Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

08 Ogos 2019

Tapi Bukan Aku 1

RANIA INSYIRAH berjalan menuruni anak tangga, menuju ke stokis Harvey Norman yang berada di lower ground floor. Pagi tadi dia sudah bersusah-payah mengemas bilik abangnya, Ameer. Ameer akan pulang ke Malaysia esok. Sudah tiga tahun Ameer tinggal di Amsterdam buat empat tahun sebelum pulang bekerja dengan datuk mereka.

Langkah kakinya dihalakan ke pintu utama stokis itu. Usai sahaja mengemas apa yang patut, Rania teringat akan speaker di dalam biliknya yang sudah rosak. Sudah lama dia ingin mencari speaker itu, namun dia tidak mempunyai masa memandangkan dia sibuk dengan urusan syarikat datuknya, Tuan Haji Ihsan. Selepas kepulangan abangnya, mungkin bebanan yang dirasakan oleh datuknya pasti akan berkurangan. Rania tersenyum senang.

Baru sahaja ingin melangkah ke arah tempat yang mempamerkan pelbagai jenis speaker, kakinya terlanggarkan kotak-kotak yang tersusun rapi. Cepat-cepat Rania mengimbangi tubuhnya. Kalau tidak, sudah tentu dia dijadikan bahan ketawa. Jatuh tersungkur di hadapan pelanggan-pelanggan lain. Kalau benar itu terjadi, di manalah dia mahu menyorakkan muka nanti? Menyedarkan kotak-kotak radio itu sudah bersepah di lantai, Rania membongkok, cuba mengemaskan kembali kotak-kotak itu.

“Tepilah!” jerit seorang lelaki dari belakang.

Rania lekas-lekas berdiri tegak, terkejut dengan sergahan itu.

“Maafkan saya, Encik. Saya tak sengaja,” pohon Rania.

Kelihatan jejaka itu mengenakan sehelai kemeja berwarna putih dan hijau berlengan pendek. Pekerja di situ barangkali. Wajahnya nampak garang. Rambutnya yang panjang tidak melepasi bahu diikat di bahagian belakang. Bang di bahagian depan rambutnya disikat kemas. Rania menelan air liur sebaik sahaja matanya berlaga dengan pandangan seperti singa lapar itu.

“Kau kenapa, Samad?” tanya seseorang. Mungkin juga salah seorang pekerja di situ. Tetapi, lelaki berkaca mata ini mengenakan sepasang jaket kulit di bahagian luar uniform pekerja.

Samad? Rania tersengih.

“Ada orang berjalan tak pakai mata,” balas ‘Samad’ sambil tangannya ligat menyusun kotak-kotak itu ke tempat asalnya.

Rakannya itu tergelak.

“Yang kau garang sangat tu, kenapa? Semua yang dekat sini customer kita. Kenalah layan baik-baik. Sabar,” nasihat rakannya.

“Aku bukan apa, Sameon. Aku letih sebenarnya. Hari ni je dah tiga kali aku susun tempat yang sama. Hisyy! Geram aku,” marah Samad. “Lagi payah kalau ada customer yang macam ni. Kalau rosak, nak ganti?” marahnya pada Rania.

“Encik.. kan saya dah mintak maaf?” Rania pula bersuara. Geram apabila digertak-gertak oleh Samad.

“Ingat cukup ke minta maaf? Eee..” Samad sudah berdiri, menggenggam penumbuk. Nasib baik perempuan. Kalau tak, dah lama aku debik.

“Eh, eh! Gila ke apa? Takkan nak pukul perempuan? Bawak bersabar, Samad,” ujar Sameon pula, cuba menenangkan sahabat baiknya itu.

“Apa hal ni, budak berdua?” tegur satu suara.

Seorang lelaki berkemeja lengan panjang datang menghampiri mereka bertiga. Tangannya dimasukkan ke dalam saku seluar. Mungkin berpangkat lebih tinggi daripada mereka berdua.

“Tak ada hal, bro. Kotak-kotak radio jatuh je,” jawab Samad tanpa memandang ke arah lelaki tersebut.

“Itulah, lain kali hati-hati. Jenuh aku nak menjawab dengan Si Misai. Tak pasal-pasal kita bertiga kiok.”

Lelaki itu membantu Samad dan Sameon mengemas kotak-kotak itu kembali.

Yes, Miss. What can I help you?” tanya lelaki yang memakai tanda nama Azli itu setelah mereka selesai meletakkan kotak-kotak radio di tempat yang sepatutnya.

“Oh.. saya nak cari speaker. Home theatre,” balas Rania setelah beberapa ketika.

Jom ikut saya,” ajak Azli ramah.

Sebelum melangkah pergi, sempatlah Rania menghulurkan sekeping kad kepada Samad, namun tidak bersambut.

Nak buat apa dengan kad kau ni?” tanya Samad dengan nada sombong.

