Followers

MAKLUMAN! MAKLUMAN! MAKLUMAN!

Untuk makluman semua yang masih sudi membaca blog Cik Rimau, mulai 26 Ogos 2013 ni Cik Rimau akan mula post entri novel hasil tulisan arwah adik. Ada sesetengahnya dah siap ditulis. Ada jugak yang baru siap separuh jalan. InsyaAllah Cik Rimau akan cuba habiskan novel-novel yang tertangguh tu. (Ada sesetengah novel ditulisnya hasil idea Cik Rimau. So, maybe boleh tolong sambung.) Harap korang enjoy. Kalau ada sebarang kritikan dan komen untuk penambahbaikan amatlah dialu-alukan. :-)

08 Ogos 2019

Tapi Bukan Aku 2

RANIA berbaring. Sebuah senyuman terukir di bibirnya. Jam di dinding dikerling sekilas. Sudah jam sepuluh malam. Pasti datuknya dan Ameer masih lagi berbual-bual di ruang tamu. Maklum sajalah, sudah lama tidak bertemu. Sudah pasti Ameer dan Tuan Haji Ihsan akan menghabiskan masa dengan berbual-bual. Tambahan pula esok hari Ahad. Hari cuti. Pastilah perbualan antara mereka berdua berlarutan hingga ke pagi.

“Nia..” kedengaran pintu biliknya diketuk dari luar.

“Masuklah,” panggil Rania. Pasti itu kakaknya, Darlina.

“Haa.. buat apa tu, Nia?” soal Darlina setelah mengambil tempat duduk di sebelah adiknya. Pintu bilik sengaja dibuka, menandakan yang mereka masih belum tidur.

“Tak ada apa-apa, kak. Nia tengah baca novel ni. Macam best pulak,” balas Rania setelah meletakkan novel yang sedang dibacanya ke sisi katil. Alat kawalan jauh televisyen dicapai lalu butang on ditekan dengan ibu jari. Balik-balik filem Avatar, rungut Rania dalam hati.

“Kalau baca novel tak apa. Jangan asyik teringat dekat Danny dahlah,” usik kakaknya.
Macam tau-tau je Kak Alin ni, bisik Rania sendirian.

“Mana adalah, Akak. Nia tengah baca novel. Tadi nak masuk bilik Akak, Akak tengah mandi. Nia duduklah dalam bilik Nia.”

Darlina mengangguk.

“Akak belum ada masa lagi nak berbual dengan Abang Ameer. Busy je dia dengan Atuk,” rungut Darlina. Sebiji bantal berbentuk empat segi sama diambil lalu dia turut berbaring di sebelah adiknya.

“Biasalah. Businessmen. Memanglah macam tu. Ada je hal nak dibincangkan. Haa.. baik Akak bincang dengan Nia.”

Darlina mencebik. Bilik adiknya diperhatikan penuh minat. Dindingnya dicat dengan warna merah jambu pelbagai tona. Hiasan bilik itu tidak nampak serabut. Yang ada hanyalah sebuah televisyen yang diletakkan bertentangan dengan katil, meja tempat Rania menempatkan buku-buku, novel-novelnya serta komputer-komputer miliknya. Itupun di sudut kanan bilik itu, menghala ke pintu kaca yang menghadap ke kolam renang. Bilik Rania berhadapan dengan kolam renang rumah itu. Rania selalu duduk di balkoni sambil membaca buku. Ada juga sebuah meja bewarna putih dengan dua biji kerusi yang berwarna merah diletakkan di bahagian kiri bilik.

Di hadapan televisyen, ada ruang yang disediakan untuk menonton televisyen. Karpet berbulu tebal berona kelabu dihamparkan dengan dihiasi bantal-bantal berwarna-warni. Katilnya pula diperbuat daripada kayu. Katil itu menggunakan ruang yang agak besar memandangkan Rania memilih untuk menggunakan katil jenis kontemporari tanpa kaki. Dia sukakan rekaan moden, tetapi dalam masa yang sama, comel. Bilik menempatkan pakaian-pakaiannya dibina di bahagian belakang katilnya, bersambung dengan bilik mandi. Bilik pakaiannya dan bilik mandi di bilik itu hanya dipisahkan dengan dinding konkrit sahaja.

