Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

03 Mei 2015

Hadirnya Cinta Terindah 13

BAGASI hitam itu ditolak ke tepi pintu bilik. Memandangkan dia seorang lelaki, barang-barangnya tidaklah sebanyak pelajar-pelajar perempuan yang merungut hendak membeli beg tambahan. Datang dengan satu beg, pulang pula dengan tiga beg. Mujurlah barang-barangnya muat ditempatkan ke dalam bagasi bersaiz sederhana besar itu.

Imran bangun dari duduknya sebelum bergerak ke katil. Beg sandang yang terletak elok di meja belajarnya dicapai. Imran duduk di birai katil sebelum buku-buku notanya dimasukkan ke dalam beg sandang. Laci meja sisi katilnya dibuka perlahan. Sebuah kotak empat segi sama diambil. Kotak itu juga dimasukkan ke dalam beg sandangnya.

Bingkai gambar yang terletak cantik di meja sisi itu pula diambilnya. Tersungging senyum kecil di bibirnya. Rasa rindu mula membuak-buak apabila teringatkan Zara. Kedinginan layanan Zara itulah yang telah memenangi hati lelaki Imran.

Mata Imran beralih pada katil bujang Nizam. Inilah malam terakhir dia dan Nizam berkongsi bilik. Empat tahun sudah berlalu, bermakna tempoh menyambung pelajaran di Pennsylvania ini sudah tamat. Empat tahun jugalah dia menjadi sahabat kepada Nizam yang gila-gila itu. Sesungguhnya kenangan di bumi asing ini akan dibawa bersama dalam meniti jalan hidupnya yang mungkin masih panjang atau pun tidak. Dan empat tahun ini jugalah yang mengajarnya apa itu erti kesabaran, kerinduan dan cinta. Mungkin juga.. mengajarnya untuk bersedia sebelum kehilangan Zara.

Gambar Zara disimpan ke dalam beg. Imran merebahkan tubuhnya ke katil, berharap agar esok bakal memberikan cahaya yang baru ke dalam hidupnya. Beberapa jam sahaja lagi sebelum penerbangan pulang ke Malaysia. Dan hatinya kian tidak keruan apabila memikirkan pelbagai kemungkinan.




ZARA meregangkan otot-otot yang sudah kendur akibat sudah tiga jam duduk tanpa sebarang gerakan selain daripada melukis pelan litar. Sudah jam lima petang. Dia harus segera pulang memandangkan malam ini Durrani akan pulang ke rumah. Janjinya dengan Puan Saidah, dia akan membantu memasak di dapur.

Kertas-kertas yang bertaburan di mejanya disusun sebelum dimasukkan ke dalam sebuah fail khas. Pen-pen dan pensel yang sudah digunakan disimpan ke dalam tempat yang sepatutnya. Usai mengemas mejanya, Zara bangun dan bergerak ke pintu. Kelihatan hanya ada beberapa orang pekerja sahaja yang masih tinggal di pejabat itu.

“Amani, awak tak balik lagi ke?” soal Zara kepada Amani yang sedang berdiri di sisi mesin fotostat.

Amani menggelengkan kepalanya. Sejenak, matanya jatuh pada pakaian yang dipakai Zara. Blaus hitam bercorak polkadot kuning dipadankan dengan skirt labuh berbunga warna merah. Cermin mata berbingkai hitam terletak elok di batang hidung.

“Saya balik dulu,” ujar Zara sebelum menolak pintu pejabat mereka.

Amani mengangguk perlahan. Kasihan Zara. Kehadirannya selalu tidak disenangi oleh pekerja-pekerja lain, termasuklah sahabat baik Amani sendiri, iaitu Adilla. Setahu Amani, Zara seorang yang baik hati walaupun pakaiannya selalu pelik.

Langkah demi langkah diatur menuju ke tempat letak kereta. Sampai sahaja di hadapan sebuah Perodua MyVi putih susu, Zara menekan alarm sebelum masuk ke dalam keretanya. Enjin kereta dihidupkan sebelum dia meninggalkan pejabatnya.