“Tadi awak cakap, kalau rosak, awak nak saya bayar balik harga radio-radio ni semua, kan? So, kalau ada yang rosak, call saya.”

Sekeping kad berwarna putih diletakkan ke atas salah satu kotak memandangkan Samad dan Sameon langsung tidak menghiraukannya.

Rania melangkah pergi, meninggalkan dua orang manusia yang mungkin berasal dari planet Pluto. Sebenarnya, bukan mereka berdua. Cuma seorang sahaja. Siapa lagi kalau bukan si Samad?


“IRFAN! Sini!” panggil Azli pada Irfan. Dia sudah pun memilih tempat duduk dengan Shamer di kawasan food court itu.

Seperti biasa, tiga sekawan ini pasti akan makan bersama. Sudahlah tinggal bersama, kerja bersama, dan segala yang dilakukan pasti akan dibuat bersama. Usia perkenalan mereka baru sahaja mencecah tiga tahun, namun lagaknya seperti sudah kenal selama tiga belas tahun.

Tadi Irfan ke tandas dan dia sudah memesan kepada mereka berdua untuk membelikan nasi goreng tom yam kegemarannya. Irfan berjalan ke arah Azli dan Shamer. Dia mengambil tempat duduk di sebelah Shamer.

Irfan duduk dan mula makan perlahan-lahan. Lapar benar dirasakan memandangkan dia tidak makan apa-apa sejak pagi lagi.

“Eh, tadi boss panggil kau, dia nak apa?” tanya Shamer pada Azli. Teh ais disedut dengan straw.

“Tak ada apa-apalah. Dia suruh aku tanya Irfan, ada masalah ke? Sebab lately Irfan nampak penat, selalu marah-marah katanya,” jawab Azli.

Shamer mengangguk.

“Aku okey je. Just kadang-kadang aku rasa macam banyak benda nak kena buat. Tak tahulah apa dia,” jawab Irfan jujur. Sesak dadanya memikirkan masalah yang silih berganti.

“Ye ke okey? Aku tak rasa kau okey. Kau dengar sini. Aku tak tahu sangat nak bagi nasihat dekat orang. Hidup aku pun tunggang-langgang. Tapi kau kena ingat, keluarga tu segalanya untuk kita. Sabar. Allah takkan bagi ujian pada manusia yang tak mampu nak going through dengan dugaan yang bakal dihadapinya,” nasihat Shamer.

Ahmad Shamer bin Abdul Halim. Dia yang lebih senang digelar Sameon adalah seorang lelaki yang baik hati dan dilahirkan dalam keluarga sederhana. Disebabkan sifatnya yang suka menasihati, dia menjadi tempat mengadu rakan-rakannya. Dia tidaklah berkopiah mahupun bersongkok, tetapi cukuplah sekadar menjadi pengingat mereka untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim yang sempurna. Shamer pernah menyambung pelajaran sehingga ke peringkat ijazah dalam bidang business management di Universiti Teknologi MARA. Atas sebab tidak mahu menjadi penganggur, Shamer lebih rela menjadi seorang pekerja biasa demi membantu keluarganya. Di antara mereka, dialah yang paling kelakar. Sikapnya yang ada kala lurus bendul itulah yang membuatkan Irfan dan Azli tidak kering gusi apabila mereka berkumpul.

Azharul Azli bin Aman. Ya, itulah nama pengurus mereka yang merangkap kawan baik mereka. Dia lebih gemar dikenali dengan nama Azli. Azli merupakan anak yatim piatu dan umurnya baru shaja mencecah dua puluh enam tahun. Dia pula memiliki ijazah dalam perakaunan. Azlilah yang paling cool di antara mereka semua.

Samad pula? Nama penuhnya Tengku Hariz Irfan bin Tengku Azhar. Sebenarnya, Samad adalah gelaran rakan-rakan sekerja buat Irfan kerana dia suka memanggil orang lain dengan nama Samad. Akhirnya, dia sendiri yang dapat nama Samad. Mereka bertiga masing-masing berusia dua puluh enam tahun. Irfan baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Business Administration di peringkat Master. Sejak kecil, dia sudah hidup sendirian tanpa bantuan sesiapa. Dan itulah yang menjadikan dia seorang lelaki yang kental dan berdikari. Segalanya dirahsiakan dari pengetahuan semua orang, termasuklah Azli dan Shamer. Rahsia yang rasanya tidak perlu diceritakan. Dia memang malas membuka mulut tentang keluarganya. Bagi Irfan, dia tidak lagi punya keluarga.

“Aku tahu. Tapi, aku still belum boleh terima semua ni,” jawab Irfan lemah setelah nasi di pinggannya sudah habis dimakan.

“Kau kena terima suratan takdir, Irfan. Allah SWT Maha Agung. Mungkin kau yang kena bawak family kau ke jalan yang betul. Aku bukan nak paksa kau buat benda yang kau tak suka. Tapi, aku yakin kau dah cukup matang nak hadapi dugaan macam ni,” tokok Azli, cuba memberi galakan pada sahabatnya itu.