“Eh, Nia. Nia kenal tak dengan Lily?” tanya Darlina tiba-tiba.

“Lily? Liliana Datuk Omar?”

Darlina mengangguk laju.

“Nama tak nak kalah, kan? Tadi Akak jumpa dia. Dia datang dekat butik Akak. Bukan main lagi dia sekarang ni,” Darlina mula membuka cerita. Naik meluat apabila mengingatkan perempuan yang seorang itu.

“Kenapa dengan dia, Kak Alin? Dah lama Nia tak dengar cerita fasal dia. Macam mana dia boleh sesat ke butik Akak?”

Rania yang tadinya berbaring, sudah pun bertukar kedudukan. Dia duduk menghadap kakaknya.

“Itulah. Akak pun hairan. Tiba-tiba tadi, dia masuk butik Akak, complain fasal baju-baju tu. Tekanan jugaklah Akak dibuatnya. Macam-macam hal. Nasib baiklah workers Akak yang dua orang tu ada. Nana dengan Fira. Dioranglah tukang jawab soalan-soalan dia.”

Rania mengangguk. Tangannya ditopangkan ke dagu sambil sikunya menyentuh bantal yang diletakkan di pahanya.

“Tak ada cerita lain ke fasal dia? Manalah tahu, kot-kot dia nak kahwin. Nak tempah baju dekat Akak,” duga Rania.

“Akak pun tak tahulah, dik. Dia asyik on call je. Borak-borak dengan siapa entah. Babylah, honeylah.. eishhh! Meluat Akak. Kalau adik Akak tu, Akak belasah je. Mengada-ngada sangat. Macam ulat bulu. Geli Akak. Tahu tak, semua dia cuba, semua dia tak berkenan,” rungut Darlina.

“Dia memang macam tu, Kak. Nak buat macam mana. High tastes la katakan,” sindir Rania.
Darlina tertawa. Ada-ada saja Rania.

“Alin, Nia.. buat apa ni? Kenapa tak tidur lagi? Bergosip?” soal Zarina sambil berjalan ke pintu. Sebuah dulang turut dibawa ke bilik itu.

Rania bingkas bangun, membantu ibu saudaranya. Darlina mengikut jejak langkah adiknya ke bahagian menonton bilik itu. Semua lampu di bilik itu sudah terang-benderang semula. Mereka bertiga duduk bersila.

“Tak adalah, Mak Su. Cerita fasal Lily tu,” balas Darlina.

“Lily mana?” soal Zarina lagi.

“Liliana Datuk Omar,” jawab Rania dan Darlina serentak.

Zarina tergelak kecil.

“Mana Mak Su tahu Nia dengan Kak Alin belum tidur lagi?” tanya Rania. Sebuah meja kecil diambil lalu kaki-kaki meja itu ditegakkan. Dulang yang berisi kek keju blueberry dan tiga cawan coklat panas diletakkan di atas meja itu.

“Mak Su dengar suara korang berdua tadi,” jawab Zarina sambil tersenyum.

“Pak Su mana? Kek ni Mak Su buat sendiri ke beli?” Darlina memotong kek itu lalu memasukkan potongan-potongan kek itu ke dalam pinggan.

“Pak Su tengah berborak dengan Atuk koranglah. Dengan Ameer. Kek ni Mak Su beli je. Mak Su nak buat tadi, tapi tak cukup bahan. Masa keluar beli barang dapur dengan Pak Su tadi, Mak Su belilah sekali. Sedap ni. Mak Su dah rasa tadi masa potong nak hidang dekat Atuk.”