Lebih lima minit berada di dalam kereta, telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Dengan pantas, handsfree yang sudah sedia terpasang pada telefon bimbit dicapai lalu disumbat ke telinga kiri.

“Ya, Ma. Ada apa?” soal Zara setelah salamnya dijawab Puan Saidah.

“Zara tolong singgah rumah Auntie Mar. Tolong ambilkan kain pasang yang Auntie Mar minta Mama jahitkan. Mama terlupa sangat. Mama dah call Auntie Mar. Beritahu nanti Zara datang ambil,” ujar Puan Saidah.

“Okay, Ma. In shaa Allah. Zara dah on the way balik ni. Kejap lagi sampailah. Assalamualaikum, Ma.”

Talian diputuskan. Zara kembali fokus dengan pemanduannya. Dengan rasa berat hati, Zara membelokkan keretanya ke kanan jalan, menuju ke rumah Dato’ Musa. Sambil itu, beberapa helai tisu dicapai sebelum dilapkan ke muka.




“ASSALAMUALAIKUM!” laung Zara dari luar. Keretanya sudah diparkirkan di seberang jalan.

Baru sahaja Zara ingin memberi salam sekali lagi, kelihatan pembantu rumah Dato’ Musa, Kak Tipah sudah pun terkocoh-kocoh mendekatinya.

“Masuklah, Zara. Datin ada dekat dalam,” ujar Kak Tipah, mengajak Zara masuk.

Zara tersenyum dan mengangguk. Dia mengikut langkah Kak Tipah menuju ke dalam rumah mewah milik keluarga Imran. Imran? Zara mematikan langkah. Matanya terarah pada Mitsubishi Lancer merah yang terletak elok di tempat biasanya. Sudah empat tahun berlalu. Adakah dia sudah pulang?

“Zara..”

Teguran Kak Tipah itu mematikan lamunan Zara. Riak wajahnya dikawal sebaik mungkin. Bimbang pula sekiranya Kak Tipah dapat menghidu sesuatu.

Masuk sahaja ke dalam rumah, Kak Tipah membawa Zara ke dapur. Kelihatan Datin Marlia sedang sibuk mengupas bawang merah. Ingin memasak untuk makan malam barangkali.

“Assalamualaikum, Auntie,” sapa Zara sebelum berdiri di sebelah Datin Marlia.

“Waalaikumussalam! Eh, duduklah. Tak boleh nak salam Auntie. Nanti bau bawang pulak tangan Zara,” ujar Datin Marlia ramah.

Zara mengukir senyum nipis.

“Zara kejap je ni, Auntie. Zara nak ambil kain yang Mama pesan tu.”

“Rumah Zara dengan rumah Auntie dekat je. Berapa minitlah sangat. Duduklah dulu. Dah lama Auntie tak berborak dengan Zara,” pujuk Datin Marlia. Dia faham benar apa yang sedang terbuku di hati Zara. Sudah lama dia mengenali Zara. Bukannya baru semalam atau hari ini.

Dengan rasa berat hati, ditarik juga kerusi di sebelah Datin Marlia.

“Nak Zara tolong ke, Auntie?”

Datin Marlia tersenyum.

“Tak payah, Zara. Duduk aje dekat sini. Tipah, tolong potong kek yang saya buat tadi. Lepas tu awak letak dalam tupperware kek yang belum berusik tu. Boleh Zara bawak balik,” kata Datin Marlia kepada pembantu rumahnya itu.

Tanpa teragak-agak, Kak Tipah bangun menurut arahan majikannya itu.

“Auntie ni buat susah-susah je,” ujar Zara.

Bagaimana agaknya cara untuk dia menolak budi Datin Marlia sekeluarga? Dia tidak mahu terhutang budi dengan keluarga ini. Mereka sudah cukup baik terhadap Zara dan ibu bapanya.

“Tak susah, Zara. Auntie memang saja buat lebih. Lagipun Durra balik, kan? Tak payahlah Mama Zara buat dessert dah.”

