masuk ke dalam biliknya.

Tubuhnya dihempas ke kerusi empuk miliknya. Marah lagikah Zarif? Ah, harap tidak. Dia sudah menjadi dirinya yang sebenar. Benar kata Imran. Dia tidak harus berbohong. Dia sepatutnya menunjukkan dirinya yang sebenar kepada semua orang sejak awal lagi.

Zara menarik nafas panjang. Dia akan bersabar sehingga Zarif tiba di pejabat. Dia harus menerangkan perkara sebenar kepada Zarif.




ZARIF meletakkan briefcasenya ke meja. Semasa dia ingin masuk ke dalam pejabatnya tadi, dia terpandangkan Zara. Zara a.k.a Feana. Tiada lagi kaca mata tebal mahupun solekan tebal seperti selalunya. Cara pemakaiannya juga berubah seratus peratus. Seolah-olah dia bukannya Zara yang semua orang kenal.

Zarif menarik nafas dalam-dalam. Kertas-kertas kerja yang baru disiapkan semalam dikeluarkan. Fikirannya jauh menerawang, teringatkan kata-kata ibu bapanya. Mereka menyuruh dia berfikir panjang sebelum membuat keputusan. Walau apa pun, Aqilah adalah calon yang terbaik bagi mereka. Sungguh dia tersepit di antara kehendak ibu bapanya dan juga kehendak diri sendiri. Selalunya dia akan berbincang dengan Zara sekiranya dia berhadapan dengan masalah. Namun, kini dia sudah tidak mampu mempercayai Zara.

Ketukan di pintu mematikan lamunannya. Kelihatan Zara datang ke biliknya dengan mug di tangan.

“Zarif..”

Panggilan itu membuatkan hati Zarif sedikit terusik. Bahagia yang baru sahaja datang menyapa sudah pun lenyap dalam masa sekelip mata.

Wajah Zara langsung tidak dipandang. Dia berpura-pura sibuk dengan draft yang diminta oleh Tuan Irshad dua hari lepas. Draft cadangan untuk mereka cipta produk terbaru daripada Electro Holdings.

“Zarif..”

What will people think if they saw a man who’s getting married alone with another woman?” potong Zarif.

Zara dapat merasakan lututnya sedikit lemah mendengar pengakuan Zarif. Jadi, dia bakal berkahwin dengan Aqilah. Zara menarik nafas dalam. Terasa dirinya dihina Zarif. Bibirnya digigit perlahan.

Zarif langsung tidak mengendahkan perasaan Zara. Dia kembali membuat pengiraan. Electro Holdings akan membaikpulih kekurangan yang ada pada motherboard keluaran mereka dan sudah pasti penambahbaikan kali ini akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada model motherboard daripada syarikat-syarikat lain.

Zara masih lagi berdiri di hadapan Zarif. Entah apa yang ditunggu, dia sendiri tidak pasti.

Zarif mengangkat muka.

“Ada apa-apa nak cakap? Make sure you’re here atas urusan kerja,” kata Zarif apabila pandangannya bertembung dengan anak mata Zara.

Lain benar Zarif yang ini dengan Zarif yang pernah Zara kenali sebelum ini.

“Amani mintak saya hantarkan air ni pada awak. Saya keluar dulu,” ujar Zara.

Mug yang berisi kopi diletakkan ke meja. Jari jemarinya digenggam erat, demi mencari sisa-sisa kekuatan yang masih tinggal. Langkahnya laju diatur menuju semula ke pejabatnya tanpa menoleh ke belakang.

Zarif memanggung kepala. Bayangan Zara sudah menghilang di balik pintu. Dada yang terasa sakit disentuh perlahan. Rasa bersalah kerana menyakiti hati Zara sebentar tadi segera diusir. Namun, terasa hatikah Zara?




ZARA berdiri, merenung keluar. Jelas kelihatan bangunan-bangunan pencakar langit tegak berdiri di bawah langit membiru daripada tingkap kaca yang memagari pejabatnya. Dia berpeluk tubuh sambil matanya tertancap pada bangunan-bangunan konkrit di hadapan mata.

Kata-kata Zarif tadi benar-benar menghiris hatinya. Perlukah Zarif bertindak seperti kanak-kanak dengan melayannya sebegitu? Bagaimana dia harus meminta maaf dan mengaku salahnya pada Zarif sekiranya lelaki itu tidak mahu mendengar apa-apa daripadanya? Kenangan beberapa tahun lalu kembali menyapa.

 
“Hoi, budak! Berani ya kau dekat dengan Kimi?”

Suara yang menjerit itu bagaikan halilintar yang datang menyerang. Segera Zara mengurut dadanya. Terkejut mendengar sergahan itu.

“Apa maksud Akak ni?” soal Zara kehairanan.

Waktu itu dia baru sahaja berada di tingkatan empat. Memang menjadi kebiasaan untuk memanggil senior dengan panggilan ‘abang’ dan ‘kakak’. Munirah, pelajar tingkatan enam bawah yang terkenal dengan sikapnya yang suka mencari fasal dengan pelajar lain di sekolah itu datang tanpa diundang.

“Tak payah nak berlakonlah. Kau jangan ingat kau cantik, kau boleh goda mana-mana lelaki dalam dunia ni? Datang dari mana, aku pun tak tahu. Emak bapak kau tahu ke perangai busuk kau ni?”

Zara pantas berdiri. Buku tulis yang dipegangnya dihempas ke meja.

“Jangan nak babitkan parents saya dalam hal ni. Saya datang sekolah sebab nak belajar, bukannya nak menggatal!” balas Zara lantang.