Darlina dan Rania mengangguk. Sepotong kecil kek disuapkan ke mulut.

“Sedap!” jerit Darlina dan Rania serentak.

Zarina hanya ketawa melihat reaksi kedua beradik itu. Dia turut menyuap kek ke bibir. Itulah rutin harian mereka. Duduk berbual sama ada di bilik Rania ataupun Darlina sambil makan. Dan itulah yang mengeratkan hubungan kekeluargaan antara mereka.


“IRFAN, dah makan?” tegur Azli. Topi keledar di tangan diletakkan ke almari yang berada di sebelah kiri pintu. Shamer yang berada di belakang mengunci pintu dan turut melakukan hal yang sama.

“Makan roti jelah,” pandangan mata Irfan masih terarah pada kaca televisyen.

“Nasib baiklah. Kitorang ada tapau tiga bungkus nasi goreng ayam ni. Jom makan sekali,” pelawa Shamer.

Mendengarkan perkataan makanan, Irfan tersengih. Begitulah kehidupan seharian mereka bertiga. Pasti di antara mereka bertiga akan pulang lewat kerana mengikut shif yang ditetapkan. Hari ini Irfan pulang jam tujuh petang, manakala Shamer dan Azli pula tamat shif jam sepuluh malam. Irfan bangun, mengikut dua sahabatnya itu ke meja makan.

Shamer bergerak ke dapur untuk mengambil sudu dan gelas. Irfan pula mengeluarkan jag yang berisi air sejuk. Apabila terbuka sahaja polisterin itu, bau nasi goreng ayam yang menyelerakan itu benar-benar menggoda tekak Irfan. Usai sahaja menyebut lafaz basmallah, sesudu nasi selamat mendarat di dalam mulutnya.

“Sedapnya. Korang beli dekat mana ni?” tanya Irfan sebelum meneruskan suapannya.

“Beli dekat tempat biasalah. Maklumlah, bila lapar semua sedap,” balas Azli sambil tersengih.

“Itulah. Sedap semacam je aku rasa ni,” tambah Irfan lagi.

Dalam beberapa minit sahaja, tiga sahabat itu sudah selesai makan.

“Irfan, tadi ada orang cari kau,” Shamer mula bersuara, mematikan keheningan yang baru tercipta.

“Ada orang cari aku? Siapa?”

“Ayah kau,” sampuk Azli tiba-tiba. Gelas yang sudah kosong diletakkan ke meja.

Irfan dan Shamer memandang ke arah Azli. Irfan mengerutkan dahi. Azli kenal dengan papa aku? Begitu juga dengan Shamer. Dia kehairanan.

“Hari tu aku ternampak kau dengan ayah kau dekat cafe. Aku dengar kau panggil lelaki tu papa. That’s mean, ayah kaulah,” ujar Azli tenang. Sudah malas dia ingin menyimpan persoalan itu. Biarlah dia berterus-terang.

“Jadi, kau dah dengarlah semuanya?” mata Irfan tertancap pada raut tenang Azli.

“Ya. Maafkan aku, Irfan. Aku tak sengaja. Aku cari kau sebab aku nak tanya berapa banyak stock speaker yang sampai,” jawab Azli.

Irfan mengeluh berat.

“Hal apa ni? Kenapa aku tak tahu?” tanya Shamer. Pandangannya silih berganti, memerhatikan Irfan dan Azli.

“Tengku Azhar. Lelaki tu yang aku panggil Papa sejak kecil. Lelaki yang tak pernah pedulikan keinginan aku, kehendak aku. Anak kandung dia. Ayah yang langsung tak pedulikan aku. Tanpa sebab. Kalau ada pun, sebab anak bongsu dia. Anak tak guna tu,” bentak Irfan. Segala rahsianya akan dibongkarkan. Biar mereka tahu akan kesusahan hidupnya.