Zara kehilangan kata-kata. Akhirnya dia tersenyum, membalas senyuman yang bergayut di bibir Datin Marlia.

“Ma! Mana baju Im yang..”

Imran terdiam apabila terpandangkan Zara yang sedang duduk di sebelah ibunya. Kini, kematangan semakin terserlah di wajah gadis itu. Rindunya pada Zara seakan terubat apabila wajah Zara menjadi santapan matanya. Dia kemudiannya melarikan pandangan apabila Zara merenungnya.

“Baju apa, Im? Semua baju Im Mama dah letak dalam closet Im. Cari elok-elok,” ujar Datin Marlia tanpa melihat ke arah anaknya.

Zara segera tunduk apabila menyedari Imran hanya bertuala sahaja, tanpa baju. Terselah tubuhnya yang berotot. Namun begitu, tubuhnya tidaklah terlalu tegap.

Imran yang hairan dengan pandangan Zara merenung ke tubuhnya. Patutlah muka Zara merah. Dengan pantas, Imran berlari naik ke biliknya. Malu pula dia apabila Zara melihatnya dalam keadaan begitu.

“Kenapa Zara?”

“Tak ada apa-apa, Auntie,” bohong Zara.

Datin Marlia tersenyum sebelum Kak Tipah menyuakan sepotong kek kepada Rania. Zara mencapai piring yang dihulurkan sambil tersenyum kecil. Kek pisang coklat disudu perlahan sebelum dikunyah. Sungguh lembut. Tidak hairanlah. Bukankah Datin Marlia memang pandai memasak?

“Auntie, Zara rasa Zara kena baliklah. Kejap lagi Along balik. Nanti risau pulak Mama dengan Papa kalau Zara tak ada. Zara balik dululah,” ujar Zara, meminta diri setelah sepotong kek selamat dimakannya.

Datin Marlia turut bangun.

“Kejap, Auntie ambilkan kain tu, ya.”

Datin Marlia segera menghilang di balik pintu. Kak Tipah datang mendekati Zara dengan sebuah tupperware segi empat tepat.

“Zara, ini kek Datin suruh bungkus tadi,” ujar Kak Tipah sebelum menghulurkan bekas itu kepada Zara.

Zara tersenyum.

Thanks, Kak Tipah,” ucap Zara sebelum berlalu ke ruang tamu.

“Zara, ini kainnya. Cakap dengan Mama Zara, lambat sikit pun tak apa,” ujar Datin Marlia. Beg plastik yang berisi kain pasang itu diberikan kepada Zara.

“Okay, Auntie. Zara balik dulu, ya?”

Tangan Datin Marlia dikucup lembut sebelum pipinya dicium lembut oleh Datin Marlia. Tersipu-sipu Zara dibuatnya.

Sampai sahaja di keretanya, Zara memboloskan diri masuk ke dalam. Baru sahaja enjin kereta dihidupkan, kelihatan Imran yang kacak berkemeja Polo warna merah berseluar hitam sedang berpeluk tubuh, bersandar pada pintu rumah. Zara berpura-pura tidak melihat. Laju sahaja MyVi putih Zara meninggalkan kawasan perumahan elit itu.




“IM, bukan main lagi tenung anak dara orang?”

Imran yang sedang bersandar tadi segera berdiri tegak. Dia sudah biasa mendengar usikan ibunya tentang Zara. Berbunga hatinya apabila wajah gadis itu yang dilihatnya semasa dia turun dari biliknya sebentar tadi.

“Nak buat macam mana, Ma. Nak pegang tak dapat. Pandang jelah,” balas Imran dalam senyuman.

“Mama hairanlah dengan Im. Sejak balik dari Amerika, Im asyik senyum je. Dah lain benar dari dulu.”

Imran tersengih. Dia berjalan ke bahagian ruang tamu luar diikuti dengan ibunya. Dia duduk di kerusi kayu jati yang menghiasi ruang itu.

“Agaknya sebab Im pernah duduk sekali dengan Nizam. Mama tahulah si Nizam tu. Kalau Im diam, tak sah. Dah terbawak-bawak.”