Seluruh isi kelas Empat Sains 1 itu terpempan mendengar kata-kata Zara. Berani sungguh Zara berkata begitu. Memang sah Munirah akan mencari cara untuk membalas dendam.

“Kau nak tahu tak, sebab kau Kimi dah mintak clash?” marah Munirah lagi. Kali ini, suaranya diperlahankan.

Zara berpura-pura tidak mendengar, sebaliknya kembali duduk di kerusinya. Dia kembali sibuk membaca buku rujukan Biologinya.

Munirah mencekak bahu Zara sekuat hati.

“Kau jangan nak kurang ajar dengan aku. Nanti tak fasal-fasal kecantikan kau yang akan binasakan kau,” ujar Munirah dalam nada sinis. Sinis dan mengugut.

Dalam rasa terganggu dek ugutan Munirah, Zara menolak tangan Munirah yang mencengkam bahunya.

Truth or dare!” balas Zara, tak kurang juga sinisnya.

Munirah menganggukkan kepala. Ada senyum sinis yang terukir di bibir.


Zara tersedar apabila air matanya jatuh membasahi pipi. Air matanya segera dilap. Pantulan wajahnya pada cermin tingkap itu dilihatnya. Salahkah jika ditakdirkan lahir dalam keadaan ini?

If those things ever happened to you, I don’t care. I’ll still accept you no matter what.”

Zara memejamkan matanya apabila kata-kata keramat itu kembali menjengah. Sudah bertahun dia cuba melupakan semua itu. Namun, hanya sekelip mata sahaja diperlukan untuk mengimbas kembali apa yang sudah hampir dilupakan. Andai saja waktu mampu diundur..




ZARA berjalan di tepi kolam renang yang terhampar di sudut luar banglo mewah milik Dato’ Musa. Zara mendongak, merenung langit. Bulan dan bintang bersinar di dada langit yang kelam. Gadis diibaratkan secantik bulan purnama. Bukankah permukaan bulan itu berkawah?

Teringat pula dia pada Zarif. Mereka sering bertengkar tentang kaitan bulan dengan seorang gadis. Bagi Zara, tidak relevan seseorang itu diibaratkan seperti bulan. Bulan jauh nun di atas sana manakala dia berada di bawah, sering mendongak untuk mencari bulan.

Usai sahaja makan malam, keluarga Dato’ Musa dan Encik Jamaluddin masing-masing duduk berbual di ruang tamu. Zara tidak mahu ikut serta memandangkan dia tidak tahu apakah yang harus dibualkan dengan mereka. Tentu-tentu dia hanya akan menjadi pendengar setia. Demi mengelakkan dia bosan dan mengantuk, dia memilih untuk duduk di luar sahaja.

“Tak sejuk ke?”

Zara menoleh. Kelihatan Imran sudah pun berada di belakangnya. Imran menyeluk saku seluarnya apabila terasa kesejukan sudah mula mencengkam. Dengan hanya sepasang double pockets cargo pants rona hitam yang sedikit melepasi lutut dan sehelai kemeja T tanpa kolar berwarna putih, Imran tetap mampu menyerlah. Santai, namun kacak.

Zara menggelengkan kepalanya. Dia kembali mendongak dan merenung ke langit.

“Kenapa tak duduk dekat dalam je?” soal Imran apabila dia sudah mengambil tempat di kerusi kayu yang berada lebih kurang dua meter dari tempat Zara berdiri.

“Takut bosan nanti,” akui Zara.

Imran tesenyum kecil. Lampu yang terang benderang di sekitar kawasan kolam renang itu memudahkan Imran untuk melihat Zara.

Buat seketika, mereka berdua hanya diam melayan perasaan masing-masing. Secara jujurnya, Zara dapat merasakan ada jurang di antara dia dan Imran. Bukan saja dari segi kemewahan, namun terlalu banyak kekurangan yang ada padanya. Bagaimana seseorang seperti Imran mampu menyukainya? Dia dan Imran ibarat langit dengan bumi.

“Macam mana dengan kawan Zara tu?”

Zara kembali ke alam nyata apabila soalan Imran menjengah.

“Macam mana? Failed. Maybe I should tunggu dulu sampai dia okey. Just like what you’ve said before.”

Imran menganggukkan kepalanya. Dia bangun dan kembali mendekati Zara. Zara masih lagi kaku seperti tadi.

“Zara!” sergahnya.

Zara benar-benar terkejut. Badannya hampir sahaja gagal diimbangi. Mujurlah Imran cekap menangkap tangannya. Zara mengurut dada apabila Imran melepaskan tangannya. Tawa Imran benar-benar membuatkan Zara geram.

“Oh, nak kenakan Zara, ya? Come here!”

Belum sempat Imran melarikan diri, tubuhnya sudah pun terapung di udara sebelum selamat mendarat ke dalam kolam.

“Zara! Sejuklah!” marah Imran apabila kepalanya timbul di permukaan air.

Zara yang tadinya risau apabila Imran tidak muncul kini ketawa terbahak-bahak. Kasihan Imran. Basah kuyup dibuatnya. Lidahnya dijelirkan sambil ketawa geli hati.

“Zara, bila Abang naik atas tu karang, siaplah! Abang campak Zara pulak,” ugut Imran. Dia berenang mendekati tangga untuk naik. Zara sudah bersedia untuk melarikan diri sebelum..

“Zara? Im?”

Imran dan Zara saling berpandangan. Mulut Zara sudah separa terbuka. Rasya?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...