Sejak akhir-akhir ini, Irfan sudah banyak berubah. Dahulu, dia seorang lelaki yang penyabar dan banyak membantu orang lain. Tetapi kini, semuanya sudah berubah. Seolah-olah Irfan yang dahulunya sudah menghilangkan diri dan digantikan dengan Irfan baru yang pendiam dan cepat naik angin. Salah sedikit sahaja, pasti orang itu ditengking dengan kuat tanpa memikirkan perasaan mereka.

Irfan menarik nafas panjang.

“Entahlah. Berjuta kali aku try cari mana silapnya dengan diri aku yang sekarang ni. Tapi semua sia-sia,” balas Irfan, cuba berterus-terang.

Azli dan Shamer berpandangan sesama sendiri. Ada riak kecewa dalam nada suara sahabat mereka itu.

“Sebenarnya, aku pelik dengan kau. Kenapa kau tinggalkan rumah without any reason? Kalau kau jadi aku pun, mesti kau pelik. Yelah, anak orang kaya macam kau ni kerja biasa-biasa je. Pada hal family kau ada syarikat sendiri. Kau boleh kerja dengan family kau je,” Shamer pula bersuara. Cuba mengorek sesuatu dari dalam diri Irfan.

Irfan memandang rakan-rakannya silih berganti. Kalaulah korang berdua tahu macam mana pedihnya hidup aku, mesti korang takkan percaya, bisik Irfan dalam hati. Seketika kemudian, dia mengangkat bahu.

Azli menggeleng perlahan. Peristiwa beberapa hari lepas kembali mengganggu pancainderanya.

“Kenapa Irfan perlu patuh dengan cakap Papa?” bentak Irfan geram. Tin yang masih berisi minuman 100 Plus itu digenggam sedikit kuat. Wajahnya merah padam, menahan marah yang mula meresap ke seluruh pelusuk jiwanya.

“Sebab Irfan anak Papa. Irfan bukan anak orang lain. Irfan anak Papa dan Mama,” balas lelaki yang berkaca mata itu. Rambutnya sudah mula ditumbuhi rerambut bewarna putih. Namun, dia masih kelihatan segak.

“Anak Papa? Papa kata Irfan ni anak Papa? Bukan. Irfan bukan anak Papa dengan Mama. Irfan ni tak ubah macam anak pungut, kan?” suara Irfan mula bergetar menahan marah, namun nada suaranya dikawal agar dia tidak mengganggu pengunjung pusat membeli-belah itu. Kalau diikutkan hati, sudah lama dia menjerit, melepaskan rasa sakit hatinya.

“Irfan, maafkan Papa dengan Mama. Baliklah, nak. Ya?” lelaki itu masih belum puas memujuk. 

Biarlah dia dijerkah, dimarah ataupun dimaki hamun. Dia layak menerima itu semua.

Irfan menggeleng perlahan. Bibirnya mengukir senyuman sinis.

“Apa gunanya kalau Irfan balik ke sana pun? Kalau betul Papa kata Irfan ni anak Papa, Papa nak tengok hidup Irfan hancur? Hancur sebab balik ke rumah tu? Irfan cuma beban pada Mama dan Papa. Kan? Irfan ni anak yang tak berguna. Anak kesayangan Papa dan Mama ke mana? Mana dia?” soal Irfan bengang.

Tengku Azhar tunduk merenung cawan yang berisi kopi panas. Bibirnya seakan-akan terkunci untuk menjawab persoalan anaknya itu.

“Papa pun tak boleh nak jawab, kan? Sebab Papa nak lindungi Fariz? Tak payahlah, Pa. Rasanya dia dah boleh pikul tanggungjawab tu. Bagi ajelah jawatan itu pada dia. Irfan tak layak untuk itu semua. Assalamualaikum.”

Sempat dia berjabat tangan dengan bapanya sebelum melangkah pergi dengan perasaan yang bercampur-baur.

“Hoi, Azli. Jomlah,” suara Shamer mematikan lamunan Azli. Azli mendongak, mencari wajah Irfan dan Shamer yang sudah pun berdiri.

“Ke mana?” soal Azli bingung.

Ketawa Irfan dan Shamer pecah apabila melihatkan aksi Azli yang nampak blur.

“Solatlah kawan. Ke mana lagi,” jawab Irfan dalam tawa.

Azli bingkas bangun, mengekori langkah Irfan dan Shamer. Macam mana nak tanya pada Irfan ni? Nak cakap aku terdengar ke perbualan dia dengan bapak dia? Kalau dia marah macam mana? Nak tanya atau tak? Soalan-soalan itulah yang menemani Azli sehingga dia tiba di pintu surau pusat membeli-belah itu.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...