Datin Marlia tersenyum kecil.

“Mama ingatkan anak Mama ni nak kahwin dah. Itu yang happy semacam je Mama tengok. Kalau Im nak, Mama boleh ajak saudara-mara kita ke rumah Zara. Dia tu single lagi. Macam dulu-dulu. Mama risaulah, Im. Zara tu budak baik. Ramai orang nakkan dia. Mama risau Mama kempunan nak bermenantukan dia,” ujar Datin Marlia.

Sebenarnya, sejak Imran berada di Philadelphia lagi Datin Marlia sudah bercadang untuk merisik Zara untuk Imran. Tetapi, Rasya masih belum tahu akan hal yang sebenar. Bimbang pula Datin Marlia sekiranya ketiadaan Imran di tanah air akan menyebabkan pergaduhan di antara Zara dan Rasya. Dia kenal benar dengan Zara dan Rasya. Zara lebih bersopan dan pendiam berbanding dengan Rasya yang lincah dan lantang. Berbeza sungguh dua beradik itu.

“Entahlah, Ma. Im pun tak ada cakap apa-apa dengan Zara. Kalau boleh, Im nak sangat jadikan dia menantu dalam rumah ni. Im pun dah nak masuk dua puluh sembilan tahun. Tapi itulah.. Zara. Dia tu muda lagi.”

Datin Marlia mengangguk perlahan.

“Tapi.. kalau Im belum cuba, macam mana Im nak tahu? Im pun bukannya muda lagi. Itu yang Mama risaukan. Macam inilah.. nanti Mama jumpa dengan emak Zara, cuba bincangkan,” usul Datin Marlia.

Imran menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

“Kalau dia terima. Mama pun tahu, Zara tu degil,” balas Imran.

Jauh di sudut hati, dia gembira dengan kata-kata ibunya. Namun, ada kerisauan yang bertapak di dasar hatinya. Adakah Zara akan menerimanya? Ya, dialah si pengkhianat cinta Rasya. Pasti Rasya akan berasa marah kerana gadis yang dicintai Zara adalah adik kandungnya sendiri. Dia tidak kisah jika Rasya membencinya, asalkan bukan Zara yang menjadi mangsa kemarahannya.

“Im jangan risau ya.”

Imran mengangguk.




ZARA melunjurkan kakinya sambil matanya merenung kaca televisyen. Hampir tembus kaca televisyen itu dek kerana renungannya. Sudah hampir dua jam Zara berkeadaan begitu. Semua ahli keluarganya sudah pun tidur, kecuali dia.

“Adik! Tembus TV tu!”

Sergahan Durrani membuatkan Zara mengurut dada. Segera dia menurunkan kakinya. Durrani duduk di sofa yang bertentangan dengan adiknya itu.

“Along tak tidur lagi?” soal Zara.

Durrani tersenyum sebelum menggelengkan kepalanya.

Kasihan Durrani. Sudah dua tahun dia mendirikan rumahtangga bersama lelaki pilihannya iaitu Naim. Namun panas yang disangka ke petang rupanya hujan di tengah hari. Kasih yang disulam sejak bertahun lagi disangka akan kekal sehingga ke nafas terakhir rupanya ternoktah di sini sahaja. Kini, Durrani sudah pun berpisah dengan Naim. Semuanya gara-gara Naim yang terlalu mendengar kata-kata ibunya. Durrani tahu, taraf hidupnya yang datang dari keluarga sederhana yang membuatkan keluarga Naim membencinya.

“Along tak mengantuk lagilah,” balas Durrani.

Zara mengangguk. Buat kesekian kalinya, dia hanyut lagi dalam emosinya.

“Zara.. kenapa ni? Ada masalah?”

Zara terdiam.

“Ada, Along,” jawab Zara lemah.

Zara bangun dan duduk di sebelah kakaknya. Kepala dilentokkan ke bahu Durrani.

Now, cerita dekat Along apa masalah Zara.”

Perbualan di antara dua beradik itu berterusan buat beberapa jam.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...