“Korang tahu apa gunanya seorang ayah tu? Lindungi anak dia, berikan kasih sayang. Tapi aku tak pernah rasa semua tu. Azli, kau beruntung. Orang yang membesarkan kau sayangkan kau. Aku? Setitik kasih sayang pun aku tak pernah rasa. Masa budak-budak lain habiskan masa dekat padang, apa yang aku ada? Aku just duduk dekat hujung padang. Tengok budak-budak tu bermain dengan ibu bapa mereka. Masa hari penyampaian hadiah, hari tandatangan buku kecemerlangan anak-anak, tak ada pun antara papa aku ataupun mama aku yang datang. Aku kerja bila aku masuk ke sekolah menengah. Tak ada siapa kisah bila aku balik lambat ataupun aku tak balik rumah. Aku ada ke, aku tak ada, semuanya sama. Pernah sekali, aku kena tangkap dengan polis sebab diorang ingat aku terlibat dengan kes gaduh. Depan semua orang, aku kena tampar, kena pukul sampai aku terpaksa dibawa ke hospital. Papa aku sendiri yang pukul aku. Adil ke aku dipukul sebab something yang aku tak buat? Sejak tu, aku hidup sendiri. Sekali pun aku tak pernah mintak duit and tak pernah sekalipun family aku cari aku. Apa yang adik aku buat, semua betul. Dia dapat semua yang aku tak dapat, tapi dia masih rasa dengki dengan aku. Lebih baik aku hidup macam ni daripada hari-hari aku kena marah, kan?” terang Irfan panjang lebar. Wajahnya masih tenang seperti tadi.

“Aku tak tahu, Irfan. Aku ingatkan..”

“Tak apalah. Aku dah biasa hidup macam ni. Korang tak payahlah rasa kesian dengan aku,” laju sahaja Irfan memotong kata-kata Azli. Sudah jenuh dia mendengar kata-kata belas daripada orang lain, bukan keluarganya sendiri.

“Kenapa kau rahsiakan hal ni daripada kitorang? Tiga tahun kau diamkan. Lama tu, bro,” Shamer menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Entahlah. Aku tak nak orang lain rasa susah hati sebab aku,” balas Irfan jujur.

“Tapi kitakan kawan. Kawan sampai bila-bila. Kau relakslah. Cerita aje pada kitorang. InsyaAllah kitorang akan dengar,” Shamer menyambung kata-katanya tadi.

“Yelah, Irfan. Kitorang sudi dengar. Apa gunanya kawan kalau tak boleh dengar masalah kawan? Cukuplah jadi pendengar even tak boleh tolong settlekan,” tambah Azli.

Irfan tersenyum.

“Baru-baru ni papa aku datang sebab nak aku balik ke rumah. Suruh aku uruskan syarikat. Dia tak takut ke aku jahanamkan syarikat tu? Mana anak kesayangan mereka? Kenapa nak aku balik?”

Azli menarik nafas panjang.

“Adalah sebab tu. Kalau tak, takkanlah ayah kau datang cari kau. Ingat, Irfan. Seburuk mana pun ibu ayah kita, mereka tetap ibu ayah kita. Kalau tak ada ibu ayah, kita takkan lahir ke dunia ni. Aku tak tahu apa kau rasa sebab aku bukan di tempat kau. Yang pasti, kau mesti sedih, sakit hati. Ya tak? Apa pun, itu orang tua kau. Aku sokong semua keputusan yang kau buat. Tapi, aku doakan agar satu hari nanti kau akan maafkan ayah dengan ibu kau. Tempat yang terbaik selain di sisi ibu bapa, di sisi ibu bapa,” nasihat Azli.

Shamer mengangguk, tanda bersetuju.

“Kau fikirlah masak-masak. Aku sama macam Azli. Harap kau boleh balik dengan keluarga kau. Tapi nanti bila dah masuk office, jangan lupakan kitorang berdua,” usik Shamer.

Suasana serius sebentar tadi berubah kelakar. Ketiga-tiga mereka ketawa gembira.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...